20241108

Penceritaan Santai: SUNGAI TUARAN: Antara Kenangan dan Pembangunan

Blogger bersama Ketua Anak Negeri, Haji Sofian Haji Johari

Sepanjang 80 kilometer, Sungai Tuaran satu ketika dahulu merupakan antara nadi penting penggerak perhubungan, pencetus perkembangan ekonomi serta penggarap sosial dan  silaturrahim masyarakat setempat khususnya penduduk kampung  di pesisir sungai yang menyimpan pelbagai nostalgia ini, itu kata Ketua Anak Negeri Tuaran, Haji Sofian Haji Johari ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Haji Sofian, 64 tahun, bukan sedikit masyarakat sekitar yang menjadikan Sungai Tuaran sebagai sumber pencarian rezeki menampung keperluan keluarga. Kegiatan memukat, menjala dan memancing di Sungai Tuaran selalunya menjanjikan kepuasan dan jarang mengecewakan. Lubuk ikan dan udang galah, di sepanjang sungai ini biasanya akan memberi pulangan yang setimpal akan titis keringat si pemburu rezeki terdiri daripada kalangan penduduk kampung.

Sejarah pentadbiran Daerah Tuaran juga mencatatkan bahawa satu ketika dahulu, para Kolonial British juga menjadikan Sungai Tuaran sebagai laluan untuk menjalankan kegiatan pengurusan beberapa perkara penting, bahkah Majlis Daerah Tuaran juga pernah  bersiaga dengan kelengkapan bot sebagai salah satu aset khusus menjalankan pentadbiran dari dahulu  sehingga masa terdekat,  namun kini dikhabarkan bahawa Majlis Daerah Tuaran tidak lagi menyimpan aset berkenaan. 

Menurut Haji Sofian lagi,  ayah beliau Alayarham Haji Johari, pernah menjadikan Sungai Tuaran sebagai sumber pendapatan tambahan dengan menjalankan kegiatan bot penambang. Bermodalkan sebuah perahu kayu dengan enjin Jhonson 6 kuasa kuda, arwah ketika itu boleh mendapat keuntungan antara Tujuh hingga 10 ringgit sehari.... ( Nilai hari ini sekitar  70 hingga 100) 

Antara penduduk kampung yang menggunakan Sungai Tuaran sebagai laluan utama ke Pekan Tuaran seperti Kampung Termenung, Kampung Sudot, Kampung Pulau Simpangan, Kampung Kegayungan, Kampung Dempelang, Kampung Bolong, Kampung Selupoh, Kampung Morogis, Kampung Dangki, Kampung Selaud, Kampung Baru, Kampung Labuaya, Kampung Tanjung dan Kampung Roun, hurai Haji Sofian.

Satu ketika, di sini terdapat seutas tali diikat merentasi sungai dan dijadikan sebagai penarik perahu tambang yang diusahakan oleh seorang warga kampung yang dikenali sebagai Si Lapak.

Begitu banyak cerita tentang Sungai Tuaran sebenarnya, berhulukan di bukit bukau sekitar Pantai Barat Negeri Sabah, kualanyanya mengalir ke Laut Cina Selatan. Menjadi sumber air bersih keperluan ratusan ribu penduduk Daerah Tuaran, pernah timbulkan kontroversi perlombongan pasir haram, selain mencatat sejarah apabila pihak kerajaan memutuskan untuk memotong Sungai Tuaran bertujuan mengurangkan risiko fenomena banjir yang sesekali melanda pekan persinggahan ini.

Bersama Anuwar Haji Sakimin, pencinta setia Sungai Tuaran

Salah seorang penduduk Kampung Baru Selaud, Encik Anuwar Haji Sakimin,62 tahun, merupakan sahabat akrab blogger dan begitu sininom dengan perkembangan Sungai Tuaran. Sehingga kini pesara tentera ini masih menjalankan kegiatan di Sungai Tuaran bagi mengisi masa sanggang dengan memancing dan menjala berbekalkan bot persendirian. 

Beliau begitu arif di mana lubuk ikan patin, di mana lubuk ikan enghua dan lubuk mana udang galah bermain. Tentang kebili (Lokan air tawar) dan tuntul (Siput sedut) hanya sekali sauk cukup untuk hidangan makan malam.

Di pinggir Pasar Tamu Tuaran, sebuah jambatan gantung seolah mercutanda kepada Pekan Tuaran dan banyak menarik perhatian para pengunjung khususnya pelancong dari luar negara. Jambatan yang pernah menabur bakti puluhan tahun tersebut dijangka akan menemui titik noktahnya sedikit masa lagi apabila pembangunan di persekitaran kini sedang rancak dilaksanakan.

Jambatan gantung pertama 1970an

Beberapa orang penduduk yang sempat ditemui melahirkan harapan agar pihak Majlis Daerah Tuaran mengekalkan jambatan tersebut sebagai kenang-kenangan di samping merawatnya agar menjamin keselamatan pengguna atau pengunjung.

Jambatan Gantung bakal tinggal kenangan

Seperti yang disedari, suasana Sungai Tuaran kini sedang mengalami perubahan besar apabila pihak kerajaan menjalankan projek pembangunan dengan menambak sungai kenangan ini bertujuan untuk dimanfaatkan dengan cara yang lebih efisien dan produktif. Warga amat mengharapkan usaha ini akan memberi pulangan khusus kepada generasi akan datang.


Kerja Menambak dijalankan



Sayup kelihatan Jambatan Gantung

Papantanda Kerja PERTAHANAN

Bangunan lama Rumah Kedai Tuaran

Di bawah pokok mangga itu.. Blogger duduk semasa zaman kanak-kanak,
menyaksikan pertandingan lumba perahu tahun 1970an




Foto: Koleksi  Haji Sofian


Foto Koleksi Haji Sofian

Walau tidak sehebat Sungai Mekong yang membelah enam negara, pun tidak seindah Bengawan Solo yang sohor dengan lagunya, jauh sekali menyaingi Sungai Gangga yang dianggap sungai suci di India,
namun Sungai Tuaran amatlah istemewa  dan penuh kenangan di kalangan anak jati Tuaran, keindahan dan keunikkannya terletak di mana-mana dari sudut pandang yang berbeza.

Semoga apa yang dilaksanakan hari ini akan membuahkan hasil terbaik dan mengangkat martabat warga Tuaran satu ketika nanti. 
                              
                                          

20241024

Seputar Mitos SUPAR WANG: Untuk Pembaca 18 Tahun Ke Atas Sahaja

Foto Hiasan: NASIR @ WiRALZA, Sahabat dan juga Sifu kepada Blogger,
awet muda sejak dahulu hingga sekarang,


Hampir seratus tahun aku tidak bercerita..... Sejak Pentas Penglipur Lara aku dibakar, aku hanya duduk termenung sepanjang hari.... Sehinggalah pada satu petang, enam orang remaja datang bertandang dan memujuk untuk  mendengar sekurang-kurangnya sebuah cerita daripada aku.

Sebelum aku bersedia untuk bersetuju, isteriku Siti Nurwanita datang menghidang kopi panas dan setalam kerepek pisang. ... Baiklah, malam ini aku akan bercerita, datanglah... aku bersetuju.

Malam menjelang, malam minggu yang ceria, di beranda rumah, enam remaja datang dan bertambah lagi lima orang. Semuanya lelaki berusia antara 18 hingga 22 tahun. Semuanya kelihatan tidak sabar untuk mendengar cerita yang akan aku sampaikan sebaik selesainya siaran kegemaranku di TV iaitu sebuah dokumentari di The Ohio Channel.

- Baiklah, malam ini aku akan ceritakan tentang seorang lelaki yang bernama Supar Bin Awang... Kebanyakan orang memanggilnya Supar Wang.  Khabar angin kononnya  Supar Wang berketurunan dari Planet Krypton, tempat lahirnya adiwira Superman. Namun tiada siapa yang dapat mengesahkan akan kebenaran fakta keturunannya itu.

-Supar Wang tinggal di sebuah kota metropolitan. Hidupnya mewah dan bergaya. Walau bukan seorang ahli politik yang pembohong, Supar Wang amat dikenali dan disenangi di kota besar ini.

-Agak menghairankan kebanyakan orang, setiap minggu, dua atau tiga kali kalibat Supar Wang kelihatan di sebuah bank. Dia menyimpan wang yang berjumlah besar. Kadang 50 ribu US Dollar, 95 ribu Euro  dan pernah 250 ribu Cruzeiro Real Brazil. Setiap minggu itulah rutin Supar Wang. 

-Peningkatan simpanan wang Supar Wang bukan sahaja menarik perhatian orang awam bahkan Si Pengurus bank juga tertanya-tanya dan rasa teruja ingin tahu akan usaha Supar Wang yang nampak luar biasa keuntungannya.

-Satu hari Si Pengurus bank (Namanya dirahsiahkan untuk keselamatan, katanya) menjemput Supar Wang ke bilik pengurus untuk bertanya akan usaha luar biasa Supar Wang. Hanya mereka berdua dalam bilik seluas 20x22 kaki persegi yang kedap suara tapi telus pandang dari luar dan dalam.

-Saya kagum dengan usaha tuan, kata Si Pengurus. - Bolehkah tuan ceritakan kepada saya akan perniagaan yang tuan usahakan, atau pelaburan saham hebat yang tuan ceburi...

-Maaf tuan, saya tidak berniaga dan tidak melabur saham, jawab Supar Wang.

-Agaknya tuan berjudi....teka Si Pengurus

-Pun tidak, saya tidak berjudi.

-Jadi apa kegiatan tuan sehingga begitu banyak wang yang tuan perolehi, (Dalam hatinya: Penyeludup agaknya)

-Kalau tuan nak tahu sangat.... sebenarnya saya selalu bertaruh beberapa perkara dengan orang-orang kaya dan saya sentiasa memenangi pertaruhan itu...dan saya tidak pernah kalah... Supar Wang menjelaskan.

-Ohh... hebatnya.... Si Pengurus tambah berminat.

-Kalau tuan pun mahu bertaruh dengan saya... 

-Jelaskan, biar saya faham dan pertimbangkan.... Ayuh....Apa pertaruhannya.....?

Supar Wang membisikkan pertaruhannya di telinga Si Pengurus bank. Si Pengurus mendengar dengan teliti sambil mengangguk faham.

-Adakah tuan faham dan bersetujukah bertaruh dengan saya.... tanya Supar Wang.

-Faham dan saya bersetuju.... kita pertaruhkan 50 ribu Pound Sterling.... kata Si Pengurus bank dengan begitu yakin.

-Baiklah, ayuh kita buat perjanjian dan dua minggu dari sekarang kita berjumpa di sini... 

Perjanjian siap dan ditandatangani. Si Pengurus bank amat yakin akan memenangi pertaruhan ini. Selain mendapat keuntungan, dia amat teruja menjadi orang pertama kalahkan Supar Wang. Dalam hati tidak sabar rasanya untuk menunggu dua minggu. Dan dia yakin, perkara yang dipertaruhkan akan memihak kepadanya dan dia akan bersorak sebagai pemenang. 

Minggu pertama berakhir dengan rasa debar, setiap hari Si Pengurus semakin yakin akan memenangi pertaruhan. Bunga hatinya membesar setiap detik. Kadang terasa geli hatinya memikirkan kebodohan  Supar Wang yang sanggup bertaruh perkara yang mustahil akan berlaku. Sesekali Si Pengurus tertawa sendiri.

Pada waktu yang sama Supar Wang menjalani kehidupannya seperti biasa, berpindah dari hotel ke hotel merayau sekitar bandar dan sesekali keluar negara semalam dua. Kadang  kelihatan Supar Wang berbual mesera dengan rakan-rakannya terdiri daripada kalangan orang kaya raya, jutawan hartawan malah ada yang memiliki harta ribuah trilion. 

Dipanjangkan cerita, sebenarnya Supar Wang ialah seorang yang peramah dan tidak berbangga diri. Dia juga suka menolong orang yang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan. Sebab itulah Supar Wang disenangi oleh kebanyakan orang di seluruh dunia. Seperti Superman... Supar Wang juga kadang jadi idola dan igauan oleh orang setengah-setengah.

Masa tinggal tiga hari lagi, Si Pengurus bank semakin yakin, kemenagan akan berpihak kepadanya, hampir setiap minit dia akan membuat kepastian. Isteri dan anak-anaknya juga sesekali merasa hairan akan apakah yang menyebabkan Si Pengurus bank nampak sering bersendiri dan tersenyum tanpa sebab. Sejak pertaruhan dipersetujui, Si Pengurus tidak pernah menceritakan akan hal itu kepada keluarganya, dia berhasrat akan mengatakannya selepas memenangi pertaruhan nanti.

Dalam hati Si Pengurus bank sudah merasakan akan kemenangan dan terbayang semua pengurus bank di seluruh dunia akan mengangkat hormat kepadanya yang berjaya mengalahkan Supar Wang yang tersohor dan dianggap leggandaries oleh kebanyakan orang.

Esok adalah hari penentuan. Si Pengurus bank berlipat ganda keyakinannya. Sebenarnya ramai orang tidak tahu, Si Pengurus bank pun bukan sebarang orang, dia pernah menuntut ilmu meramal daripada seorang yang amat dikenali di Negara Kanoha. 

Transformasi  Super Saiyan God adalah kekuatan daya ramal yang bukan kepalang dan setanding dengan Super Saiyan Blue. Itulah antara kekuatan yang diandalkan oleh Si Pengurus dalam pertaruhan ini. Walau sesekali terasa getaran ketakutan di hatinya namun perasaan itu cepat-cepat ditepisnya dengan mengamalkan transformasi Super Saiyan God yang akan mengubah warna rambutnya menjadi merah seketika.....
Muzik Suspend Tanpa Bunyi

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba, Si Pengurus bank tidak sabar  menunggu Supar Wang yang akan tiba sebentar lagi. Debar hatinya semakin kencang .... kemenangan 50 ribu Pound Sterling sudah terbayang, namanya sohor meniti ke semua rakan sejawat di seluruh dunia seusai kemenangannya nanti.

Tepat jam 10.00 pagi, seperti yang dijanjikan, Supar Wang masuk dengan selambanya.

-Silakan duduk Tuan Supar Wang..... sapa Si Pengurus bank sambil tersenyum.

-Terima kasih, tuan.... apakah keputusan pertaruhan kita, tanya Supar Wang sebaik melabuhkan punggung di sofa tetamu.

-Saya telah menang.... Biji yang tuan katakan tinggal satu pada hari ini tidak berubah.... masih dua biji sehingga sekarang...jelas Si Pengurus bank.

-Ohh... begitukah... bermakna tuan memenangi pertaruhan.... Tapi ... pertaruhan kita bukan sedikit... bolehkah saya memastikannya.... pinta Supar Wang.

-Boleh...!! Silakan... izin Si Pengurus Bank dengan bangga sambil melondehkan sedikit seluarnya.

Supar Wang mendekat dan membuat kepastian dengan mengambil masa lebih kurang dua minit.....

-Betul masih dua biji..... tuan telah menang 50 ribu Pound Sterling... Tapi saya juga menang besar hari ini.... tuan lihat di hujung sana... seorang lelaki berbaju hitam..... ujar Supar Wang sambil menunjuk keluar...

-Ya nampak...di sedang perhatikan kita... jadi kenapa...??? Si Pengurus bank bertanya kembali... 

-Betul sejak tadi dia perhatikan kita.... Kami bertaruh Satu Juta Pound Sterling.... sama ada saya berani dan berjaya memegang biji tuan..... Sekarang saya telah menang Satu Juta Pound Sterling.... Terima Kasih Tuan.... Jangan marah ya...

Si Pengurus bank tergamam... hampir pitam........
                        
Cerita sampai di sini..... jumpa lagi.....






















20240828

MIMPI SEORANG PENGLIPUR LARA: Ada kala mimpi itu tiada penghujungnya.

 

Sahabat Bloogger: Tun Izhar Ishak,
 Seorang Photografer terbaik  pada zamannya
(foto hiasan)

Dia bukanlah seorang yang hebat.... Tapi terlalu hebat.... Dan keterlaluan hebatnya itu berlaku pada zamannya. Bila ya.... ada yang bertanya.... Sudah lama dahulu.... Jawab seseorang .... 

Zaman Paleolitik... agak seorang natizen.... bukan...  Atau Zaman Neolitik.... pun bukan.... Ahhh sudah pasti Zaman Mesolitik.... barangkali yaa...

Lupakan sahaja perihal zaman itu. Pokok cerita, di daerah itu dia seorang yang terlalu hebat.... Sebut sahaja namanya, keterlaluan hebatnya dia terserlah dan meniti tiap tangkai hati warga desa, daerah dan keseluruh negeri, malah merentasi ke segenap  penjuru dunia juga menyedari akan keterlaluan  hebatnya dia.

Bacalah apa yang tersirat, bukan sekadar yang tersurat.
(Foto Hiasan: Terima Kasih Sahabat: Tun Izhar Ishak)

Namanya Cot. Tinggal di sebuah desa terpencil. Tidak bertani dan menangkap ikan seperti warga desa yang lainnya. Cot cuma duduk di rumah. Di halaman rumah Cot ada sebuah pentas kecil. Luas lantai pentas sekitar dua depa orang tua yang tidak seberapa tua. Di hadapan pentas ada kawasan lapang yang tidak ditumbuhi rumput, luasnnya sekitar setengah padang bola sepak di Stadium Centenario Uruguay.

Di pentas inilah Cot mencari rezeki menyara isteri Siti Nurwanita serta dua orang anaknya. Setiap malam, kecuali malam Jumaat, Cot akan duduk di pentas kecil dan bertindak sebagai penglipur lara atau pencerita menghibur ratusan malah kadang ribuan tetamu Manakala para pengunjung datangnya dari seluruh desa sekitar daerah, juga dari luar daerah, luar negeri dan luar negara, mereka akan duduk bersila di kawasan lapang untuk mendengar cerita Cot.

Cot bercerita penuh gaya dan memukau pendengaran tetamu. Pelbagai hikayat, mitos dan cerita dongeng dipersembahkan setiap malam. Manakala siri cerita karut amat digemari tetamu setiap malam minggu. Sayugia diberitahu bahawa tetamu Cot terdiri daripada pelbagai suku kaum madani seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Pakistan, Arab, Bajau, Sakai, Temiar, Hindustan dan macam-macam lagi. Sesekali ada juga yang datang dari Rusia dan Amerika.

Dan setiap pertengahan cerita Cot akan mengedar Tabung Kehadiran tetamu. Tin biskut mayat hampir penuh setiap malam. Tetamu semuanya merasa akan kepuasan yang tidak terkata sepanjang dan selepas mendengar cerita Cot.

Kemahiran bercerita Cot luar biasa. Apabila cerita sedih dipersembahkan, para pendengar akan menangis teresak-esak. Bahkan ada yang menangis sehingga pulang kerumah dan menangis sepanjang malam hingga ke subuh. Ada juga yang terbuta matanya macam Kassim Selamat.

Apabila Cot bercerita kesah yang lucu pendengar akan ketawa hingga ada yang tertanggal gigi palsunya. Pernah seorang pengunjung tertawa sehingga mulutnya tidak terkatup selama dua bulan. 

Pernah juga Cot bercerita hantu yang menyeramkan.... Pengunjung ketakutan tidak terkata. Menggigil ketakutan hingga ada yang pengsan, rata-rata pengunjung terk.......ncing dan lapangan basah berlumpur jadinya seperti bendang tempat petani menanam padi.

Satu ketika Cot menceritakan akan Hikayat Hang Tuah.... pengunjung pula bertumbuk berpencak sesama sendiri.... ada yang memihak kepada Hang Tuah, sebahagian pula menyokong Jebat Derhaka. Perkelahian pengunjung berlarutan dan hanya berhenti pada keesokkan harinya sebelum waktu Solat Zohor.

Begitulah keterlaluan hebatnya Cot, bercerita sambil berseloka, berpantun dan bersyair sebagai Penglipur Lara yang gah pada zamannya.

Petang  itu Cot tertidur dengan nenyaknya di atas pangkin di bawah pokok mempelam rendang, tidak begitu jauh dari pentas kecilnya. Sepagi Cot letih memperbaiki reban ayamnya. Selepas solat dan makan tengah hari Cot tersadai di pangkin ini sendirian. Isteri kesayangan Cot Siti Nurwanita sedang berehat di ruang tengah rumah.

Arakian maka tersebutlah kesah pada satu Malam Minggu.... malam ini jadualnya sesi cerita karut yang ditunggu-tunggu.

Seperti biasanya cerita karut adalah cerita rekaan Cot. Tiada siapa yang tahu dari mana sumber cerita karut Cot. Yang peliknya para pengunjung sentiasa menunggu dan amat mengemari cerita karut melebihi semua cerita mitos, legenda, dongeng dan hikayat. Bahkan cerita karut telah mengangkat keterlaluan hebatnya Cot sebagai Penglipur Lara yang dikagumi di seluruh dunia.

Malam Minggu yang disebutkan ini kehadiran pengunjung luar biasa ramainya. Seawal petang lagi sudah ramai pengunjung mengambil posisi masing-masing. Ada yang berbekal pisang rebus, ada yang berbekal kacang rebus, ada yang berbekal ubi rebus, ada yang berbekal jagung rebus, kopi rebus, nasi rebus, mi rebus dan macam-macam bekal sementara menunggu hadirnya sang penglipur lara di atas pentas. 

Di sekitar lapangan juga terdapat penjaja kecil mengambil kesempatan  menjaja pelbagai jenis makanan seperti  pisang goreng, kacang goreng,  ubi goreng, jagung goreng, kopi digoreng, nasi goreng, mi goreng dan macam -macam lagi juadah. Semuanya menyelerakan hingga menjilat jari.

Ramainya pengunjung malam itu, paling ramai daripada malam-malam sebelumnya. Bersesak berhimpit, anak-anak kecil ada yang menangis kehilangan ibu... Pengantin baru ada yang terpisah dek ramainya pengunjung mengalahkan Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad.... ramai sungguh, riuh dan gamat menunggu munculnya Cot Penglipur Lara Pujaan Ramai.

Ketika masanya telah tiba, maka muncullah Cot di atas pentas. Kali ini ditemani isterinya Siti Nurwanita sambil mengibas-ngibas kipas tangan mengipas Cot yang duduk bersila. Cot mengenakan pakaian seorang pendekar lengkap dengan sampin, tanjak dan keris. Penampilan Cot kali ini sungguh luar biasa, bertambah-tambahlah keterlaluan hebatnya Cot.

Dikhabarkan angin bahawa isteri Cot, Siti Nurwanita ini  juga berbakat besar. Selain berparas cantik suaranya lunak ketika mendendangkan syair. Satu ketika dahulu ada jejaka yang gila hingga ke tua selepas mendengar Siti Nurwanita bersyair. Sejak itu Siti Nurwanita tidak lagi bersyair malah batuknya pun tidak diperdengarkan kepada orang awam.

Sebelum bercerita Cot membaca doa macam biasa. Bergema suara pengunjung mengaminkan doa Cot. Selepas itu barulah Cot memulakan ceritanya. Semua telinga tertumpu kepada suara Cot... senyap dan sunyi...

-Para tetamu yang saya hormati. Malam ini adalah malam bersejarah dan amat bermakna. Sebelum itu saya memohon maaf. Malam ini saya hanya akan bercerita tentang mimpi saya semalam. Walau hanya sebuah mimpi, namun mimpi ini berbeza dari mimpi segala mimpi.... Ini mimpi kebenaran... semuanya benar dan tiada yang tidak benar.....Semoga selepas ini kita hanya berpaksi kepada perkara benar dan melupakan perkara karut serta cerita yang tidak berfaedah. Maka dengan itu malam ini tidak diisi dengan cerita karut....Saya tegaskan....TIADA CERITA KARUT MALAM INI.

Suasana senyap mula bertukar bising, bantahan terdengar di semua arah... Para pengunjung marah tidak berlapik....Sorakan membantah sudah tidak dapat dibendung...Jeritan marah di sana sini... ada yang seperti orang gila dan memangnya ramai juga yang sudah tersedia gilanya.

-Karuttttt... kami mahu karuttttt.... jerit seorang ibu dengan lantang sambil menjulang tangan menampakkan gelang emas yang baru dibeli minggu lepas.

-Lupakan mimpi itu.... kami mahu karut.... seorang lelaki tua-tua sedikit menjerit geram, terserlah sebatang  gigi emasnya berkilau memantulkan  cahaya lampu sorot.

-Kalutttt.... kalutttt mahh...tuake ayam menyampuk sambil menggaruk perutnya yang sedikit terlondeh.

-Karuddddd.... Karudddd....Karudddd.... serak suara penjual karpet dari arah belakang hampir tidak kedengaran.

-Korukkkk......korukkkkk..... penunjung dari Korea Utara bertempik...temannya dari Korea Selatan mengangangkat dua ibu jari tanda like....

-Kayuttt..... kayutttt.....kayutttttt..... jeritan lantang seorang kanak-kanak berusia tiga tahun....

-Ayuttttt...ayutttttt... laung seorang bayi di pangkuan ibunya.

Rusuhan berlaku.... semuanya merusuh ke arah pentas.... pentas digoncang dari semua penjuru... Cot ketakutan dan gagal mengawal keadaan. Siti Nurwanita tergamam..... pelbagai objek mula berterbangan ke arah pentas kecil.... ada kasut melayang, ada sudu melayang, ada pinggan melayang, ada botol air mineral 1.5ml melayang, ada kuali melayang, ada  kamera model Rolleiflex melayang ada hp Nokia 1202 melayang .....Suasana hinggar dan kacau.... rusuhan tambah menjadi-jadi.... rusuhan terbesar dalam rekod dunia pada zaman itu. Sekumpulan berbaju kuning meloncat-loncat minta Cot letak jawatan serta-merta. 

Dalam ketakutan Cot menarik isterinya Siti Nurwanita ke dalam rumah.... pentas kecil dibakar... api menjulang tinggi. dan menyambar pokok kelapa berdekatan.... api dari pokok kelapa menyambar ke pokok nangka... api dari pokok nangka menyambar pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum.... api dari pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum merebak ke pokok pisang tanduk yang di tanam Siti Nurwanita..... 

Api dari pokok pisang tanduk yang ditanam Siti Nurwanita (pokok ini ditanam semasa Siti Nurwanita baru lepas berpantang kelahiran anak ke dua.) Kebetulan pagi tadi buah pisang tanduk ini hampir masak, Siti Nurwanita berhajat untuk menebang pokok pisang tanduk ini petang nanti. Nak buat kerepek katanya, bolehlah diagihkan ke jiran seorang sedikit.....itu kata Siti Nurwanita.

Kebetulan pula Siti Nurwanita ini memiliki resepi terbaik membuat kerepek pisang, terutama sekali resepi kerepek pisang tanduk yang diwarisi daripada arwah ibunya. Jiran-jiran pun selalu mengakui bahawa kerepek pisang Siti Nurwanita sememangnya sedap dan rangup... terasa sungguh lemak majerennya, kata seorang jiran.

-Senang aja buat kerepek pisang tanduk ni, kata Siti Nurwanita sambil tersenyum.....kalau nak belajar datanglah ke rumah.....  Jangan marah yaaa...