20230101

(JEJAK RANTAU) BUDIMAN NAWI: Perantau Tulus Berjiwa Cekal

BUDIMAN NAWI

Bukan satu perkara yang mudah  untuk meninggalkan kampung halaman tempat lahir dan bermain pada zaman kanak-kanak. Apatah lagi turut berpisah dengan ibu bapa yang sudah berumur, adik-adik yang masih kecil dan sahabat handai teman bersenda dan seumpamanya.

Namun bagi Budiman Nawi,47, semua itu diatasi oleh hasrat dan harapan yang mekar berkobar untuk merubah masa hadapan yang masih panjang.

Pada usia 15 tahun, Budiman mengorak langkah meninggalkan kampung halamannya di Kacamatan Lamuru Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan Indonesia. Air mata perpisahan serta doa  sanak saudara mengiringi perjalanannya menuju ke negara jiran Malaysia.

Setiba di perantauan, Felda Sahabat Lahad Datu, Sabah sebagai lokasi di takdirkan untuk  Budiman memulakan hidup dengan suasana serba baru dengan mempertaruhkan tenaga dan kejujuran melakukan pelbagai kerja demi menampung keperluan seharian di samping menabung serba sedikit seperti yang dirancang.

 

Bersama Isteri, Sunarti


Pelbagai jerit payah diharungi siang dan malam, hujan dan panas, perinsip anak rantau, malas bererti lapar.. tersemat setiap detik di hatinya. Tanpa menoleh, tulang empat kerat diperagakan tanpa mengenal erti putus asa.

Maki hamun, sumpah seranah, tuduhan liar sewenangnya, muslihat pembohongan merata pun kecewa dan air mata kerinduan, merupakan asam garam segelintir  anak rantau, malah ada yang sampai ke tahap penderaan.

Mujur bagi Budiman, sepanjang di rantau orang ini, tidaklah seperit dan sesukar rakan rantau yang lain. Budiman selalunya bernasib baik dan dilindungi Allah berdasarkan sikap keperibadian sesama manusia. Pesanan ibubapa agar sentiasa berbuat baik di mana sahaja tersemat kemas dalam ingatan.

Hasil kerajinan dan ketekunan, Budiman menapak dari buruh ladang sehingga berjaya memperbaiki kerjaya sebagai pemandu jentera berat. Kerja ini sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan walaupun perlu menghadapi pelbagai risiko dan yang utama sekali hendaklah berhati cekal dan sentiasa menambah pengalaman.


Warung Makan Cha Cha

Pada tahun 2000 Budiman mengakhiri zaman bujangnya dengan memilih Sunarti Bedu, juga generasi perantau, sebagai pasangan. Jodoh di rantauan ini telah menguniakan tiga orang puteri sehingga kini sebagai penyeri rumah tangga.

Berbekalkan tabungan serba sedikit, Budiman akhirnya memutuskan untuk kembali ke tanah air dan membina kehidupan seterusnya di Kacamatan Watubangga, Sulawesi Tenggara.

Hasil pengalaman di rantau, Budiman mengusahakan kedai runcit dan Warung Makan Cha Cha di tepi Pantai Watubangga. Usaha dilipatgandakan lagi dengan membuka sebuah lagi warung makan di Anaiwoi Tanggetada . Sebuah kedai menjual alat ganti motor, menjadi agen dan membuka sudut  BRI di Watubangga. Selain itu mengusahakan ternakan burung walit dengan dua unit bangunan.

Bagi melancarkan urusniaga,  Budiman dibantu oleh enam orang pekerja di samping menydiakan kenderaan seperti tiga unit motorsikal dan dua buah kereta MPV pelbagai guna.

Bak kata orang, jauh perjalanan banyak pengalaman. Budiman menjadikan setiap langkahnya sebagai pemangkin untuk memastikan generasinya akan mengharungi kehidupan ini lebih sukses dan sempurna pada masa hadapan. Begitu setiap butir keringatnya yang tertitis ke bumi akan bersatu menjadi lautan harapan.

Budiman Nawi telah membuktikan bahawa anak rantau yang tulus telah kembali dan berjaya membina kerjaya tersendiri di bumi leluhur.  Semoga menjadi aspirasi dan teladan kepada perantau di luar sana dan yang baru merancang untuk menjadi perantau.

   Salam Hormat…  Jumpa lagi di JEJAK RANTAU seterusnya.

Tiada ulasan: