MASAM MANIS DI FELDA


 LAGI CERITA SAHAM 800-23/01/21
Masih hangat isu tentang Saham FGV.. Yang satu ketika dahulu pernah diapungkan dengan penuh bergaya dan gah di Bursa Malaysia...Seluruh dunia tergamam ketika itu...
Peneroka termasuk pakcik yang agak buta saham diheret terlibat dalam pembelian saham secara berhutang.... Ini bukan paksaan... Tapi siapa yang tidak BERSAMA dalam KEBERSATUAN ini akan dijeling dengan ekor mata sumbing....
Serba sedikit pakcik tahu bahawa Saham itu perniagaan... Ada pula kawan kata Main Saham... Hakikatnya saham bukan permainan.
Pelabur pula hendaklah bijak dan ada kalanya mengambil masa berbulan untuk mengenal pasti akan syarikat yang berpotensi besar untuk meraih keuntungan. Ini khasnya bagi pelaburan jangka panjang.
Sedikit rujukan bahawa saham itu ada dua jenis dan setiap jenis terbahagi kepada beberapa ketegori.... dan Saham FGV tidak sama dengan Saham KPF... Tentang risikonya pula Saham FGV amat tinggi berbanding KPF..
Fakta yang akan berlaku pada masa hadapan FGV akan dinyahkan penyenaraiannya dari Bursa Malaysia... Ini bermakna FGV berjaya mencipta antara rekod paling buruk dalam senarai Bursa Malaysia.
13 Januari Felda menawarkan belian balik (pindah milik) saham 800 unit kepada peneroka dengan harga RM1.30 per unit.. dan diberi tempoh sehingga 2.2.21.
Secara peribadi saya merasakan bahawa ini adalah tindakan yang wajar untuk seorang pelabur.... Sebab... sebagai pelabur tidak semestinya sentiasa berkeadaan profit ketika stop less... daripada lose seluruhnya ..adalah lebih baik mendapat sebahagian modal tersebut walaupun rugi.
Cuma Felda hendaklah mencari kaedah paling mudah untuk urusan pindah milik tersebut dalam tempoh terdekat....
Untuk merungut dan seumpamanya... Sudah jauh terlambat. Menyalah dan menuding jari pada ketika ini sudah tidak bermakna.
Lagi yang boleh dilakukan ketika ini Felda hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan keadaan dengan merealisasikan visi Felda Sebagai Pemacu Pembangunan dan meneruskan Misi meningkatkan Tambah Nilai kepada Peneroka....
Kata seorang sahabat di luar sana... Orang Felda itu terlatih hujahnya... Batuknya saja bisa menggetar hati Wakil Rakyat.... ( itu duluuuu.... kata si Sudin)

 

 CERITA TONG TENDER - 22/01/21

Semalam saya terkesan dengan rungutan seorang Anak Peneroka... yang mempertikaikan cara pemberian tender di Rancangan Felda... Secara peribadinya saya bersimpati.. Pada hemat saya:-
1. Kebanyakan kerja telah ditender secara terbuka... persaingan kurang memihak kepada Anak Peneroka.
2. Masih ramai Anak Peneroka tidak berdaftar dengan E- Ikof...sama ada kurang pendedahan atau kurang ambil tahu.
3. Masih ramai Anak Peneroka tidak berdaftar dengan Vendor FGV... akhirnya menjadi penonton kepada kejayaan kontraktor dari luar.
4. Pihak Felda sewajarnya telah lama menggunakan sestem tender online seperti FGV yang menggunakan eProcurehere.
5. Selagi tender dibuat dengan cara yang telah ketinggalan zaman seperti hari ini... ketelusan pemilihan pemenang tender akan sentiasa diragui.
Semoga akan ada perubahan dan TONG TENDER akan disimpan di Muzium Felda bersama olympia typewriter... jangan lupa letak tag: TONG TENDER ZAMAN DAHULU...Sehingga 2021....

 

KISAH SAHAM FGV -14/01/21

Sesal dahulu pendapatan.. Sesal kemudian tidak berguna.. Kata rang tua dahulu kala..
Sekitar hujung 2012 dan awal 2013 Perkhidmatan saya banyak membuat jualan balik saham FGV ...pelabur peribadi yang terdiri daripada kakitangan Anak Syarikat FGV ... pekerja kilang... Ladang... Polis Bantuan dan Trading....
Kebanyakannya memiliki 3 hingga 5 lot seorang... Hasil jualan Rm13000 hingga Rm22000 seorang...
Bagi saya dan seluruh peneroka... Tidak layak untuk membuat jualan balik kerana saham hanya 800 unit. Kurang 200 unit capai 1 lot untuk layak dijual.
Jualan saham peneroka hanya boleh dibuat sekiranya seluruh peneroka di rancangan tersebut ingin menjualnya....
Dengan hanya 800 unit sekiranya jualan dibuat ketika itu seorang peneroka mendapat sekitar Rm3600 dan saya mencadangkan jualan dilaksanakan...
Akan tetapi cadangan saya tidak diterima atas alasan ... Kita tunggu harga naik lagi....
Dengan pasti semua pihak berharap dan yakin bahawa saham FGV akan melonjak tinggi ...betapa tidak... Dengan nilai modal rizab tunai Rm5 bilion... Tanah ladang terbesar di dunia dan berkedudukan initial public offering kedua terbesar selepas Facebook... Siapakah yang tidak menaruh harapan.
Tiada siapa pun yang menyangka bahawa Tsunami Perdagangan merempuh FGV hingga menjatuhkan nilai saham serendah hingga menghampiri 70 peratus dalam hanya beberapa tahun....
Hendak ku nangis tiada berair mata... Nak ku rayu pada siapa.. Kata lirik lagu sebuah filem lama...
Dari sebuah syarikat yang dikagumi.. Dengan kesibukan mengira untung ratusan juta.. FGV bertukar mengira kerugian saban tahun juga bernilai ratusan juta...
Pemerhati menyimpulkan bahawa kejatuhan ini bukanlah disebabkan harga minyak sawit yang merendum... Akan tetapi antara penyebab hilangnya keyakinan pelabur adalah disebabkan skandal besar dalam Felda dan FGV yang disifatkan Skandal yang lebih besar dari 1MDB..... (rujuk ensiklopedia)
Dari awal lagi pelabur agak bingung dengan Felda dan FGV ... dua intiti yang berbeza tetapi dipengerusikan oleh orang yang sama...
Apapun kita mengharapkan agar ada sinar di hujung trowong yang gelap ini... Dan tulisan ini hanyalah sekadar mengisi ruang PKP dan tidak ditujukan kepada sesiapa walau pun kepada yang telah menanak nasi menjadi bubur.....wassalam.

 

                                  31/10/2020   ANTARA SUMBANGAN dan DUIT RAYA.....
Terdetak di dalam hati untuk meluahkan resah rasa yang berpintal sejak akhir-akhir ini.
Mula tahun hadapan Peneroka tidak akan diberi Duit Raya.... Malah Peneroka akan memberi Duit Raya kepada pihak yang akan ditentukan oleh FELDA.... Ini membuktikan bahawa Peneroka tergolong dalam kelompok warga yang berkemampuan tinggi hasil mashul tanah 10 ekar... dan kemampuan tinggi itu hendaklah diisytiharkan dengan penghapusan pemberian Duit Raya dan.. beralih menjadi penyumbang dan agar ringgit terkumpul akan lebih mendapat borrokahnya... dan terngangahlah mata orang di luar sana akan pembuktian bahawa Peneroka itu sememangnya berkemampuan tinggi... dan terselamatlah budget agihan Duit Raya bermula tahun 2021:...
Bukan membantah akan Ilham Dari Menara... Sekadar pandangan peribadi bahawa andai sumbangan itu diatur dan disalurkan kemana pihak pun tanpa persetujuan secara total dari pihak pemberi... akan timbul persoalan dan keraguan pro dan kontra.. Natijahnya sumbangan itu akan kurang keikhlasannya...
Ingin saya bertanya.. dan pastinya tidak akan dijawab... Apakah pihak di atas sana memikirkan bahawa selama ini Peneroka tidak pernah membuat sebarang sumbangan..
Tentang Duit Raya.. Tahukah anda betapa berbezanya rasa penerimaan Duit Raya itu bagi Peneroka.... Tahukan anda betapa tingginya nilai penerimaan yang pernah menambahserinya musim perayaan tersohor itu bagi kami...
Tahukah anda bahawa nilai pemberian itu jauh sekali dari mencukupi untuk sampul raya anak-anak jiran kami...
Tahukah anda betapa terkehelnya hati sebahagian besar Peneroka apabila ini diusulkan dalam situasi kami mengharapkan satu perubahan drastik yang boleh dibanggakan....
Saran saya.. Pada masa hadapan... Fikir-fikirkanlah akan kesan tindakan sebelum dilaksanakan... Kita dalam sebuah keluarga ..berbincanglah dengan sewajarnya.. Jangan jadikan mimpi sebagai gerak hati... Jangan biarkan kami merintih dalam senyum yang terpaksa... Jangan sampai anak cucu kami mengeluh.. "Alangkah baiknya kalau Si Tuah masih hidup... " ... Eheh... Jangan marah ya.. Nanti kena jual....

Selamat Hari Peneroka 7.7.2020 

Assalamualaikum Anak Cucu dalam pagar, luar pagar, atas pagar, tak kiralah di mana anda berada.... Hari ini 7.7.2020 umur Atok genap 64 tahun....
Dalam usia emas begini tentu banyak garam dah Atok telan, kalau asam gelugur, petai jering tempoyak budu tak terkira dah tah berapa kilo agaknya. Nak cerita pengalaman Atok rasanya 4 hari 4 malam tak sampai separuh lagi.
Cuma Atok nak kisahkan tentang kepala dan perut Atok ala kadarnya... Dulu Atok pernah disanjung orang seluruh dunia, sebabnya isi kepala dan perut Atok waktu itu dipenuhi zat dan vitamin yang cukup baik.... Waktu itu tak ada vairus tak ada komputer. Semuanya ditulis dengan tangan di dalam buku catatan harian ada juga di buku 555 tapi bukan mukabuku.... kertasnya pula berwarna kekuningan sedikit bukan Kertas Putih macam hari ini....
Kaki tangan Atok juga sentiasa cergas dan jujur mengurus tugas masing2. Seingat Atok waktu itu kaki Atok tak pernah sampai ke Mahkamah kecuali uruskan perkara baik2 belaka, urusan waris dan jual beli itupun jarang2 masuk peper tulisan jawi..... Atok juga masa itu tak kenal langsung dengan SPRM... Sebab itu Atok suka sangat warna pinang masak sejak dulu lagi. Akhir2 ini baru Atok tahu bahawa baju warna segitu tak berapa baik dipandang dek orang.
Sebenarnya pala Atok ni semakin pening sekarang... duluuuu memang betul... Atok bagi Anak Cucu macam2. Subsidi itu, subsidi ini... sampai gigi palsu pun boleh Atok bagi subsidi kalau perlu sangat. ... Tapi hari ini Atok bukan macam dulu.... Anak Cucu pandai2lah cari makan sendiri... duluuuu kuman seberang laut Atok nampak... sekarang gajah depan rumah Anak Cucu Atok tak peduli..dulu Atok cabut gading gajah simpan mezium Jalan Gurney.....
Siang malam makan tidur tak sedar dah 64 tahun.... hari ini ada orang kata Atok ni macam lombong emas. Yang ini Atok sendiri pun tak faham... maklumlah sejak dua tiga kali tukar otak ni... Atok pun tak perasan mana satu emas mana pula yang tembaga.... tapi yang jelasnya memang ramai sekeliling Atok yang makin membuyut perutnya ke depan.... Isss.... mintak maaf no kalau Atok banyak melalut... maklumkan dah tua2 sikit macam ni lah...
Sekali lagi Atok tegaskan bahawa umur 64 tahun ni memang dah tua... cuma Atok agak hairan Anak Cucu ramai yang tak dimakan tua... dah jadi Ketua Anak Cucu pun masih nampak tambah muda... Akhir sekali sempena tarikh bersejarah ini Atok ucapkan Selamat Ulang Tahun sesama kita.... Selamat Menghadapi Cabaran... jumpa lagi...

GERAM PEMBISUAN PEMIMPIN (CORONA)...

  

Assalamualaikum... Warga Peneroka moga kita dilindungi Allah swt... Sesungguhnya sejak mutakhir ini kita agak terkesan dengan situasi cemas yang melanda negara... Tsunami politik PRU 14 yang melakar sejarah... tempoh resah 22 bulan pimpinan bercelaru... Sedikit sanggang dan lega apabila Al Sultan leraikan kekusutan... disambut pula dengan virus menggetar setiap raga di dunia....
Persoalan timbul sampai bila keadaan ini berterusan....? Apakah tindakan para pimpinan Felda/Peneroka...? Bolehkah bentangkan sekucil buah fikir untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga Peneroka...
Atau hanya menunggu keadaan ini berubah dengan sendirinya...?
Melalui ruang ini... izinkan saya bertanya lagi.... Mana perginya pahlawan hebat yang membarisi Lembaga Pengarah.... pun yang menang dalam AGM Koperasi.... Apa yang anda fikirkan sekarang...? KPF contohnya... Inilah masa untuk anda menyalurkan Perkhidmatan. Bukan jumlah yang ditagih... sekadar perhatian dan kepedulian itulah yang sepatutnya ditunjukkan...
Berdiam dan mengunci diri dalam bilik tidur... apatah lagi setelah pejabat ditutup.... bukanlah tindakan terbaik sebagai barisan kepimpinan....
Kalau rungutan sebegini menjadi beban... sila lepaskan jawatan... Berhenti jadi lembaga pengarah... berhenti jadi Ketua Peneroka... pi dapur sana cuci pinggan sambil berselfie.....

 

 

 

  Beringat sebelum parah...      


    Satu ketika dahulu.. ada seorang pakar statistik dari sebuah universiti dalam negara, membuat kenyataan bahawa: Sekiranya Felda ini adalah sebuah negeri.. maka Negeri Felda itu berada di atas sekali di antara negeri-negeri di dalam Malaysia, yang penduduknya paling ramai mengamalkan Budaya Lepak...

     Agak panas cuping kita sebagai Warga Felda ketika itu... sedang kita sendiri tahu bahawa hakikat sebenarnya tidaklah seteruk seperti yang digambarkan dan analisis yang dibuat kemungkinan besar tidak menyeluruh.

   Dan ketika itu tiada sepotong jawapanpun dari pihak kita yang menidakkan kenyataan pakar tersebut. Entahlah... atau saya terlepas pandang.

   Hari ini terpanggil rasanya untuk mengungkit perkara tersebut walaupun Budaya Lepak sudah lama dilupakan orang dan telah menjadi sinonim dengan jiwa banyak orang.... sebenarnya kisah Tiga Sekawan dengan Telekungnya di Tanah Suci telah mengingatkan saya tentang statistik di atas.

   Kita bukan mengatakan bahawa di Felda banyak bapuk dan yang sewaktu dengannya, akan tetapi telah nampak sedikit yang gemar memakai baju bunga-bunga ini... dan sebelum parah, sebaik-baiknya pihak pengurusan Felda mengambil tahu akan akibat membiarkan gejala ini merebak sehingga sukar dikawal sebagaimana symptoms  koronavairus yang mengetuk setiap tangkai hati di maya ini.

   Bukan cuba mendidik itik berenang, akan tetapi sekadar mengingatkan sesama warga agar kita tidak akan berada di tempat teratas lagi apabila para pakar membuat analisis puluhan tahun akan datang... Jangan marah bossku....


Kisah Duit Raya


Alhamdulillah akhirnya Peneroka diberi duit raya... Sejak isu ini berlegar di ruang maya... pelbagai ragam manusia yang kita nampak. Ada yang penuh mengharap... ada yang mencebik mencemuh dan ramai yang diam mengikut arah angin. Hakikatnya.. itulah isi rumah FELDA.
Setelah hampir 30 tahun menjadi keluarga FELDA saya telah lunyai dengan situasi begini... hampir tidak ada satu pun isu yang disepakati secara total
.. walau silogan Sepakat Membawa Berkat tertancap di hampir seluruh tanah rancangan FELDA Bumi Bertuah.
Satu perkara lagi yang harus kita Warga FELDA sedari... momokan dan tiupan angin dari luar FELDA... kita dapat bonus dia cemburu... kita tak dapat dia sudah bersedia dengan pelbagai bahasa cemuhan. Kita dapat... katanya muka tak malu peminta sedekah dan seumpamanya... kalau tak dapat dia kata padan muko...
Secara peribadi saya berpendapat... Peneroka adalah manusia yang setia... bersyukur..redha dan berusaha... sebab itulah yang disemai dalam jiwa kami sekian lama... hanya segelintir sahaja yang hatinya bertindak sedikit luar biasa...
Pengalaman di persekitaran kami... ada kelompok manusia yang amat tidak senang dengan FELDA... jangankan sebut nama...nampak warna pinang masak pun kelompok ini meluat... akan tetapi sentiasa terhangguk-hangguk apabila bertemu dengan orang FELDA... terlebih lagi kalau kakitangan berjawatan... hangguknya banyak berulang.... iya bossku... ok bossku....
(ada kesempatan nananti kita sambung ya... itupun kalau tuan rumah izinkan...Salam Ramadan)






 CATATAN NOSTALGIA...22 Jun ini...tepat 28 tahun saya di Felda Sahabat... bergelar Peneroka yang juga berusia 28 tahun ketika itu. Perit rasanya tinggalkan kampung leluhur dan rakan taulan.. lebih2 lagi tiba di Sahabat pada malam Aidil Adha... (jadual pesawat diubah sebab jadual awal dibatalkan... ada bom lama ditemui di Lapangan Terbang Lahad Datu sehari sebelum jadual asal)
Tanpa mengenal sedikitpun tentang tanaman sawit.. ayah seorang anak ini mempertaruhkan nasib di tengah hutan belantara pokok minyak... khabarnya Gugusan Sahabat seluas negeri Melaka.
Kalau dulu ke hulu hilir mengendong kamera dan mengetik mesin taip... kini segalanya berubah 360 darjah... Tempat baru ini jangankan membaca akhbar seperti rutin tiap pagi sebelum ini.... siaran radio pun tidak ada ketika itu...
Mujur pengurus dan kakitangan Felda tidak pernah merasa bosan memberi dorongan dan semangat... kalau tidak... saya telah menyimpan hasrat untuk tinggalkan tempat ini sebelum cukup sebulan...
Luarbiasa apabila mula memasuki kebun sawit dan memulakan acara menuai... tersirap dalam hati bahawa inilah dunia yang paling sesuai dengan jiwa saya....
Setiap hari saya bertambah seronok menjalani hidup sebagai peneroka. Sepanjang tiga tahun sebelum Sistem Blok saya hanya mengambil cuti dua hari. Pertama cuti sakit dan keduanya apabila lahir anak ke dua.
Terlalu banyak kenangan dan pengalaman kalau hendak diceritakan semuanya.... Hanya sekadar perkongsian khasnya kepada generasi pewaris... ayuh kita sematkan dalam hati bahawa segala pahit getir yang kita tempuhi hari ini... Insyaallah akan menjadi kenangan manis satu ketika nanti....
Menangguh catatan ini saya iringkan dengan serangkap pantun lama semoga titipan ini sampai ke Puncak Menara:-
Tuai padi antara masak..
Esok jangan layu-layuan...
Intailah kami antara nampak...
Esok jangan rindu-rinduan....
Salam di pintu Aidilfitri2019
Jumpa lagi....


 UCAPAN AIDIL FITRI

 Lautan mana tidak bergelora... bumi mana tak ditimpa dek hujan... sedangkan lidah lagikan tergigit... waima gading pun kalanya retak... inikan pula sekeping hati manusia.... Tersilap tersasul adalah lumrah kita yang lemah... Menjelang lebaran esok... saya sekeluarga memohon sejuta kemaafan khasnya kepada seluruh warga Felda...
Pada hari yang baik ini... ayuh kita azamkan di lubuk jiwa...sama mengorak langkah baru... menepis nista bertingkah... yang pernah memburu resah tidur semalam.... Ayuh kita genggam bersama...seberkas maruah yang masih tersisa... biarlah Takbir ..Tahmid dan Tasbih yang kita laungkan.. akan menjadi bukti perpaduan yang terus kita pertahankan selamanya.... Selamat Hari Raya Aidil Fitri... maaf zahir batin.

****

 Assalamualaikum warga FELDA yang saya kasihi... Ramadan berlalu Syawal menjelma... Seperti tahun2 yang sudah tahun ini juga pasti ramai yang akan mengadakan Rumah Terbuka. Alhamdulillah semangat kejiranan masih utuh di FELDA Bumi Permata ...
Majlis makan seperti sudah sebati dengan warga FELDA. Masa Ramadan seakan menjadi trend adakan Majlis Berbuka.... selain setiap hari di masjid.. juga diadakan di pejabat... dewan...balai raya... rumah persendirian... restoran dan ada juga di kawasan lapang...( tetapi FELDA tidak buat di tokong ya...}
Pada hakikatnya memang majlis ini banyak kebaikannya... cuma apa yang dirisaukan apabila majlis dijadikan medan persaingan oleh pihak tertentu... lebih2 lagi andai berlebihan sembangnya hingga terlepas solat Maghrib....
Pun sama seperti rumah terbuka hari raya... peringkat wilayah... kampung..rancamgan... blok dan individu... kadang dua ke tiga hari gantung periuk....!!
Sepanjang 12 tahun sebagai Pengerusi Masjid Wilayah... ramai yang mengadu kepada saya.. aduannya hampir sama... cara sajian dipertikaikan oleh golongan peneroka... vvip makan begitu...peneroka hanya begini... saya hanya dapat tenangkan keadaan dengan memberi harapan bahawa pada masa akan datang pasti ada perubahan... (sedangkan saya pun tetamu... bukan penganjur)...
Ramadan dan Syawal penuh dengan Ibadah... beribadahlah dengan penuh keikhlasan... saya sebut ini sebab ada kalangan tuan rumah majlis rumah terbuka pada zaman dahulu... dia persilakan kita makan.. tetapi dia sendiri tidak menjamah pun... kita ajak sekali dia menjawab dengan bangganya... kami sekeluarga Puasa Enam.... @##$%%&??.
Minta maaflah kalau ada yang tergores... Tapi hakikatnya begitulah.. beribadah dengan tidak menuntut ilmu...
Baru kita tanya rukun puasa berapa pun tergagap dia....
Bukan mengata di hari mulia... sekadar ingatan sesama saudara.. jangan sampai tingkah kita sendiri yang mencalar keindahan Islam dan ditertawakan orang...malu kita bosskuu.... Maaf Zahir Batin....

 

PEGAWAI VS PENEROKA


Pada zaman dahulu lebih kurang 7 ke 8 tahun yang lepas... sedang saya duduk sendiri di depan komputer di kedai saya di Felda Anjung Teduh adanya... Datanglah 3 orang jejaka kemas dan segak semuanya... menyambut salam sambil saya persilakan duduk semuanya.
Salah seorang memperkenalkan diri dan rombongan agak saya dia inilah ketuanya.... seorang sibuk membuat rakaman dengan vedio camera dan yang satu menulis di buku catatan.
"Kami Pemantau Felda dari Puterajaya ingin mendapatkan beberapa maklumat di rancangan ini..." tegas dan jelas.
"Maafkan saya tuan.. sebaiknya tuan dapatkan dari pejabat rancangan..." saya berusaha sesopan yang boleh.
"Kami tidak akan bertanya di pejabat... kami diarah untuk dapatkan maklumat dari kalangan peneroka..."
"Oh begitu... tentang apa ya..."
"Sebelum itu izinkan kami dapatkan maklumat peribadi pakcik dan perbualan ini akan dirakam..." chehh... macam polisi dalam drama Indon.
"Adakah pakcik tahu tentang penyelewengan, salah guna kuasa atau sebarang bentuk kesalahan dilakukan oleh kakitangan Felda termasuk Pengurus kalau ada..."
"Kalau hal begini.. saya agak kurang dapat tau tuan... mungkin ada tapi saya tidak dapat maklumatnya..."
"Mustahil pakcik tak pernah dengar..."
"Kalau setakat dengar belum pasti benarnya..." saya masih bersopan rasanya.
"Jadi pakcik mengaku bahawa rancangan ini bersih dari sebarang salah laku....?"
"Begini tuan... boleh tuan sebut satu sahaja nama agensi yang tidak pernah berlaku salah laku di Malaysia...? soal saya semula...
"Apa maksud pakcik....?"
"Maksud saya... setiap agensi itu ada berlaku kesalahan atau kesilapan. Besar atau kecil... jelas atau samar... yang pasti ada berlaku kebocoran akaun dan seumpamanya..disedari atau tidak."
"Tadi pakcik kata rancangan pakcik bersih dari salah laku....Ingat pakcik.. laporan ini akan sampai ke kementerian..!!" Ugut ker...
"Ohh... baguslah.. semoga tuan2 dinaikkan pangkat.... tapi tahun depan hantar saja budak pejabat buat kerja gini...."
Azan Asar memutuskan perbualan...
Bukan menggigit...sekadar mencubit...

FELDA - SEBUAH RIWAYAT

Kicau burung dan dingin subuh,
Menyambut salam kehadiran kami,
Ke ruang dakap mu,
Dari puncak Bilut hingga ke muara Sahabat,

Berbondong kami menghayun langkah,

Meninggalkan jejak semalam..

Meranduk resah menyusur gelisah

Riwayat itu pun bermula di sini…..

Gelanggang ini pencak baru gagasan perdana
Rimba raya kita lakar bersama
Titisan warna mencorak janji setia
Tanah sekepal inilah bumi yang dipijak…!

Kalau dulu kita bercerita tentang lurah tanpa nama,
Kalau dulu kita berseloka tentang riwayat dukalara…
Kalau dulu kita diterjah angin sengketa…
Kini FELDA tanah bertuah ini milik kita…
Kini FELDA bumi permata ini amanah kita…
Kita pertahankan seluruhnya…,
Hingga bertongkat paruh…

Ayuh…
Kita pastikan riwayat ini abadi selamanya..
Kita nobatkan tranformasi ini sebagai warisan bangsa
Kita gegar buana ini dengan cita dan paduan tenaga…
Kita kekang segala penjuru durjana…..
Wahai pewaris…!!
Riwayat ini dilakar dengan tinta berdarah,
Disenandungkan dengan titis keringat leluhur zaman
Lalu dibacakan mentera perjuangan…
Bakti disemai…bukti dituai…
Yusofdin Abd. Rahim
Felda Anjung Teduh,


Hala Tuju Koperasi Permodalan Felda

 Tahniah kepada yang menang dalam Pemilihan Lembaga Pengarah KPF... semoga gabungan orang lama dan baru akan memberi infak yang lebih baik dan berkesan.
Sebagai Koperasi berpengalaman...sebaiknya KPF dapat memberikan contoh terbaik serta didik ajar kepada Koperasi Rancangan yang sebahagiannya tampak seperti pohon kiambang... pucuk tak sampai akar tak jejak.
Tidak dinafikan bahawa ada Koperasi Rancangan yang telah berjaya dalam perniagaan sehingga melepasi sempadan global... namun masih ada yang terkial-kial mencari arah. Sentiasa berharap SPK yang dihulurkan oleh pihak Felda.
Ketelusan Lembaga Pengarah sering dipertikaikan. Lembaga bersilih ganti tidak membawa perubahan. Kursus dan seminar kalanya setakat memenuhi syarat. Mesyuarat Agung semakin tidak memperlihatkan kematangan.
Pembentangan laporan kadang tidak difahami oleh anggota.. manakan tidak, si pembentang sendiri pun kurang reti.. kan laporan dibuat oleh pakar upahan....
Sebagai pemegang saham.. anggota sewajarnya bertanya soalan penting... Berapakah Untung koperasi pada tahun kewangan yang dibentangkan.... Tapi yang sering dibahas tegang... berapa dividen dan bonus...dan Lembaga mencongak honororium...
Sebagai peneroka dan anggota KPF.. (walau saham ciput bangat..) Saya mencadangkan agar Lembaga Terpilih dapat membuat Sasaran Terperinci Lima tahun ke hadapan sebagai garis panduan demi keberkesanan objektif penubuhan koperasi.
Dengan pengalaman yang ada... hasil sentuhan jiwa yang besar dan luapan semangat yang jitu.. saya yakin KPF dapat meninggalkan sesuatu yang boleh dibanggakan satu hari nanti.
Kalau Bank Rakyat lahir dari sebuah koperasi... tidak mustahil KPF mungkin menubuhkan sebuah Universiti Felda.. contohnya.. dan tidak mustahil Lembaga hari ini akan terlakar namanya dengan tinta emas dalam sejarah negara.... Sekadar luahan seorang peneroka.. yang umpama melukut di tepi gantang... mohon maaf untuk semua...



 FELDA DAN KEPIMPINAN


 Terpanggil rasanya untuk melakar bicara.. tersentap dengan khabar mutakhir... Pengerusi mengundur diri tanpa diduga. Sebak, sedih dan sebal.. bergumpal dalam jiwa...
Walaupun dalam perutusannya seakan tidak ditujukan kepada golongan peneroka.. namun situasi ini terasa bahangnya.
Seolah ada perkara yang kurang beres... dan pergolakan ini pasti membawa kesan yang kurang baik ekoran tindakan Tan Sri Megat yang belum pun sempat dihafal namanya oleh sebahagian peneroka.
Pemulihan Felda rasanya masih berada ditangga yang paling bawah ketika ini. Sedang di luar sana tawa si bobrok belum pun kering gusinya... Episod resah ini nampaknya masih belum berakhir.
Andaikata ini bukan sembah derhaka.. ingin sekali pacal terpencil ini mengajukan cadangan....
1. FELDA kena lakukan tindakan agresif memulihkan Semangat yang kian pudar.
2. FELDA kena menoleh dan mentelaah kitab lama dengan mengurangkan sedikit rasa ego.
3. FELDA kena rujuk kepada Veteran Felda yang masih berbisa sengatnya. Ramai tokoh Veteran Felda yang masih berjiwa Felda... yang rasanya boleh dimanfaatkan buah fikir mereka.
4. Lembaga Pengarah FELDA hendaklah dipilih dan dicadang oleh Orang Felda. Buatlah akujanji sewajarnya agar mereka bertanggung jawab sepenuhnya dengan amanah yang diberikan.
5. Kurangkan jabatan dalam Felda. Atau satukan jabatan sedia ada... untuk kurangkan jawatan pengarah yang tidak membawa keuntungan.
6. Kurangkan Raja Lawak dalam kepimpinan Felda sehingga peringkat Wilayah dan Rancangan....
Sekadar pandangan...maaf ..bukan mencubit sekadar mencuit...


SEMPENA HARI PENEROKA

 
Jarang2 saya berkicau tentang Felda dan Peneroka di alam maya. Al maklumlah sejak zaman keris sakti lagi rumah besar ini banyak pantang larangnya.
Silap kicau badinya menular tujuh keturunan.
Hari ini izinkan saya membentang lakaran tidak berwarna... bukan tujuan saing Kertas Putih yang amat tinggi martabatnya... sekadar penglipur lara sesama Peneroka.... moga tidak membekas di hati perdana.
Ingin sekali saya mendengar hujah... Cara terbaik Peneroka berpendapatan RM500 sehari.... atau separuh RM250 sehari atau sekadar RM50 sehari.
Mungkin ada yang tergolek ketawa.. atau gugur giginya tersenyum sinis.. saran gilakah ini....??? Atau Peneroka ini tersalah minum...
Bagi saya RM500 sehari pasti ada caranya...RM250 ada usahanya dan RM50 sehari ada ikhtiarnya.
Saya yakin... otak keramat di Puncak Menara ada resepinya... paduan ilham di 11 wilayah mampu mengorak daya fikir di luar kotak... asalkan mahu berubah dan tidak menunggu perubahan...
Harap tiada yang tersentap... bukan niat mencabar sesiapa... cuma sama kita beringat.. tanggungjawab dan amanah itu akan dipersoalkan nanti... ketika itu sesal berganda tiada gunanya...
Lurah Bilut awal pembuka...
Gugusan Sahabat penghujung cita...
Coretan senja penebat luka...
Ampun maaf penangguh kata...
Selamat Menyambut Hari Peneroka...

 

 ULASAN PENGARAH TAK DIBAYAR ELAUN


Hampir seminggu berlalu... Felda dan KPF memutuskan tiada elaun serta imbuhan diluluskan kepada Lembaga Pengarah FGV.... Keputusan yang amat luar biasa berupa tamparan hebat ke atas pundak peneraju FGV khususnya Pengerusinya....
Bukan sahaja mematikan sama sekali KEGUMBIRAAN Pesta Aidil Fitri yang menampilkan aksi pelik selang beberapa hari.... Bahkah keputusan tersebut juga umpama penampar di muka Lembaga Pengarah FGV... yang mungkin juga isyarat bahawa secara halus anda dipersilakan membawa diri....
Mereka mahu kita berkerja tanpa membayar gaji... luah Pengerusi.
Sewajarnya kedudukan Lembaga Pengarah sebagai pembuat dasar dan meluluskan dasar... yang kadangkala dasar yang diluluskan itu membuka pintu rumah untuk dilawati oleh pakcik makcik SPRM....saran saya hendaklah dipertimbangkan semula keputusan luar biasa tersebut........ ......
Sekurang2nya ada elaun yang perlu dibayar dan ada yang perlu diperhalusi.... dan FGV pun kenalah sedar bahawa adanya anda adalah hasil usaha Felda.
Tapi alangkah eloknya kalau FGV dan Felda itu hanya dikendalikan oleh Lembaga Pengarah yang satu... seperti dulu.....
Tak salah kan... kita guna strategi yang lama untuk wawasan yang baru...?

SEKADAR SEBUAH UNGKAPAN


Pohon durian kami sudah tidak berbuah lagi..... rindu rasanya menunggu musim gugur seperti dulu. ... Di pojok ini...terngiang kenangan waktu itu... tika luruhnya buah durian... ria hati si anak kecil...ibu tunggal jiran sekampung....kini rantingnya gugur satu-s a t u....
Sedang tok ayah mengharap dan bertanya... berputik sudahkah pohon durian kita.... nenek di rumah... terkecur liurnya menjamah tempoyak baru... bekal semalam sudah lama tidak bersisa...
Ahhh... kalaulah Si Tuah masih hidup....!! Keluh tok ayah terdengar di mana-mana.... sedang si kecil di atas buai... mimpinya ngeri sekali... pohon durian tumbang menyembah bumi... dahannya riuk... bersepai rantingnya ke seluruh dunia....

 Selengkar Kisah


Al kisah maka tersebutlah cerita sebuah desa yang namanya disebut orang sebagai Kampung Finang Masak. Adapun Kampung Finang Masak ini bertaburan lagi serupa begitu ada Finang Mentah, ada Finang Muda, ada Finang Dibelah Dua, ada Finang Sebatang dan macam-macam Finang adanya dan semuyanya agak sukar dicari dalam peta dunia.
Dikhabarkan bahawa kebanyakan penduduk Kampung Finang Masak kerjanya menanam pokok serupa kurma di padang pasir. Akan tetapi pokok ini buahnya tidaklah semanis kurma... tapi mengeluarkan minyak juga dan kalau diteguk sesudu sehari akan meningkat tinggilah harganya.
Setahun sekali Kampung Finang Masak dipertandingkan dan kiranya menang akan mendapat wang tunai satu ringgit...satu juta keping banyaknya dan akan dibahagi tidak sama rata tingginya di kalangan penduduk.
Sejak dahulukala Kampung Finang Masak diketuai oleh seorang Tok Ketua yang kepalanya selalu terhangguk-hanguk apatah lagi kala terlihat kertas berwarna unggu dan biru-biruan.
Lagi seperkara kepala Tok Ketua juga sering dipegang dan dilatih agar senang berhangguk tika diperlukan oleh Ketua Tok Ketua.
Adapun cerita ini sekadar penglipur lara dan bukan sindiran cuma coretan berhelah agar tidak terasa sakitnya bagi yang terkena atau tersenggol tidak sengaja.
Kata tukang cerita... jangan marah bossku, kalau marah kelak kena jual dan jadi abdi penjaga kandang unta...akhirnya menyesal sampai ke tua....


 Bukan Marah Bossku

Kita belajar dari apa yang berlaku. Nek moyang zaman dulu banyak tinggalkan khazanah yang boleh dijadikan panduan sepanjang hayat dalam semua bidang. Antaranya... sesal dahulu pendapatan... terlajak perahu boleh ditarik... buat baik berpada-pada... sudah terhantuk baru terngadah...dan banyak lagi...
IKON itu idola...contoh... simbol... dan pelbagai lagi gelaran yang menjadi aspirasi....
Maka jawatankuasa pemilih hendaklah berhati2. Di Felda... sebaik-baiknya ada pencalonan dari peringkat rancangan dan wilayah.... barulah keputusan dapat diterima dalam kelompok yang majoriti dan tidaklah ada yang terlolong tertungging ketawa dan sebagainya....
Begitu juga dengan pemilihan pemain bola pilihlah sebaik2nya. ....pilih pemain tahun ini untuk tahun depan.... jangan seminggu dua liga bermula pemain baru dicari guna sms.... pesan nek moyang.. kalau berkerja jangan sambil bermain... kalau bermain jangan main-main....

AL KISAH TERSEBUTLAH

Akhirnya penduduk kampung Finang Masak meneruskan tangis sendu pagi dan senja. Air mata sudah berpuluh tempayan malah melimpah ruah setiap hari....
Tersebutlah kisah seorang jejaka yang tidak seberapa lelakinya dan suka pakai baju bunga-berbunga... kala hobinya mahu menampar warga...
Ramai juga yang sukakan si baju bunga terutama makcik bawang dan pakcik kentang yang sukakan pelanta dan haruman rempah kari adanya.
Ketika rumah dibina berjuta saat yang lalu telah siap sepenuhnya... kedengaran makin banyak bunyi pahat di hulu dan hilir.
Kertas sewarna kain kafan yang kununnya (sebenarnya 'kononnya' tapi mengajuk tajwid seseroang) mampu mengesat air mata penduduk Finang Masak...tiada kesan menampung penduduk untuk mendiri bahkan merangkak pun kian susah.
Manakala kelastarian Finang Masak yang diharapkan hampir-hampir sampai ke penghujungnya hasil buah fikir orang di atas yang dulu dan sekarang juga.
Gagasan kesatuan Finang Sekampung kala menggusarkan hati terutama mereka yang suka bermesyuarat dan selepas mesyuarat itu. Khabarnya kalau ini berlaku maka makin larislah jualan tempayan tempat menampung si air mata...ahhh..!! Fening Pakcik dibuatnya....


SEKADAR CATATAN
 Intipati Kertas Putih bilangan 1: Sewaan Tanah Jangka Panjang - Tanah peneroka yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini akan disatukan pengurusannya serta disewa dan diuruskan oleh Felda dalam tempoh jangka panjang. Ini akan menyelesaikan masalah peneroka usia emas, kurang berkemampuan serta kekurangan generasi baru untuk menguruskan ladang.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/…/Intipati-Kertas-Putih-dala….
Persoalannya: 1. Berapa lama tempoh sewaan yang dicadangkan/dipersetujui. 2. Berapa sewa sebulan/setahun. 3. Apabila ini berlaku apakah Peneroka akan terus menanggung hutang yang tidak pernah dibentang secara teliti. 4. Apakah langkah ini menjamin masa depan peneroka....

LUAHAN RASA

Salam saudara ku seluruh Felda.... Seperti mana yang aku mimpikan pada zaman dahulu kala... sekeping kertas putih itu sebenarnya terlalu banyak warnanya
Kala berubah2 warnanya dan sesekali bertukar corak dan cantingnya...
Khabar terbaru ada pihak kaya raya hendak menabur jasa mendapatkan saham terbanyak di FGV yang sekaligus akan menampar muka kaum karabat peneroka dan Felda...
Berbondong Ketua Peneroka sambil menjamu selera di Restoran D Saji sebulat suara membantah kehendak si kaya raya dan mendesak Felda menghalang agar perkara mengerikan itu tidak berlaku.
Sejauh manakah keberkesanan bantahan dan desakan tersebut.... ayuh kita tunggu hasilnya nanti.
Akan tetapi... mengikut mimpi aku pada malam seterusnya dalam siri ke2... akhirnya nanti... seperti bantahan2 lain sebelum ini.... akan terpesong juga apatah lagi apabila tiket pesawat lawatan ke Negara Sejuk dihulurkan sebanyak 11 keping sahaja.... jangan marah ya..... ini sekadar mimpi aku sorang Peneroka Daif di tepi gantang.... bukan sindiran sekadar usikan rasa agar kita sentiasa ingat sejarah lama.... pantun lama penutup kata...
Jangan diharap padi seberang... Entahkan jadi entahkan tidak...
Jangan diharap janjinya orang...
(terlupa pula rangkap terakhir...)....@#%%!#

CATATAN MENGUSIK JIWA


Agak ramai yang terlepas tahu... bahawa watak penting dalam mencetuskan ilham mengwujudkan FELDA bernama Tun Dr. Ismail..... Ungkapan amanat Allayarham: "Jangan sembunyikan sampah di bawah karpet..."... sejak mutakhir ini.. nampak bayang ungkapan tersebut seolah-olah menghampiri kita... khasnya warga Peneroka Felda....
Felda yang dulunya Hanya 1 di Dunia dan gah nya merentasi global... memiliki aset di laut, darat dan udara. kini nampak seolah baru belajar bertatih... jatuh dan bangun harapkan eshan tangan keramat....
Apakah situasi ini akan menemui titik akhirnya dengan penemuan lampu aladin satu ketika nanti. .
Ataukah Felda akan tercatat dalam buku sejarah dan menceritakan tentang zaman gemilangnya lalu satu ketika hanya tinggal namanya yang terpacak di Jalan Gurney.. .
Atau warga Melayu sendiri terlalu asing mendengar dan menyebut nama Felda ketika itu... sebagai mana pupusnya Bangsa Asyur ditelan zaman....
Hakikatnya... Generasi Felda kini memiliki tanggungjawab yang paling berat untuk mempertahankan setiap inci Felda...Bumi Permata ini.... Salam Perpaduan untuk semua warga Peneroka.

google.com, pub-2885404704271089, DIRECT, f08c47fec0942fa0

Tiada ulasan: