20230108

SINGOI: Peneroka Felda Cemerlang-Pembawa Obor dari Tuaran

 


Seawal pagi itu, ketika sinar matahari belum menyimbah cahayanya di Kampung Lokos, Kiulu Tuaran. Singgoi Bolohok @ Singoi dan isteri, Linak Binti Palalun, bersiaga memulakan langkah bersama dua orang cahaya mata yang masih kecil untuk melakar kehidupan  baru sebagai Peneroka Felda Sahabat Satu di Lahad Datu, 32 tahun yang lalu.

Berjawatan Pengerusi JKKK ketika itu, Singoi mengambil keputusan nekad untuk meninggalkan kampung kelahiran, jawatan, rakan-rakan dan sanak saudara apatah lagi pekerjaan sebagai petani dan kerja kampung  yang agak samar menjanjikan masa depan  keluarganya.

Kampung Lokos Kiulu (Rumah Singoi bertanda merah

Menerima tawaran sebagai Peneroka Felda, sebenarnya satu keputusan yang sedikit meragukan dan merisaukan sanak saudara yang ditinggalkan. Maklumlah ketika itu Gugusan Felda Sahabat terletak di kawasan Tungku, kawasan hitam dan kurang selamat. Ini dari sudut pandang penduduk di Pantai Barat Sabah, kerana sering mendengar khabar akan gangguan bajak laut yang digelar mundu.

Rupanya semua kerisauan itu hanyalah usikan kecil sebelum berada di penempatan peneroka itu. Kini 32 tahun sebagai pemastautin di Felda Sahabat Satu, Anjung Teduh, Lahad Datu, Singoi dan keluarga telah berjaya membina kehidupan yang lebih baik.

Ayah kepada lima orang anak, Singoi dalam usia 65 tahun telah memberikan contoh Peneroka Cemerlang dengan kesemua anak-anak berjaya melepasi tangga Menara gading.

Lima orang anak keluaran Univisiti

Tiga daripada anak berkerjaya sebagai guru, dua beradik mengajar di SK Cenderawasih Felda Sahabat 7, seorang sebagai pensyarah di Kolej Vokasional Butterworth  Pulau Punang.

Dua orang bertugas di FGV Holdings Berhad. Seorang sebagai Jurutera di  FGV Holdings Berhad, Wilayah Sahabat dan seorang sebagai Penolong Pengurus di  FGV Holdings Berhad, Wilayah Bera, Pahang.

Bersama Pekerja JNT


Bak kata rang tua-tua, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, di belantara pohon kelapa sawit ini, obor kepimpinan terus disemarakkan, Singoi telah menumpahkan jasa sebagai warga yang bertanggung jawab dengan menjawat jawatan Ketua Blok sejak tahun 2005, juga menjadi anggota Exco JKKR sebagai Setiausaha bermula tahun 2005 hingga kini.

Watak  ini dilanjutkan  juga dengan menjadi Anggota Lembaga Koperasi Peneroka Felda Sahabat Satu Berhad sejak lebih dua dekad   yang lalu di samping bergiat cergas dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA Zon Felda Sahabat).

 


Jiwa Petani

Demi menambahbaik  ekonomi keluarga, Singoi menjalankan perniagaan dengan membuka Kedai Alatulis Pustaka Josi di Bandar Cenderawasih dan bertindak sebagai Primier Center Point syarikat JNT (SBH415) juga di Bandar Cenderawasih.

Menambahkan usaha lagi, Singoi yang gemar melancong, mengusahakan kedai runcit di rumahnya di Blok 01 Felda Sahabat Satu. Beliau juga mengusahakan ternakan burung walit berhampiran rumah.

Berketurunan suku Dusun sememangnya pertanian agak sukar dipisahkan, bigitu Singoi meluangkan masanya dengan mengusahakan tanaman lada putih seluas 2 setengah ekar di kampung asalnya Kampung Lokos Kiulu. Manakala sekeliling rumah dimanfaatkan dengan tanaman sayuran jangka pendek.

 

Sarang burung walit Singoi

Agak luar biasa,  selain berjaya  menyalakan obor cinta akan pembelajaran di kalangan anak-anak, Singoi sendiri masih sempat menyelesaikan pengajian jarak jauh di Univisiti Malaya dan berjaya menggenggam Diploma Audit dan Perakaunan pada tahun 2003.

Mengenangkan diri yang berasal dari golongan kurang berkemampuan, Singoi meletakkan Pendidikan sebagai agenda utama dalam mentadbir keluarganya.

Baginya, pendidikan hendaklah melangkah lebih ke hadapan dan hendaklah dicapai dengan bersungguh-sunguh.  Sifat ini benar-benar diwarisi anak-anak dan lebih-lebih lagi  anak ke dua yang sehingga kini menjadikan Bahasa Inggris sebagai bahasa pertuturan di rumah.

 

Cucu..Sedari kecil berbahasa Inggris

Dengan usia emas kini, Singoi masih lagi mengharapkan agar generasinya akan sentiasa berada di persada pendidikan  cemerlang seiring semua bidang yang diceburi.

 

Semoga hasrat Singoi tercapai sepenuhnya dan cahaya obor semangat sentiasa bercahaya di kalangan generasi pimpinannya.

Sesekali ke luar negara

 

Bersama Pemimpin



 

Tiada ulasan: