Photo Blogger (Sekadar Hiasan) : Menjejak Legenda Arung Palakka |
Semua orang di kampung ini mengenali Pit. Lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa juga mengenali Pit. Pit memang terkenal sehingga di kampung lain pun ada yang mengenalinya. Kalau ada orang kampung yang tidak mengenali Pit, pasti orang itu baru pindah ke kampung ini.
Kenapa Pit begitu dikenali? Pit bukan seorang artis, bukan ahli sukan, bukan orang politik, bukan orang terpelajar, bukan orang kaya dan bukan seorang pemidato malah bercakap pun Pit tergagap. Tapi Pit amat dikenali ramai bahkan pemimpin setempat pun mengenali Pit, termasuk Wakli Rakyat dan ketua semua parti. Khabarnya juga nama Pit pernah disebut dalam mesyuarat kabinet negeri... itu kata Ketua Pemuda, entahlah betul atau tidak.
Lebih hebat, cerita Pit pernah ditulis oleh seorang penulis tersohor. Cerita Pit diterbitkan dalam sebuah buku dan buku tersebut terdapat di seluruh perpustakaan dalam negara. Maknanya Pit terkenal juga ke seluruh negara.
Siapa Pit sebenarnya....?
Pit seorang anak yatim dan tinggal berdua di pondok buruk bersama neneknya seorang balu yang agak berumur.
Zaman kanak-kanak Pit hanya dihabiskan dengan bermain di sungai, di bukit dan di hutan. Pit tidak bersekolah, cuma malam belajar mengaji di surau dengan lampu pam minyak tanah. Pit juga amat lembam menghafal ayat pengajiannya. Pit bukan anak pintar, agak nakal dan suka ponteng mengaji. Tapi anak-anak suka bermain dengan Pit.
Menjelang dewasa Pit mula mencari kerja. Menoreh getah, memanjat kelapa, menjala di sungai dan macam-macam kerja kampung Pit lakukan untuk mendapat upah. Pit rajin dan ringan tulang.
Pada satu petang Pit pulang dari memanjat kelapa. Di jalan kampung Pit nampak banyak bendera. Sampai di Balai Raya Pit nampak tiga buah kereta dan ramai orang berkumpul. Ada seorang berpakaian kemas bercakap-cakap di hadapan orang kampung. Selain itu beberapa orang lelaki dan perempuan juga duduk di barisan hadapan menghadap ke orang kampung. Pit agak orang-orang ini datang dari pekan. Pit meninjau-ninjau dari luar dan mendengar ucapan yang kurang menarik perhatian orang kampung.
Pit tidak begitu faham apa yang dikatakan orang tersebut. Orang kampung juga tidak berapa faham semuanya. Suaranya dengan pembesar suara kadang-kadang perlahan dan kadang-kadang meninggi.
Pit tertarik walaupun tidak faham butir yang disampaikan.
Sesekali kelihatan seorang dua orang-orang pekan bertepuk tangan. Tepukan sekadar berbunyi dan hampir tidak kedengaran dan hanya seorang dua juga orang kampung mengikuti tepukan tersebut. Pit perhatikan perlakuan itu dan bersedia untuk mencuba kalau orang bertepuk lagi.
Ketika seorang pekan menggerakkan tangannya untuk bertepuk, Pit segera mendahului dengan tepukan yang kuat sekali..... secara tidak langsung tepukan Pit diikuti oleh beberapa orang kampung.... pemidato di depan nampak sedikit bersemangat dan meneruskan ucapan.
Pit seronok dan bertepuk lebih kuat, orang pekan juga ikut bertepuk... orang kampung juga seluruhnya ikut bertepuk. Pit tambah seornok. Pit jadi perhatian ramai orang. Pemidato juga bertambah-tambah semangatnya.
Ketika pemidato selesai Pit menambah kuat tepukannya dan diikuti tepukan dan sorakan gemuruh orang kampung... Pemidato tersenyum puas sambil melambai-lambai tangan ke arah orang kampung.
Selesai acara seorang orang pekan menghampiri Pit, menghulur sampul surat dan membisikkan sesuatu. Pit mengangguk-angguk macam faham.
Esok pagi kampung menjadi kecoh... Pit dijemput olah salah sebuah kereta yang datang petang kelmarin. Bahkan Pit dihadiakan pakaian baru bercorak bendera kelmarin. Lama baru orang kampung faham, rupanya Pit ditawarkan berkerja dengan orang pekan. Pit berbangga memasuki kereta yang pertama kali seumur hidupnya.
Bermula hari itulah Pit dijemput dan dihantar setiap hari. Pit juga samakin bergaya, setiap hari bertukar pakaian dan semakin dikenali. Pit mendapat kerja baru dan upah yang lumayan.
Apa kerja Pit...? Dia ditugaskan untuk bertepuk tangan sekuat-kuatnya ketika ada pemidato berceramah. Sehari beberapa tempat di kampung berlainan. Rupanya kempen pilihanraya. Tapi Pit tidak mahu tahu apa acaranya. Yang dia tahu, setiap lepas acara dia dibayar. Orang pekan juga bertambah suka kepada Pit.
Pit bertelapak tangan besar, tepukkan Pit sememangnya kuat dan mempengaruhi orang lain untuk ikut bertepuk. Pernah juga Pit tersalah tepuk dan ditegur serta diberi tunjuk ajar oleh pemandu kereta yang menjemput hantar Pit. Dan Pit semakin mahir. Tiap malam Pit berlatih menambah kuat bunyi tepuknya.
Dua minggu kemudian ada pula orang kampung lain yang cuba menyangi Pit. Tapi tepukan lemah mereka tidak menarik perhatian orang lain, akhirnya mereka berhenti sendiri dan meletak jawatan sebagai tukang tepuk... Pit semakin tersohor.
PIT TUKANG TEPUK... gelaran unggul kepada Pit dan menjadi kebanggannya. Semua majlis ceramah sepanjang kempen akan meriah dengan kehadiran Pit. Luar biasa aura tepukan Pit. Semua pemidato parti memuji Pit. Upah Pit juga semakin hari semakin bertambah. Menjelang akhir kempen pilihanraya Pit sudah memiliki basikal baru. Pit makin bergaya.
Pernah sekali Pit tidak dapat mengikuti rombongan kempen kerana neneknya demam. Khabarnya majlis ceramah begitu hambar dan suram.... seolah ada mayat terbujur dalam majlis, sunyi dan sepi. Ketua Parti kecewa dan berpesan agar esok dan seterusnya Pit mesti hadir serta menambah upahnya sekali ganda lagi. Begitulah pentingnya Pit dalam majlis kempen parti tersebut.
Di akhir kempen Pit merasa sedih. Dia dikhabarkan bahawa malam itu adalah yang terakhir untuk dia bertepuk. Selepas itu kena tunggu lima tahun lagi.... Pit benar-benar sedih. Dia tidak faham sama sekali kenapa harus berhenti namun Pit terpaksa menerima dan bersabar.
Selepas pilihanraya Pit kembali ke kerja kampung, menjala dan memanjat kelapa. Tapi Pit sentiasa berharap agar bakat bertepuknya akan berguna lagi pada bila-bila masa. Latihan bertepuk mesti diteruskan.
Hingga satu malam ada acara di surau kampung. Pit dapat tahu petang tadi. Anak-anak kampung bercerita tentang acara menjelang malam.
Pit hadir dan memang benar ada acara. Pit mencari tempat sesuai dan kehadiran memang ramai, sesak surau hingga ke luar. Penceramah sedang menyampaikan mukadimah... Pit menunggu waktu yang sesuai. Ketika merasakan saatnya sudah tiba, Pit bertepuk sekuatnya.... Pit merasa ganjil... tiada seorangpun ikut bertepuk... malah hampir semua orang melihat kepada Pit.
Sesaat Pit berfikir, mungkin orang ramai masih belum tersentuh dengan tepukkannya. Penceramah juga terhenti seketika....
Beberapa minit kemudian Pit bertepuk lagi bertambah kuat, mungkin yang pertama tadi tidak seberapa kuatnya.... tapi keadaan tetap sama. Tiada orang lain mengikuti tepuk Pit. Makin ramai orang melihatnya sambil berbisik... Pak Imam perlahan mendekati Pit sambil memegang tangan dan memimpin Pit keluar....
Sakit hati Pit disuruh pulang. Sedikit upahpun tidak dihulur walau sudah dirayu oleh Pit. Rupanya tepukan Pit tidak bernilai sama sekali dalam ceramah di surau. Sedih Pit bukan kepalang.
Namun kesedihan Pit terubat selepas lima tahun. Setiap pilihanraya Pit menjadi orang penting. Pit sentiasa jadi sebutan, Pit sentiasa dicari dan jadi rebutan parti yang bertanding. Dengan gelaran PIT TUKANG TEPUK tiada sosok lagi yang tidak mengenali Pit. Malah bayi yang baru belajar bertatih pun akan akan bertepuk apabila diseru Buat Macam Atok Pit..... maka bertepuklah anak-anak tersebut.
Ketika berusia 95 tahun Pit mengumumkan perletakkan jawatannya dalam satu acara kempen terakhir pada tahun tersebut.
Kini Pit sudah berusia hampir 100 tahun... Pagi tadi Pit rebah dan diusung ke hospital... di atas katil Pit terlantar lemah. Jururawat dan doktor memereksa keadaan Pit. Akhirnya doktor bersuara... Pit bukannya sakit, Pit cuma letih... spontan Pit bertepuk dengan kuatnya.....
Aspirasi cerita dari Antologi Mimpi Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan