20230120

HAJI CHANDRA: Pemimpin Kecil Berjiwa Besar.

 

Haji Chandra Haji Basih

Ketua Peneroka Felda Sahabat 2, Haji Chandra Haji Basih, 65 tahun, merupakan seorang pemimpin setempat yang disenangi oleh kalangan warga Felda khasnya di Felda Gugusan Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Berpengalaman sebagai seorang mandor di ladang swasta sebelum memasuki rancangan Felda Sahabat 2 sebagai peneroka, memudahkan Haji Chandra menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Rajin, lincah, ramah dan bersungguh-sungguh adalah sifat semula jadi sosok ayah kepada lima orang anak dan datuk kepada 2 orang cucu ini.

Tidak cukup dengan sifat terpuji di atas, Haji Chandra juga salah seorang yang begitu gemar belajar pelbagai teknik kepimpinan di samping memiliki sifat pemurah yang tidak dapat disangkal lagi.

Kenyataan ini diperakui oleh seorang ahli Blok 04, Felda Sahabat 2 dan disokong oleh seorang mantan petugas Felda, Hajah Russ Marina Abdul Hamid.

Hajah Russ Marina

“Haji Chandra terbaik sangat, dia orag yang ramah, senang berurusan,  ringan tulang.  Setiap ada program dia pasti ada, orangnya suka bersedekah itulah dia murah rezeki,  Alhamdulillah moga dia terus cemerlang memikul tanggungjawabnya sebagai Ketua Peneroka” ujar Hajah Russ Marina.

Selain Ketua Peneroka, beliau juga menjawat jawatan sebagai Ketua Blok 4 Sahabat 2 sejak tahun 2005, Bendahari JKKR, Bendahari Masjid Nurul Hidayah, pernah menganggota Lembaga Pengarah Koperasi Sahabat 2, sebagai Ketua Platun Rela, Timbalan Pengerusi PIBG SK Anjung Teduh dan terkini sebagai AJK Pelaksana Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Sebagai pemimpin masyarakat, Haji Chandra mensasarkan program meliputi bidang ekonomi, pendidikan, sosial, budaya  dan kebajikan. 

"Yang paling penting... Saya dan rakan sejawat sentiasa membuat semakan dan berharap agar pihak Felda  dapat mengusahakan pemberian geran tanah peneroka Felda Sahabat. Semoga suara kami didengar dan aspirasi ini sebagai sasaran kami dalam tempoh terdekat." kata Haji Chandra.

Dalam program PPP, Felda Sahabat 2 mengusahakan ternakan lembu pedaging yang kini mencecah 1740 ekor dalam projek ke dua. Pada projek pertama kesemua peneroka seramai 178 orang menerima sebanyak RM850.00 se orang hasil keuntungan yang dibahagi secara sama rata.

Di tapak projek PPP

Selain itu program ekonomi juga meliputi pelbagai perniagaan sama ada berkumpulan atau secara peribadi.  Pihak Felda menyediakan tapak Medan Niaga yang dimanfaatkan oleh para peneroka dengan menjalankan perniagaan runcit, restoran dan lain-lain lagi.

Projek pertanian dan ternakan  seperti tanaman kelapa matag, ternakan ikan air tawar, ternakan burung walit,  tanaman nanas madu, cili lada bara dan tanaman kontan yang berpotensi dalam pemasaran.

Manakala perkhidmatan  home stay, pemborong kerja ladang dan beberapa perniagaan berbentuk perkhidmatan diusahakan dan mendapat sokongan serta sambutan dari pelbagai pihak.

Haji Chandra juga berkerjasama dengan pihak sekolah rendah dan menengah mengusahakan kelas tambahan, kelas fardu ain dan motivasi pelajar pada setiap tahun. Untuk memantapkan bidang pendidikan, Felda Sahabat 2 menubuhkan Tabung Pendidikan Rancangan dan Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang sebagai dorongan kepada ibubapa dan pelajar.

“Pada setiap Rabu, JKKR mengadakan lawatan ke setiap blok secara bergilir iaitu dari Blok 1 hingga Blok 10.  JKKR juga sentiasa mengadakan ziarah amal kepada peneroka atau keluarga yang sedang uzur.” tambah Haji Chandra.

Bak kata orang, bulat air dek pembentung, bulat kata dek sepakat, Haji Chandra sentiasa mengatur gerak untuk semua majlis dengan mengadakan perbincangan bersama semua pihak yang terlibat.

Katanya, pihak rancangan sentiasa mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti acara Kenduri Sekampung, Rahmah Ramadan dan Rumah Terbuka Aidilfitri/Aidiladha pada setiap tahun.

Acara rutin yang lain adalah sambutan Hari Peneroka, Hari Kebangsaan dan Sukan Tahunan.

Untuk kemudahan pelbagai kegiatan, pihak Felda telah menyediakan prasarana di rancangan seperti Dewan Semai Bakti, Balai Raya, Masjid, Pejabat Koperasi, Pejabat Belia dan Pejabat Rela.

Juga tidak ketinggalan litar motorcross, gelanggang futsal, padang awam, gelanggang bola tampar, takraw dan badminton.

Seperti di rancangan Felda yang lain, Sahabat 2 di bawah pimpinan Haji Chandra juga menyahut cabaran Felda dengan menyertai Pertandingan Anugerah Kecerian Rancangan Felda (AKRF) pada setiap tahun. Pencapaian terbaik adalah pernah berjaya ke peringkat akhir satu ketika dahulu.

Atas keprihatinan kepada pihak yang kurang bernasib baik, Felda Sahabat 2 telah menjalankan kutipan sebanyak RM500.00  setiap peneroka Islam untuk disalurkan kepada tabung wakaf Majlis Agama Islam setiap tahun.

Menyentuh tentang keperibadian Haji Chandra, tiga di antara anaknya merupakan graduan lepasan IPT tempatan. Beliau juga mkengusahakan sebuah Restoran & Katering, Homestay dan sebagai pemborong pertanian.

Di halaman rumah

Kegigihan dan keterampilan Haji Chandra mendapat pengiktirafan dari jabatan berkenaan dengan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bapa Misali, Peneroka Terbaik, Peneroka Contoh, Ketua Blok Cemerlang dan Anugerah Tokoh Mauliddurrasul.

Sebagai rujukan, Ketua Peneroka ialah pemimpin kepada JKKR dan di bawah JKKR terdapat badan/jabatan lain di rancangan seperti Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Majlis Belia Felda Rancangan, Koperasi Rancangan, Badan Masjid, RELA, Bomba Sukarela dan Persatuan Peniaga.

Kesemua badan/jabatan ini akan berkerjasama dalam melaksanakan kegiatan dalam rancangan. Haji Chandra mengucapkan penghargaan atas kerjasama dan sokongan kepada beliau selaku pemimpin peneroka khususnya kepada pihak Pengurusan Rancangan dan Felda Wilayah Sahabat, kata Haji Chandra mengakhiri perbualan.

https://estetikphotography.blogspot.com/

https://www.facebook.com/estetik.estetik.77

https://www.youtube.com/channel/UCgVxMPf_GLmJx2YFYRGkn_g

Tiada ulasan: