20240106

Selongkar Buku Lama: KISAH DUA BUAH KAMPUNG.

Gambar Bloger Bersama Penduduk Kampung Bangingod

 


Sebermula maka terceritalah kisah akan dua buah kampung yang dikenali sebagai Kampung Pinang 1 dan Kampung Pinang 2. Adapun dua buah kampung berjiran ini dipisahkan oleh sebatang sungai yang lebarnya kira-kira 55 depa orang dewasa. Kedua-dua kampung ini pula diapit oleh Kampung Sirih 55 dan Kampung Gambir Berduri Layu.

 

Untuk sampai ke pekan terdekat, penduduk Kampung Pinang 1 hendaklah menyeberangi sungai tersebut sama ada berakit atau bersampan kemudian melalui Kampung Pinang 2.

 

Keadaan tersebut secara sendirinya memberi kelebihan sedikit kepada penduduk Kampung Pinang 2. Manakala pengunjung dari luar yang hendak ke Kampung Pinang 1 juga akan menyebut pergi ke Kampung Pinang 2 sebab Kampung Pinang 2 berada di hadapan dan terlebih sedikit dikenali oleh orang jauh mahupun dekat.

 

Diceritakan juga bahawa penduduk Kampung Pinang 1 dipimpin oleh seorang Penghulu yang lincah dan aktif dalam acara-acara sosial, budaya dan pelbagai jenis sukan di darat dan di air.

 

Manakala penduduk Kampung Pinang 2 dipimpin oleh seorang Pak Imam dan semestinya banyak tertumpu ke bidang Pendidikan Fardhu Ain dan seumpamanya.

 

Sejak tahun bertahun, kedua-dua penduduk kampung akan bertaruh lumba perahu yang menawarkan hadiah seperti kerbau, lembu dan kambing seekor dua. Sehinggalah pada satu ketika…..

 

“Tahun ini, perlumbaan akan mempertaruhkan hadiah yang luar biasa….” Kata Penghulu yang diiyakan oleh Pak Imam di sebelahnya. Penduduk kedua-dua kampung melopong dan teruja untuk mendengar Keputusan perbincangan Penghulu dan Pak Imam.

 

“Sekiranya Kampung Pinang 2 menang…. Kampung Pinang 1 akan menyerahkan 55 ekor lembu, 55 ekor kerbau dan 55 ekor kambing kepada Kampung Pinang 2….” Kata Penghulu dan disambut sorakan gembira oleh penduduk Kampung Pinang 2.

 

“Dan serkiranya Kampung Pinang 1 menang…. Penduduk Kampung Pinang 2 hendaklah membina sebuah jambatan untuk digunakan oleh penduduk Kampung Pinang 1….” Pengumuman Pak Imam pula disambut sorak gembira keyakinan  penduduk Kampung Pinang 1.

 

Para peserta diberi tempoh 55 hari untuk menyiapkan perahu masing-masing dan mengadakan latihan pagi ke petang. Masing-masing peserta berasa yakin bahawa kumpulan merekalah yang akan menjadi juara. 

Foto Sekadar Hiasan


Manakala pada masa yang sama seluruh warga kampung masing-masing juga memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada peserta yang menggalas tugas memburu gelaran berprestej tersebut. Segala makan minum peserta disediakan berlebihan oleh penduduk kampung masing-masing. 

 

Hari yang ditunggu pun tiba….Pesta besar itu bermula. Awal pagi kedua tebing Sungai dipenuhi penonton dan penyokong masing-masing. Sorakan semangat dan paluan gendang menggamatkan suasana. Semua penduduk kedua-dua kampung menumpukan perhatian ke garisan permulaan. Tebing sungai kelihatan meriah tiada tersisa isi rumah, semuanya hadir dengan harapan yang tinggi.

 

Selain penduduk Kampung Pinang 1 dan Kampung Pinang 2, penduduk kampung-kampung lain berdekatan juga datang menyaksikan perlumbaan bersejarah yang telah dihebohkan sejak 55 hari yang lalu. Malah ramai juga yang datang dari kota bersama keluarga dan sahabat handai.

Lebih memeriahkan acara, sebuah kenderaan Jabatan Penerangan dan Penyiaran lengkap bersama peralatan dan anggota kru pengambaran menambah keseronokkan kanak-kanak dan orang tua-tua juga. Menurut cerita dari mulut ke telinga  perlumbaan ini akan disiarkan dalam berita TV pada malam nanti.  

Seperti pada tahun-tahun yang sudah, para wasit perlumbaan terdiri daripada penduduk Kampung Sirih 55 dan Kampung Gambir Berduri Layu. Ini kononnya agar keadilan dan penghakiman yang telus dan tidak berbelah bagi.

Di celah kesibukan orang ramai, Penghulu dan Pak Imam mencuri perhatian. Kedua-duanya memegang bendera besar yang menunggu masa untuk dijatuhkan sebagai isyarat bermulanya perlumbaan….. Perahu Kampung Pinang 1 dan Perahu Kampung Pinang 2 dengan 20 peserta setiap perahu, telah bersedia sepenuhnya untuk memulakan perlumbaan.

Seorang AJK Penganjur mengangkat tangan  bersedia memberikan isyarat kepada Penghulu dan Pak Imam agar menarik tali pelepasan bendera untuk memulakan perlumbaan dengan kiraan "SAAATUUUU........ DUUUUAAAAAAA..... TIIIII....."

"Perhatian - Perhatian..... " suara pengacara tiba-tiba mencelah....."Seorang kanak-kanak terpisah dari ibubapanya.... kepada yang.....bla...bla...bla......dan kenderaan motokar berwarna hitam dengan nombor pendaftaran........bla...bla...bla...." 


Tepat jam 9.55 minit pagi.... bendera besar terjatuh dengan sendirinya dan peserta memulakan kayuhan perlumbaan dengan semangat persaingan yang begitu hebat dan bersemarak. Sorakan penonton membingitkan suasana mengiring peserta yang bersaing..... bunyi genderang bertaluan menambah bingitnya suasana.

Sengit... kedua-dua pasukan seperti sama hebat, sama laju dan sama bersemangat.... Sesekali Kampung Pinang 1 di hadapan sedikit dan sesekali Kampung Pinang 2 ke depan sedikit... 

Ketika melewati garisan tengah, Kampung Pinang 1 menambah kekuatan kayuhan. Kampung Pinang 2 melipatgandakan kekuatan, kedua-dua perahu melucur sama laju semakin menghampiri garisan penamat dan tiada pasukan yang ingin ketinggalan...akhirnya  kedua-dua perahu mencecah garisan penamat serentak.... sorakan kedua-dua peserta merasakan kemenangan berpihak kepada mereka masing-masing......penonton dan penyokong juga bersorak gembira merasa kemenangan memihak kepada kampung masing-masing. 

Para wasit, AJK, Penghulu dan Pak Imam termagu kebingungan, siapakah juara sebenarnya...... Perbincangan segera diadakan, keputusan mesti diperolehi JUARA mesti diisytihar dan dinobatkan. Keputusan seri tidak akan diterima sama sekali oleh semua pihak.Pelbagai cadangan dikemukakan....

Perlumbaan semula tidak dipersetujui. Keputusan seri dibantah sepenuhnya. Keputusan sebulat suara diperolehi..... Lambungan wang syiling akan menentukan juara perlumbaan. Akhirnya keputusan diperolehi.... Kampung Pinang 1 diisytiharkan sebagai juara. Kampung Pinang 2 akan menunaikan perjanjian membina jambatan..... bersorak gembiralah penduduk Kampung Pinang 1 hingga ke petang.

Keesokan paginya, Pak Imam dan penduduk Kampung Pinang 2 memulakan binaan jambatan sambil ditonton sinis oleh penduduk Kampung Pinang 1. Dengan semangat yang ditiupkan oleh Pak Imam penduduk Kamping Pinang 2  bersungguh-sungguh menyiapkan jambatan dari kayu terpilih dan bermutu tinggi seperti yang dijanjikan. Kebetulan penduduk Kampung Pinang 2 terkenal ke seluruh dunia dengan kehebatan para tukangnya.

Dalam tempoh pembinaan jambatan tersebut terciptalah lagu pelbagai irama dinyanyikan oleh kanak-kanak kedua-dua kampung saling bersahutan.....

"Kami menang yeye.... dapat jambatan yeye....."

"Menang syiling huhu...menang lambung huhu...."

Lagu usikan kanak-kanak sesekali ditambah pula dengan sindiran sinis penduduk dewasa....laungan JUARA TETAP JUARA kedengaran sesekali dari kampung Pinang 1. Manakala penduduk Kampung Pinang 2 terpaksa mendengar dan  menelan sindiran jiran seberang.

Selepas 55 hari  akhirnya jambatan telah siap dan boleh digunakan sepenuhnya. Pak Imam menyerahkan secara rasmi  jambatan tersebut kepada Penghulu dalam sebuah majlis kecil di Surau Kampung Pinang 2. 

Sebermula itu maka jambatan yang cantik dan gah itu menjadi laluan utama penduduk Kampung Pinang 1 menuju ke pekan dan kebanyakan mereka amat berbangga memiliki jambatan yang hebat bergaya.Sesekali mereka mengucapkan terima kasih diiring senyuman sinis atas pemberian jambatan yang selama ini mereka impikan.

Istimewa kepada orang tua-tua dari Kampung Pinang 1, dengan adanya jambatan tersebut maka keraplah mereka berkunjung ke surau Kampung Pinang 2, berjamaah dan belajar mengaji Al Quran. Pak Imam kian bersemangat atas keadaan jamaahnya yang sentiasa bertambah ramai.

Masa berlalu, musim bertukar. Kegembiraan dan kemegahan yang dinikmati tiba-tiba tergugat dengan turunnya hujan lebat tiap hari berturut-turut sehinggalah banjir besar berlaku dan air sungai melimpah sehingga   pada pagi hari ke empat  jambatan telah senget dan tidak boleh dilalui sama sekali.

Kegembiraan yang pudar tersebut rupanya menghasilkan lagu-lagu baru di kalangan kanak-kanak...

"Jambatan kamu roboh  yeye....hihihi...." 

"Kerja tukang buruk bobobo....siapa tukang....Pinang 2 boooo...."

Beberapa hari kemudian, ketika banjir telah surut... kelihatan sepohon kayu balak yang amat besar menyandar di rangka jambatan.... Besarnya luar biasa lebih kurang 7 pemeluk lelaki dewasa dan panjangnya hampir memenuhi lebar sungai. Saiznya yang amat besar menimbulkan persoalan tentang jenis pokok balak tersebut......

"Ini mungkin pokok cendana gergasi ..." kata sesaorang.

"Bukan.... ini rasanya Pokok Zirikoti yang termahal di dunia..."

"Ahhh... ini sebenarnya pokok Pink Ivory... lihat warnanya sedikit kemerahan..."

"Aku lebih tahu tentang kayu... sudah pasti ini kayu Koka sejenis kayu yang digunakan membina kapal Nabi Nuh..."

Sengkata bermula..... "Ini balak kami.... jambatan ini kami yang buat.... lihat perdunya berada di sebelah kampung kami..."

"Tidak...ini balak kami sebab tersangkut di jambatan kami....kami berhak sepenuhnya...Titik."

Penghulu dan Pak Imam berbincang.

Penghulu     :Semuanya milik kami.... kami ingin membuat sebuah dewan besar.... ini anugerah kepada kami...

Pak Imam    : Kita bagi sama rata, kami juga mahu besarkan surau...

Penghulu     : Tidak.... sepotong ranting pun tetap milik kami.

Pak Imam    : Baiklah kami minta kulitnya isi balak tuan ambillah sepenuhnya.

Penghulu    : Baiklah, Imam ambil kulitnya, isinya kami punya.... ini keputusan ehsan dan adil...

Dasar kayu yang baik, kulitnya cantik, tebal dan bermutu tinggi. Bertungkus lumus penduduk Kampung Pinang 2 menguliti balak yang besar. Penduduk Kampung Pinang 1 gembira atas kerja kampung seberang yang memudahkan kerja mereka selepas ini. Bertimbun hasil kulit di tebing sungai... Lagu baru kedengaran sayup di seberang sana....

"Kamu kupas  kulit kami belah isi....kamu makan kulit kami makan isi..."

Penduduk Kampung Pinang 2 bergotong royong memunggah kulit kayu dari tebing sungai ke kawasan surau yang tidak begitu jauh untuk memudahkan kerja mengganti dinding surau dan mendirikan pagar keliling dengan menggunakan kulit kayu yang diperakui kebaikannya oleh para tukang.

Di sungai, giliran penduduk Kampung Pinang 1 membelah balak yang telah berkupas licin. Dengung mesin pemotong dan kapak bersahutan dari hujung ke hujung balak. Anggaran awal para tukang Kampung Pinang 1, hasil kayu nanti akan melebihi dari yang cukup untuk membangunkan dewan besar.

Kerja memotong dimulakan di bahagian pangkal balak.... sedikit demi sedikit membuat belahan kecil dan semakin besar dan besar lagi..... tiba-tiba pemotong terhenti berpuluh serangga keluar dari belahan terbuka.... rupanya kumbang hitam bersarang di dalam.... keluar dan terus keluar berterbangan.... semakin banyak... semakin banyak.... sekejap sahaja kawasan sungai menjadi kelam... redup seperti awal malam...... kumbang hitam memenuhi sekitar balak.... 

"Kumbang hitam banyak sekali....berjuta-juta..." kata Pak Singoi

"Bukan berjuta.....berbilion ..." sampuk Pak Saka

"Bukan bilion.... ini Trilion..." kata Lebai Ludin

"Apa trilion ....ini Quadrilion...." Kata Ustaz Rafi

"Sebenarnya ini terlalu banyak.... mencapai Quintilion..." celah Haji Jamal

"Sextilion....ini sextlion atau septlion  ...atau octilion..  ...." kata Cikgu Sakmat Bin Mansor

Begitu banyaknya kumbang hitam keluar dari dalam balak yang terbelah pangkalnya.... keluar dan terus keluar selama tiga hari tiga malam.....

Kerja membelah diteruskan.... rupanya teras balak kosong seluruhnya. Potongan kayu yang terhasil cuma sedikit dan kebanyakkannya tipis... betul-betul teras balak lompong dimakan kumbang yang telah pergi entah ke mana.

Pun siaplah juga dewan Kampung Pinang 1. walaupun tidak semegah yang diangankan sebelum ini dan penduduk sekadar menelan air liur menandakan puas hati yang tidak seberapa.

Kisah ini sebenarnya belum berakhir, tapi saya hentikan sahaja di sini kerana endingnya sedikit menyayat hati.... Sebuah cerita rekaan campuran yang diadaftasi dari Antologi cerpen bertajuk Mimpi Rakyat hasil karya Mohamad Afandi Hassan. Sedikit tokok tambah dan watak tertera tidak merujuk kepada sesiapa sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Nama dan tempat hanya berkebetulan sahaja. Jumpa lagi.... jangan marah yaa...