20230216

JEJAK WIRA: Arung Palakka -Pahlawan Bugis….


 

Replika Arung Palakka

Telah diketahui umum bahawa sosok pahlawan ini bergelar La Tenritatta To Unru To-ri Sompa-é Petta Malampé-é Gemme'na Daéng Sérang To' Appatunru Paduka Sultan Sa'adduddin (Bahasa Ibunda Orang Bugis) –  Arung Palakka, Namanya mekar harum sejak memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya pada kurun ke 15.

 

Raja Bone berjiwa pejuang ini lahir  di desa terpencil iaitu Desa Lamotto, Mario-ri Wawo, Soppeng, pada tahun 1634.

 

Sebelum melangkah jauh, tulisan ini bukan bermaksud untuk mengulas kehidupan wira ini secara keseluruhannya, akan tetapi sekadar pengamatan saya secara peribadi yang mengagumi pahlawan tersohor tersebut. Kekaguman inilah yang mendorong saya untuk melawati Rumah Adat Bola Soba di Bone Sulawesi Selatan satu ketika dahulu.

 


Kesempatan tersebut dapat saya laksanakan sebelum rumah bersejarah tersebut musnah dalam tragedi kebakaran pada Mac 2021.

 

Sempat memasuki seluruh ruang rumah agam ini sambil diberikan taklimat oleh penjaga rumah juga sebagai penyambut tetamu yang tidak membenarkan rakaman foto dirinya dan namanya disebut. Namun orangnya cukup ramah dan bersopan santun dan dia juga adalah pewaris keturunan pejuang ini.

 

Sedikit kelainan terasa apabila saya memasuki ruang tempat tidur yang sentiasa disediakan perdupaan atau bekas bakaran  kemenyan. Aroma dan suasana dalam bilik berkenaan seakan pahlawan tersebut berada bersama kita di sini.

 



Sepanjang di kamar tidur dan agak mengambil masa di sini, penjaga sentiasa menemani, menceritakan kisah barangan di bilik itu dan diselangi penjelasan kehidupan Pangeran Arung Palakka yang nampak sebati dengan rutin hariannya. Yang paling berkesan terhadap saya, penjaga tersebut tidak pernah berdiri di sepanjang berada di kamar tidur ini… hanya mengengsot dari satu tempat dan ke tempat yang lain. Begitu tingginya penghormatan warga terhadap si Pangeran Raja.

Bilik ini hanya sederhana besarnya, terdapat katil yang dihiasi dengan sulaman yang menarik. Penjaga memberi izin untuk saya sekiranya ingin berbaring di atas katil, namun saya memilih hanya bersimpuh di birai bawah katil.

Ruang simpanan senjata juga dijaga rapi. Pelbagai jenis senjata tradisi masih utuh dalam simpanan. Pun terdapat bilik yang terkunci dan tidak dibenarkan tetamu untuk memasukli bilik tersebut.

Rumah besar 99 tiang tersebut dibina dari bahan kayu terpilih, kini tinggal kenangan apabila tragedi kebakaran memusnahkan seluruhnya. Namun saya yakin bahawa pembinaan semula telah dilaksanakan ketika ini dan kita berharap agar tragedi tersebut tidak sama sekali membakar hangus semangat juang pendukung dan pewaris  Arung Palakka.

BOLA SOBA.. TINGGAL KENANGAN

 

Selepas lawatan singkat tersebut, rasa ingin tahu dan beberapa persoalan sebelum ini telah tersingkap serba sedikit.  Semoga satu hari akan berkesempatan  ke Bone lagi mungkin akan menjejak keunggulan  wira  yang seterusnya. Juga semoga ketika itu Bola Soba tersedia semula untuk dilawati.

Tiada ulasan: