20230206

POTENSI TUNGKU SEBAGAI LOKASI PELANCONGAN

 

Keratan Akhbar 13 Tahun yang lalu....

 

Tigabelas tahun yang lalu, saya menulis tentang Pembangunan di Tungku.

Hari ini saya terpanggil untuk bercerita lagi tentang daerah kecil ini.

 

********

 

Industri pelancongan kian mendapat tempat sebagai salah satu usaha yang berpotensi menjana ekonomi di sebuah daerah dan memberi manfaat jangka panjang khasnya kepada masyarakat setempat.

 

Terletak di Titik Paling  Timur negeri Sabah, 65 kilometer dari Bandar Lahad Datu, Daerah kecil Tungku adalah kawasan pertama sekali menerima cahaya matahari di Malaysia. Pengiktirafan ini telahpun diistiharkan apabila pihak kerajaan negeri meletakkan batu tanda di Teluk Atiam Mukim Tambisan.

 

Berbekalkan etnik pelbagai kaum dan budaya di Tungku merupakan khazanah yang perlu dieksploitasi secara teratur sehingga menghasilkan keterampilan bernilai untuk meransang kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Tungku.

Di Pantai Sahabat

Antara pantai menarik di daerah paling kaya minyak sawit ini:-

 

Pantai Sahabat, Pantai Bangingod, Pantai Makuau, Pantai Tanjung Labian, Pantai Membatu selain Pantai Tanjung Atiam yang disebut di atas.

 

Tungku juga memiliki lokasi hutan dan sungai yang berpotensi tinggi untuk dijadikan tempat riadah khususnya perkemahan dan aksi jelajah hutan/sungai.

 

Aktiviti mendaki juga telah mencuri tumpuan masyarakat setempat dengan menjadikan Bukit Bagahak dan beberapa tempat lain sebagai lokasi menjalankan kegiatan sihat tersebut.

 

Bagi yang minat memancing, Tanjung Labian, Bakapit dan Tambisan merupakan tempat yang sering dikunjungi selain Kuala Maruap dan Paman Hutan.

 

Sepuluh tahun yang lalu, tepatnya 11 Februari 2013, dunia dikejutkan dengan Tragedi Tanduo, pencerobohan tersebut tercatat dalam sejarah Tungku dan kini Tanduo dibangunkan dengan kem tentera dan berpotensi besar untuk dijadikan lokasi pelancongan satu hari nanti.

 

Tragedi  hitam Tanduo kita kemaskan dalam memori sambil kita nikmati hidangan masyarakat Tungku antaranya putu, sagol, kilau dan ikan bakar di pinggir Pantai Kampung Dengan.

 

Hembusan angin dan hidangan bertambah menyelerakan apatah lagi seandainya ada kumpulan penari Belia Begak dengan Tarian Biluk dan Titikas yang mempersona,  serta gabungan kulintangan Kampung Telisai dengan iramanya  yang membangkitkan rasa rawan.

 

Sebagaimana yang kita tahu istilah pelancong itu tidak semestinya datang dari luar negara. Istilah pelancong juga ditujukan kepada tetamu dari luar daerah dan berbelanja di daerah dikunjungi.

 

Untuk meningkatkan peluang Tungku sebagai lokasi pelancongan, pelbagai pihak hendaklah bersatu dan berusaha memperagakan segala kepelbagaian yang ada di Daerah Kecil Tungku.

 

Semoga usaha dan  perbincangan secara tuntas akan  mencapai resolusi terbaik   seterusnya dapat menghasilkan Tungku di peta pelancongan satu hari nanti.   

Tiada ulasan: