RENCAH KEHIDUPANKU

Selamat Datang.... ke blog yang bercelaru ini. Mulanya blog ini saya buat untuk mempromosikan perniagaan saya. Akan tetapi hari ini saya mengubahnya menjadi Blog Biografi. Kenapa saya mengubahnya, kerana saya memikirkan bahawa Biografi itu lebih bermakna dari perniagaan saya yang tidak seberapa. Insyaallah saya akan nyatakan juga kenapa saya menulis Biografi sendiri, sedangkan saya bukanlah siapa-siapa yang perlu dikenali oleh siapa-siapa. Saya juga akan memperinci Biografi ini secara jujurnya dan pasti akan sembunyikan perkara-perkara yang berkemungkinan akan menimbulkan keaiban di mana-mana pihak.


 Kelahiran dan Zaman Kanak-Kanak

Lahir pada Hari Selasa: 29 Oktober 1963 bersamaan 11 Jumadil Akhir 1383.  Kata arwah nenek, selepas Musim Banjir di Daerah Tuaran, Sabah. Sepuluh bersaudara ada 3 orang abang, 3 orang kakak dan 3 orang adik. 
    Lahir dalam keluarga yang serba kekurangan, bapa hanya seorang pekerja rencam dan ibu hanya seorang suri rumah.
    Zaman kanak-kanak amatlah indah walau tiada peralatan permainan sehebat hari ini.
    Masa itu pelepah pisang pun sudah cukup untuk dijadikan bahan permainan. Sungai dan hutan pula menjadi tempat yang menyeronokkan.... apatah lagi rimpunan pohon bemban yang banyak tumbuh dekat rumah.
    Sesekali kumpulan kami menangkap ikan di parit atau lopak... hebatnya ketika itu... guna tangan saja boleh dapat banyak ikan.


ZAMAN SEKOLAH RENDAH.
Saya paling rendah, Abang Hisabdin dan Yakuldin

Ini part yang paling tidak menyeronokkan. Sejak hari pertama saya sudah membenci sekolah. Tiada yang menarik di sekolah dengan kehadiran seorang anak kampung yang miskin dan sering menjadi ejekan...
   Bayangkan berkaki ayam sejauh 5 ke 6 kilometer perjalanan pergi balik setiap hari.... minum air paip ketika haus di sekolah dan air sungai ketika dalam perjalanan pulang.... 
   Sempitnya kehidupan ketika itu tidak dapat dibayangkan... dan kalau hendak diceritakan semuanya rasanya boleh meruntun tangkai hati.
    Selama setahun  saya sakit... diserang wabak kudis buta dan tidak pernah ke kelas darjah 3... selepas darjah 2 sakit dan sembuh sedikit ketika hari pertama darjah 4....
     Di darjah 4 inilah kebencian saya terhadap sekolah bertambah setiap hari.... usikan pelajar... momokan guru yang menuntut pakaian seragan seperti pelajar lain.... sering ponteng terutama ketika hujan... pakaian hanya satu-satunya... dan darjah 4 ini sudah ada kasut getah tapi tidak berstokin.
     Masuk  darjah 5... tahun yang paling banyak bertumbuk... sudah berani melawan... 1 lawan 2 pun tidak lari ganggg... ramai juga pelajar yang kecundang jumpa kung fu kampung.
    Darjah 6 makin galak bertumbuk... satu ketika kung fu kampung pula kecundang... bukan 2 orang tetapi ramai... termasuk pelajar sekolah menengah... hampir pengsan saya dikerjakan.... dan ketika ini 2 orang antaranya telah kembali ke Rahmatullah... ke dua-duanya menjadi sahabat karib saya setelah dewasa...
   Masa itu kalau tidak lulus darjah 6 tidak boleh ke tingkatan 1.... sampai berjanggutlah mengulang. Tapi dalam perasaan jemu dengan suasana sekolah... saya lulus juga dan dapat masuk ke tingkatan 1..... Nanti kita sambung... Kungfu di Sekolah Menengah.... 

PENDEKAR GULI VS KUNGFU 
      Tajuk ada lain macam sikit.... sebelum itu ingin juga saya catatkan bahawa sekolah menengah kebangsaan adalah pilihan yang sebaik-baiknya untuk meneruskan pembelajaran ketika itu. Lebih-lebih lagi bagi yang kurang mampu seperti saya. 
    Akan tetapi, saya di SMK hanya satu minggu, kebanjiran pelajar mengakibatkan kami dipindahkan ke SM Jenis Kebangsaan. 
    Di sini semuanya berbayar, yuran bulanan, buku latihan, buku teks dan banyak lagi bayaran yang saya tidak ingat. Cuma yang teringat ialah suara-suara garang guru-guru yang menuntut bayaran setiap hujung bulan.
    Banyak mata pelajaran yang saya sengaja ponteng, puncanya...tiada buku teks, kurang buku latihan dan tidak membeli kertas lukisan....
    Di sekolah ini juga terlalu ramai pelajar Tionghua... kebanyakkannya akan mencebik bibir antara satu dengan yang lain apabila saya meminjam buku teks.
    Lepas lima bulan dalam tingkatan 1, saya terpaksa berhenti sekolah.... yuran tertunggak dan malu dengan tagihan guru serta sindiran kawan-kawan. Mulalah saya jadi kutu rayau di kampung.
Tiga bulan tidak ke sekolah, satu hari dapat pesanan dari pihak sekolah.
    Saya dimaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan biasiswa yang dipohon. Semua hutang telah dibayar kerajaan. Tapi keadaan tidak banyak berubah, buku-buku masih perlu dibeli. 
    Saya dan yang senasib dengan saya sekali lagi jadi pengamal ponteng. Masa ponteng kami main guli merata tempat.
   Dalam permainan guli saya selalu menang. Sebab yang mahu menang pasti akan menerima sekurang-kurangnya sebiji sepakan kungfu... 
    Tingkatan 1 dan 2 berlalu begitu saja, guru-guru membosankan.... kawan sedarjah mengjengkel tah apa-apa...
    Kalangan guru masih ada yang baik dan bersungguh-sungguh menyalurkan ilmu, antaranya: Cikgu Yusri Yusof dari Perlis, Ustaz... Cikgu Sains dan suaminya Lim Mah Ban... Guru Bahasa Inggris Mr. Gomez dan isterinya Guru Matematik, Mrs. Tresa....  semoga guru-guru tersebut masih sihat dan berbahagia bersama keluarga. 

Sebagai ingatan Mr. Gomez pernah memberikan wang kertas 5 ringgit kepada saya untuk membeli buku Bahasa Inggris... Semoga ini akan kekal selamanya dalam ingatan.... bahkah wajah Mr. Gomedz dan Mrs. Tresa masih teringat sampai sekarang.

   Sekolah menengah hanya setakat Tingkatan 3.... selain gagal dalam peperiksaan, sememangnya semangat belajar sudah terhakis sama sekali.

TRAGEDI HAMPIR MERAGUT NYAWA

Bukan sekali tetapi beberapa kali saya terlibat dalam situasi yang mencemaskan. Pertama ketia masih sekolah rendah, jatuh pokok ketika bermain bersama adik lelaki bongsu, Jumaldin. Dua kali terlibat kemalangan basikal yang agak teruk... Jatuh pokok rambutan semasa menangkap ayam waktu malam. Hampir lemas di sungai... tertimbus guni padi yang rebah dari susunan. Disengat tebuan ketika sudah berada di Rancangan Felda.... dan terkini kemalangan jalanraya di Sibu.... 

    Saya mencatat ini kerana mengingatkan diri sendiri agar mensyukuri umur yang dipinjamkan oleh Allah sehingga ke hari ini. Sehingga kini juga, Alhamdulillah saya belum pernah dirawat di hospital... semoga anda yang membaca juga sentiasa sihat dan dihindari dari bencana dan penyakit..... 

BERKERJA SEBAGAI BURUH KASAR
   Dalam usia muda, 16 tahun saya telah memulakan kerja sebagai buruh kasar membina bangunan. Sebelum itu kerja rencam di kebun koko dan sebagainya. Segala macam kerja dibuat dengan kudrat yang ada demi mendapatkan wang perbelanjaan sendiri dan membantu keluarga seadanya.
     Hari ini baru saya terasa bahawa kerja-kerja yang saya lakukan ketika itu adalah terlalu berat untuk seorang yang baru meningkat dewasa. 
     Namun saya sentiasa mensyukuri kerana itulah yang telah mengajar akan saya erti mencari rezeki.
      Selain sebagai buruh, pernah juga saya berkerja sebagai konduktor bas di sekitar Kota Kinabalu dan berkerja kilang roti di Inanam... kedua tempat kerja ini hanya bertahan selama tiga bulan.... Seterusnya saya berkerja di kantin Maktab Perguruan... juga 3 bulan dan akhir sekali di asrama SMK Kiulu... juga 3 bulan..... 

WARTAWAN SAMBILAN DAN PENULIS TAMU RTM KOTA KINABALU.
     Menulis berita, rencana, cerpen dan skrip drama radio... semuanya dilakukan untuk mendapatkan bayaran. Akhbar The Borneo Bulettin (Brunei Darussalam), WATAN, The Borneo Post, Sabah Times, Daily Express, Suara Sabah, WAKTU dan Majalah Gelihati... adalah antara tempat saya menghantar artikel. 
       Selain itu saya amat suka menghasilkan skrip drama radio... khususnya Sandiwara... sebabnya kerana bayarannya agak lumayan... 5 hingga 7 ringgit  satu minit.  
       Dalam menghasilkan bahan tulisan ini saya masih menyimpan semua memori dalam ingatan... semuanya saya hasilkan tanpa mesin taip sendiri... pinjam2 saja.
        Sayangnya semua skrip tulisan saya tiada salinannya tersimpan. Fail simpanan salinan sebenarnya dipinjam oleh sesaorang dan tidak dikembalikan. 
Antara cerpen yang disiarkan di Majalah Gelihati.

    Di akhbar WATAN saya menghasilkan rencana tentang politik. Setiap minggu saya akan menghasilkan tulisan tentang politik tanah air... sehingga kawan-kawan mengelarkan saya sebagai Subky Latif Tuaran...
     Kebiasaannya saya menulis tanpa draff... saya menulis secara terus dan akan berhenti selepas artikal itu selesai.
Bersama Guru... A Samad Said.
 MENIMBA ILMU DENGAN PELBAGAI CARA.
     Setelah gagal dalam persekolahan... saya tercari-cari apakah yang boleh saya lakukan dengan berbekalkan kegagalan ini.
     Saya mula berminat dengan penulisan berita, rencana dan kreatif. Saya perbanyakkan membaca, sehingga boleh membaca lebih 10 cerpen sehari dan boleh menghabiskan novel bermukasurat 250 ke 300 juga dalam sehari.
      Perpustakaan daerah menjadi rumah ke dua saya. Ada ketikanya waktu malam pun saya ke perpustakaan dan membaca... istemewa kerana pustakawan ialah sahabat saya.
     Menyertai pelbagai kursus dan seminar bagi menambah pengatahuan dalam pelbagai bidang. Paling lama berkursus di Pusat Latihan Belia Negara Peretak dalam jurusan Penyediaan Roti dan Minuman.... selama 6 bulan berkampung di Kuala Kubu Bahru Selangor... banyak kisah pahit dan manis di sini... ada masa akan diceritakan.

 TEATER DAN KEGIATAN
      Sebelum saya sambung catatan ini, ingin saya memohon kerjasama sesiapa sahaja yang sudi untuk memberi pandangan agar blog saya ini dapat lebih baik lagi. Insyaallah saya akan mengambilkira akan setiap pandangan anda dan tidak akan mengambil hati andai pandangan anda macamana sekalipun.
      Baiklah, Teater adalah sebahagian dari zaman remaja saya. Bukanlah pandai sangat cuma minat dalam bidang pementasan ini.
     Selain berlakon teater, saya juga menulis skrip dan skrip pertama saya telah memenangi Pertandingan Teater Peringkat Daerah seterusnya mewakili daerah ke Peringkat Bahagian.
      Persembahan teater banyak dibuat di merata tempat akan tetapi kumpulan teater sering bertukar-tukar. 
       Dari kumpulan teater jugalah kami membentuk kumpulan hiburan JYMM... dan kumpulan ini mewakili Negeri Sabah ke Pertandingan JUARA anjuran RTM di Angkasapuri...1988. Bersaing dengan artis yang telah popular hanya sekadar mendapat hadiah saguhati. 
     Selain itu saya banyak menyertai Sayembara Deklamasi Puisi... pencapaian terbaik Tempat Ketiga di Peringkat Kebangsaan di Terengganu.. selain itu dua kali hanya mendapat hadiah penghargaan. 
    
Ini Deklamasi Puisi di Pahang



JODOH DAN KEPERITAN SEORANG AYAH.
 Pernikahan dengan isteri pertama, Rahimah,  pada awal 1989..dan hujung tahun juga telah mendapat cahaya mata pertama Mohd. Ilham.. seronoknya bergelar ayah, rasa tanggungjawab makin bertambah dan mencabar. Apapun amanah ini harus ditangani.... walaupun ketika itu tiada pekerjaan tetap.
     Cabaran demi cabaran ditempuhi... tiada sumber tetap... tiada rumah dan dunia sekeliling seakan tidak menghiraukan rintihan hati seorang ayah ketika itu yang sebak melihat anaknya yang sedang merangkak memulakan kehidupan.
    Sedang saya terkapai-kapai ketika itu Allah menambah ujiannya dengan menjemput orang yang paling disayangi dan memahami diri ini... Ibu kembali ke Rahmatullah pada pagi 18 Disember 1990.... hilanglah sudah tempat mengadu dan bermanja... 
     
Hajat menulis riwayat ibu masih belum tercapai.... Insyaallah semoga Allah mengizinkan...
 HIJRAH KE FELDA 

    21 Jun 1991 merupakan tarikh permulaan menjejakkan kaki ke Rancangan Felda Lahad Datu. Kehadiran di daerah dan serba serbi terasa begitu asing. Namun kerana inilah pilihan, maka keterasingan itu saya dan isteri menghakisnya perlahan-lahan... Hasil semangat dan keazaman yang tinggi, akhirnya dapatlah kami sesuaikan diri dan bangkit sebagai Peneroka Felda Sahabat 2.
    Kini sudah 29 tahun saya menetap di Tungku, Lahad Datu. Alhamdulillah, keperitan hidup telah berlalu sedikit demi sedikit. Walaupun begitu, hidup di Tanah Rancangan ini juga banyak sekali cabarannya.
     Biarlah cabaran dan dugaan itu saya simpan sebagai peringatan sendiri dan tidak perlu diluahkan sepenuhnya di laman ini.
      Apa yang penting, sehingga kini usia yang dipinjamkan ini lebih banyak digunakan di Tanah Rancangan  dan semoga Allah memberikan sinarnya berpanjangan.
       Di sini juga saya meneruskan kegiatan menulis rencana dan berita. Juga meneruskan kegiatan menulis membaca puisi. Cuma teater yang tertinggal jauh di belakang sana.
     Mempengerusikan beberapa NGO, menambah pengalaman dan mengenali persekitaran dengan lebih berhati-hati. Kesimpulan pengalaman ini, buatlah baik berpada-pada.
  
KELUARGA KECIL YANG DIBANGGAKAN. 
Maksud keluarga di sini ialah, saya, isteri, anak, menantu dan cucu. Saya bukan bermnaksud untuk keluarkan adik beradik sebagai keluarga, namun untuk menjaga sensetiviti.. biarlah saya tidak menyentuh mereka dalam tajuk istemewa ini.
     Saya berkahwin dengan dua orang isteri... Rahimah dan Mulhaerie... melalui Rahimah saya dikurniakan 4 orang anak, Ilham, Siti Noraisyah, M. Izhardi dan Siti Mahira.
    Manakala Dengan Mulhaerie hanya dengan tiga orang anak bawaan dengan suami sebelumnya.
   Saya juga ketika ini menimang dua orang cucu perempuan yang comel. 
    Apa pun, kesimpulannya saya sangat berbangga dengan keluarga kecil yang sering menjadi tempat meluahkan rasa ini. Saya amat bertuah kerana Allah meminjamkan kepada saya sebuah keluarga yang amat memahami.
   Perkahwinan saya kali ke dua dalah hasil perbincangan dengan isteri pertama. Malah keputusan dan persetujuan telah diputuskan oleh isteri pertama dan ke dua. 
    Urusan poligami amatlah mudah sekiranya kita mengikuti semua peraturan yang telah ditetapkan.
     Tak pernah gaduh...? Ada tapi akan selesai secepatnya hasil perbincangan. Saya mengamalkan mesyuarat keluarga untuk memutuskan satu-satu perkara penting dan mengambil kira semua pendapat untuk dipertimbangkan.
     Anak-anak amat mengerti dan memahami akan semua situasi yang dihadapi. Saya amat bersyukur atas kurniaan anak-anak yang berhati lembut serta sentiasa meletakkan rasa hormat dan kasih sayang antara semua.
      Sesekali apabila menghadapi saat sukar, anak-anak akan muncul sebagai pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan kehidupan ini.
Kejayaan dan pencapaian anak-anak juga amat saya kagumi walaupun tidaklah sebaris anak-anak jiran dan sebagainya. Namun kasih sayang anak-anak dalam semua perkara adalah kejayaan yang paling besar bagi saya.....
   Tidak semua yang kita buat itu betul... Saling menegur antara satu dengan yang lain amatlah perlu untuk meneruskan kerjasama di kalangan keluarga. Dan ini menjadi amalan keluarga saya yang mengharapkan Redha Allah swt selamanya.

PUISI KEHIDUPAN.
      Kenapa tajuk ni...? Setelah agak lama berehat menulis catatan di sini... tiba-tiba tajuk Puisi Kehidupan...!!!
      Adakah saya seorang penyair...? Bukan... cuma sesekali saya menyertai Sayembara dan Pesembahan Diklamasi  Puisi... dan sesekali juga menulis puisi yang sebahagiannya ditujukan kepada diri sendiri.
     Saya juga meletakkan kehidupan ini seumpama berada di alam puisi. Sempit, mencabar dan penuh dengan pelbagai ujian, dugaan dan segala-galanya terhimpun dalam bait-bait puisi. 
    Manakala untuk memahami puisi itu adakalanya amat payah dan memerlukan tumpuan serta pemahaman yang mendalam. Begitu hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat memahami akan erti sebuah puisi yang menghimpun pelbagai makna... waimma hanya sepotong ayat sekalipun.
     Dalam sebuah puisi kita dapat memahami banyak perkara dan mendidik kita untuk meneruskan langkah ke tempat tujuan. Puisi itu amat indah untuk dihayati.
    
PERNIAGAAN SAYA....
     Saya memulakan perniagaan dengan pelbagai bidang. Pernah berniaga sayuran dan buah-buahan, ikan, jualan langsung dan jual buku.
     Tahun 2007 saya memulakan perniagaan ESTETIK SERVICES, perkhidmatan jualan tiket pesawat, kapal laut dan Perkhidmatan Awam.
     Membuka peremis di Felda Anjung Teduh, di Felda Cenderawasih, di Kg. Remang Lahad Datu dan Restoran D' Bayu di Anjung Teduh. Juga mengusahakan D' Rabit Sahabat di kawasan rumah.
      Jatuh bangun dalam bidang ini adakalanya amat perit dirasakan. Ketabahan mengharungi ujian amat diperlukan. Adakalanya cabaran dan dugaan seakan tidak tertanggung rasanya. 
    
ESTETIK SERVICES
Tajuk Seterusnya:
                            =  Catatan Paling Hebat (Yang Anda Perlu Tunggu dan Semak)Yang ini saya buat dalam Halaman Baru.... sila semak semua halaman dan catatan.
    

Tiada ulasan: