20230301

SECEBIS MEMORI: 32 Tahun di Felda Sahabat

 


22 Jun 1991 bersamaan  9  Zulhijjah, 1411h  hari Sabtu- merupakan tarikh pertama saya menjejakkan kaki ke tanah Rancangan Felda Sahabat 2, di Kampung Anjung Teduh, Tungku,  Lahad Datu, Sabah. 

Meneliti  tarikh tersebut, ini bermakna saya bermalam di sini pertama kali adalah Malam Hari Raya Aidil Adha pada tahun tersebut. Malam raya korban yang benar-benar menuntut pengorbanan seorang suami dan ayah kepada seorang anak ketika itu.

Berusia 28 tahun, namun tanggungjawab sebagai ketua keluarga, di tempat yang serba baru dan asing dengan pekerjaan harian sebelum ini, menjadikan saya seolah-olah sudah terlalu dewasa. Begitu banyak perkara yang perlu diselesaikan pada awal penempatan itu dan segalanya menuntut pemerhatian yang khusus.

Di sinilah seumpama saya baru mengenali kehidupan sebenarnya. Memahami bahawa setitis keringat amat besar manfaatnya, sebutir beras juga terlalu mahal harganya. Di sini juga asam garam kehidupan terselah di kebanyakan suasana. Mengenal erti pahit dan getir setiap saat dan memerlukan kesungguhan dalam setiap langkah. 
Salah sebuah sekolah rendah di Felda Sabahat


Felda bukan hanya sebuah penempatan untuk mencari nafkah. Felda juga merupakan lautan kehidupan yang mengajar  kami sebagai Peneroka untuk mengharungi ombak badai kelangsungan hidup dalam kelompok yang besar.

Sesekali terasa bertuah kerana terpilih di Rancangan Felda Sahabat 2, rancangan Felda yang paling bongsu di antara ratusan rancangan Felda di Malaysia, kerana selepas kami, tiada lagi pengambil;an Peneroka Felda di seluruh negara. 

32 Tahun di sini, terlalu banyak pahit manis untuk dioleh di dalam catatan ini.  Cukuplah rasanya saya memetik beberapa perkara penting untuk tatapan generasi akan datang, sama ada sebagai rujukan atau sekadar hiasan minda anak-anak Felda.

Bak kata orang, di mana bumi dipijak di situ langitnya yang dijunjung. Maka kami secara langsungnya akan mematuhi segala peraturan yang telah digariskan oleh pihak pentadbiran Felda. Butir keringat akan dititiskan semahunya untuk mengubah lanskap kehidupan pada masa akan datang dengan lebih baik dan sempurna. Kerukunan dan kemeseraan di kalangan peneroka dipupuk dipertahankan untuk memastikan keharmonian sesama warga.

Di Felda bukan sahaja siang malam bercerita tentang sawit, peneroka dan generasi yang bersemangat waja juga boleh menambahbaik kehidupan dengan menceburi pelbagai bidang khasnya perniagaan, industri kecil dan perkhidmatan.  Bukan sedikit peneroka Felda yang berjaya menguruskan perniagaan besar sehingga ada yang bergelar jutawan dan sebaris dengan peniaga bertaraf global.

Manakala pihak Felda sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk kemajuan seseorang peneroka  dan pewaris seperti dalam bidang perniagaan, pertanian, ternakan juga bidang  sosial seperti sukan dan seumpamanya. Manakala pendekatan dalam bidang kerohanian adalah amat diutamakan.

Sepertimana dalam agensi yang lain di negara ini, Felda juga memupuk kalangan peneroka  dengan memberikan tanggungjawab kepada semua individu. Ada kalangannya dilatih sebagai pemimpin dan menerajui NGO dan kesatuan yang dibentuk bersama. Usaha ini memberi peluang kepada peneroka untuk menyerlah dalam bidang kepimpinan.

Tidak dinafikan bahawa sesekali pihak peneroka ada yang berselisih pendapat  dan terbitlah   pro kontra tentang isu teretentu dengan pihak Felda. Namun segala pertikaian kebanyakkannya dapat diselesaikan dengan berhemah atas dasar perbincangan dan mencari persamaan. Betapa tidak, warga Felda itu seperti sebuah keluarga besar dan keharmoniannya sentiasa subur dan segar  dari masa ke semasa.

Sayugia juga saya nyatakan di sini bahawa Gugusan Felda Sahabat itu seluas seolah Negeri Melaka. Tidak hairanlah bahawa 32 tahun belum cukup untuk menjelajahi seluruh pelusuk Felda Sahabat. Terletak di pesisir Lautan Sulu di paling timur Negeri Sabah. Maka kami warga di sini ialah penduduk yang pertama sekali berbuka puasa berbanding umat Islam di tempat lain di negara ini pada setiap Bulan Ramadhan.

Bandar Cenderawasih


Ditegaskan sekali lagi bahawa Felda pada keseluruhannya amat mengambil berat akan keperluan  pendidikan rohani dan jasmani, sosial, kebajikan dan ekonomi  terhadap seluruh warganya. Untuk merealisasikan perancangan yang disusun  maka pelbagai usaha dilakukan terutamanya melibatkan pihak pengurusan Felda yang tidak pernah bosan melayan kerenah peneroka.


Sebagai rujukan juga, di Felda Sahabat terhimpun sebanyak 35 suku kaum dari seluruh Sabah, juga terdapat peneroka yang datangnya dari seberang Semenanjung Malaysia.... Jarak dari Bandar Lahad Datu sekitar 130 kilometer. Kemudahan jalan raya yang tersedia memudahkan anda berkunjung ke sini. Manakala pengangkutan kargo juga dipermudahkan dengan penyediaan sebuah jeti dan pelabuhan .

Elok saya senaraikan juga nama-nama kampung yang terdapat di Felda Sabahat .... Bermula dengan abjad  A hingga N.... Anjung Teduh, Baiduri Ayu, Desa Kencana, Embara Budi, Fajar Harapan, Gemala Pura, Hamparan Badai, Indra Bakti, Jeragan Bistari, Kembara Sakti, Lancang Kemudi, Mercu Puspita, dan Nilam Permata.

Pernah menjadi persoalan di kalangan pengunjung luar, kenapa kampung-kampung  di semua kawasan Felda papantandanya berbunyi BANDAR.... Untuk menjawab persoalan ini, pihak Felda telah mengemukakan jawapannya dan saya tidak akan membuat ulasan lagi di sini sebab dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dan berkemungkinan akan terdapat percanggahan yang tidak disengajakan.

Kemudahan asas di Felda Sahabat, lima buah sekolah rendah... satu buah sekolah menengah. di samping kemudahan dua buah bank, balai polis, kem tentera, Escom, Pejabat Pendaftaran, Pejabat Pos, lebih kurang satu ribu unit kedai pelbagai perkhidmatan, juga terdapat sepuluh buah kilang memproses sawit.

Kepada pengunjung dari luar, keindahan dan keunikan penempatan di sini sudah pasti sedikit sebanyak memukau anda. Manakala penginapan disediakan dalam bentuk resort dan home stay sambil menghayati kehidupan warga anda juga boleh menikmati keindahan Pantai Sahabat.

Di pinggiran Sahabat, terdapat beberapa buah kampung taradisi dan yang paling anda ketahui namanya adalah Kampung Tanduo yang pernah mencataat tragedi berdarah dalam kes perncerobohan pada tahun  2013 yang menggemparkan dunia.

Semoga anda diberi kesempatan untuk sampai ke sini satu hari nanti dan ` kami sentiasa menyambut kehadiran anda dengan tangan terbuka.

Kepada yang pernah bertugas di sini, jasa dan kenangan bersama anda akan sentiasa segar dalam ingatan dan untuk anda di luar sana saya titipkan sebuah pantun lama sebagai penangguh cerita:-

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan....



Jangan Lupa baca ya : PUISI SAHABAT

Riwayat ini dilakar dengan tinta berdarah,
Disenandungkan dengan titis keringat leluhur zaman
Lalu dibacakan mentera perjuangan…
Bakti disemai…bukti dituai…





Tiada ulasan: