20231118

CATATAN PERJALANAN: SULAWESI 2023

KM Bukit Siguntang


Ramai yang bertanya tentang pengalaman perjalanan saya dan keluarga ketika menjelajah Sulawesi pada September dan Oktober kelmarin. Tentang pengurusan, pengangkutan dan  kos perjalanan.
    Dalam catatan ini saya akan seterperinci mungkin untuk menggambarkan perjalanan tersebut sekurang-kurangnya sebagai panduan khusus untuk rakan-rakan yang ingin melawat sahabat taulan di negara Zamrud Khatulistiwa ini khasnya di kepulauan Sulawesi. Selain itu, juga sebagai catatan peribadi di samping titipan tulus dalam arena pembacaan umum.
   

Monumen Cinta Abadi Habibie dan Ainon

    Sebagai makluman, Sulawesi terbahagi kepada   enam bahagian iaitu : Utara, Gorontalo, Selatan, Tengah, Barat dan Tenggara. Manakala kunjungan kami di sekitar Sulawesi Selatan dan Tenggara.
Habibie Persiden Indonesia Kelahiran Pare-Pare

25 September- bertolak dari rumah (Felda Sahabat 2, Lahad Datu) seawal dini hari, menuju ke Pelabuhan Tawau.  Perjalanan diiringi titisan gerimis dan  isteriku Mulhaerie memandu tenang sehingga kami sampai ke Pelabuhan Tawau sekitar jam 8.30 pagi. Terima kasih kepada penghantar kami - anak lelaki bongsu- Muhamad Izhardi dan keluarganya. Kos di sini melibatkan kira-kira  RM300.00 sahaja.
Santai bersama isteri di Pasar Malam Sultra

Setiba di Pelabuhan Tawau kami membeli tiket fery menuju ke Nunukan RM130.00 satu orang. Bagasi percuma seberat 10 kilo dan selebihnya akan dibayar RM1.60 sekilo.

Perjalanan ke Nunukan memakan masa sekitar satu setengah jam dan di Pelabuhan Nunukan kita akan berurusan masuk ke Indonesia melalui Imigresen Indonesia dan melaporkan penggunaan telefon bimbit dengan mendaftar nombor emei telefon. Kalau ini gagal dibuat maka telefon bimbit kita tidak akan berfungsi sama sekali untuk penggunaan panggilan dan juga jaringan internert.
Desa Rajan Pinrang

Jam 4 petang kami check in di hotel berhampiran pelabuhan. ini memudahkan pada esok pagi mendaftar masuk ke Pelayaran Nasional Indonesia (PELNI) iaitu kapal KM Siguntang.  Harga sebilik hotel IDR 450,000 (Empat ratus lima Puluh Ribu Rupiah) bersamaan RM135.00.

26 September- Menaiki KM Siguntang dari Pelabuhan Tunon Taka menuju ke Pelabuhan Pare-Pare. Tiket telah saya tempah sekitar 2 minggu sebelum perjalanan dengan kadar IDR330 ribu seorang... bersamaan RM122. 
Majjid Keringat Nelayan


Sebagai makluman, tiket PELNI boleh dibeli secara dalam talian tanpa melalui orang tengah. Sekiranya kita membeli melalui orang tengah atau di sini disebut Pengurus, harganya meningkat antara IDR 700 hingga 800 ribu seorang. 

Sayugia juga saya nyatakan di sini bahawa perjalanan kami secara rasmi seramai 4 orang iaitu saya, isteri Rahimah Rahim, Isteri Mulhaerie Wahide dan anak Siti Nur Mahira.  Setiba di KM Bukit Siguntang, kami bergabung dengan rombongan keluarga dari Sebatik seramai 11 orang dan menjadikan rombongan berjumlah 15 orang.
Masjid Terapung Pare-Pare


KM Bukit Siguntang merupakan kapal penumpang yang selesa dengan tujuh tingkat dek dan boleh menampung lebih dua ribu penumpang. Di kapal ini terdapat surau, 2 buah restoran, sebuah kafe, beberapa buah kedai runcit, karaoke  dan mini pawagam. Selain itu puluhan penjual perseorangan juga sentiasa berlegar di sepanjang perjalanan memperagakan pelbagai jenis jualan perkhidmatan masing-masing.
Dalam Kapal Bersama Anak: Siti Nur Mahira 


Pelayaran selama dua hari dua malam dari Nunukan ke Pare-Pare. Sepanjang tempoh itu pihak kapal akan menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam secara percuma.

28 September jam 4 petang kami sampai di kota Pare-Pare dengan jolokkan Kota Beriman. Kami langsung mendapatkan kenderaan ke Pelabuhan Bajoe di kota Bone. Tambang bagi seorang penumpang sebanyak IDR200 ribu, lebih kurang RM60.  Jarak perjalanan ini sejauh 718 km. Masa perjalanan sambil singgah antara 5 hingga 7 jam.
Pelabuhan Bajoe, Bone


Perjalanan waktu malam memperlihatkan hiasan lampu dengan pelbagai reka bentuk memukau dan mempersonakan khasnya ketika melalui pekan-pekan antaranya  Lawawowe, Pangkajene, Sarawatu, Sidrap dan Sengkang. Manakala sepanjang perjalanan layang-layang berlampu begitu banyak diterbangkan warga, mengurangkan lelah dalam kenderaan yang sendat.

Kami singgah di Sidrap (Kota Beras) untuk solat dan  makan malam. Kos makan 15 orang hanya sekitar IDR 600 ribu (RM200) Makan bersila dengan meja Jepun, seronok kata anakku.

Sekitar jam 1.00 tengah malam, kami sampai di Pelabuhan Bajoe, Bone. Di sini terdapat sebuah dewan penginapan dengan pelbagai pilihan. IDR 100 ribu satu kamar berkipas boleh muat 4 orang, di tengah dewan dengan sewa tikar IDR 50 ribu atau tidur di lantai simen atau kerusi panjang tanpa sebarang bayaran. Kami memilih sewa kamar untuk keselesaan sementara menunggu waktu pagi.
Desa Polenga



Jam 9 pagi 29 September, kami menaiki fery menuju ke Pelabuhan Kolaka di Sulawesi Tenggara. Tiket untuk satu orang IDR 120 ribu. Di fery juga ada pilihan, sama ada mahu sewa kamar beerhawa dingin dengan tambahan IDR 80 ribu atau sewa tikar mengkuang IDR 50 ribu satu tikar muatan 4 orang atau duduk di kerusi atau lantai tidak berlapik tanpa bayaran tambahan. Perjalanan ini memakan masa sekitar 7 ke 8 jam.
Ferry dari Bone ke Kolaka


Setiba di Pelabuhan Kolaka, menantu kami, Budiman dan abang ipar, Akbar, telah bersedia menunggu dengan tiga buah kereta. Jam 6 petang bertolak ke tempat tujuan iaitu Desa Polenga sejauh 60 km dari pelabuhan. Perjalanan satu jam setengah ini akan melewati pekan kecil Pomalaa yang terkenal dengan perusahaan nekal dan lombong tanah merah yang diusahakan hantarannya ke negara Jepun.

Di Kacamatan Pomalaa ini juga terletaknya Lapangan Terbang  Sangia Nibandera. Dengan pesawat hanya 40 minit penerbangan ke Kota Makassar.

Dari tanggal 30 September hingga 14 Oktober, kami habiskan masa melawat dan menziarah keluarga dan kenalan. Setiap hari dipenuhi dengan kegiatan berpindah randah dari satu rumah ke satu rumah yang lain. 
Bersama Ipar di Desa Rajan, Pinrang


Kesempatan ini juga kita gunakan sepenuhnya untuk meraikan majlis perkahwinan dua pasang pengantin iaitu anak saudara isteri, Mulharie. Budaya meraikan perkahwinan di sini tidaklah jauh bezanya dengan cara sambutan di Malaysia.

Satu lagi kacamatan yang sempat dilawat iaitu Boepinang. Pekan kecil di pinggir laut ini juga amat menarik untuk dikunjungi. Jalanraya yang kebanyakannya rata dan lurus amat memudahkan kunjungan ke sini keseronokkan ditambah dengan keramahan penduduknya meraikan tetamu.
Naik Beca keliling kota Pare-Pare


15 Oktober sekali lagi kami menaiki ferry dari Pelabuhan Kolaka ke Pelabuhan Bajoe, perjalanan balik ini akan kami singgah pula di rumah keluarga isteri, Rahimah iaitu di Desa Rajan, Bungin Pinrang.

Dari Bajoe  ke Bungin Pinrang jaraknya lebih kurang 175 kilometer. Perjalanan bermula jam 7.00 malam dan dengan pelbagai tempat persinggahan hingga membawa sampainya lebihkurang jam 3.00 pagi. Huuhhh.... banyak cerita sepanjang perjalanan ini sebenarnya. Sempit, sesat, geram, lucu dan sebagainya. Tambang kereta ke sini berjumlah IDR 200 ribu satu orang. 
Depan Pasar Boepinang


Tiga  hari di Desa Rajan... Ziarah merupakan perkara rutin apatah lagi selepas 10 tahun baru sampai sekali lagi di sini. Kesempatan terhad ini digunakan sepenuhnya dengan ziarah keluarga, tanah perkuburan, lawatan ke persekitaran desa dan meninjau projek ternakan walit. Manakala sawah bendang yang kemarau hanya menampakkan keperitan si petani.

19 Oktober kami tinggalkan Desa Rajan di Pinrang. Menuju ke Pare-Pare sejauh lebih kurang 75 kilometer, selamat tinggal Pinrang yang kaya dengan adat resam, budaya dan buah salaknya yang manis. Tambang seorang dalam perjalanan ini hanya IDR 70 ribu sahaja (RM26)

Pare-Pare merupakan kota yang pesat dan pintu utama masuk ke Sulawesi melalui pelayaran. Kota ini sedari dulu terkenal dengan Pasar Senggolnya dan kini tugu peringatan Cinta Habibie dan Ainon menjadi tumpuan para wisata. Banyak tempat yang menarik untuk dilawati di sekitar kota Pare-Pare. Manakala penginapan pelbagai pilihan juga tersedia untuk dipilih. Dari hotel bertaraf 5 bintang hinggalah ke Taman Pantai yang menediakan lapangan untuk menginap secara percuma. 

Bagi kami sekeluarga kami menginap di rumah saudara kami Suardi Umar dekat pelabuhan Pare-Pare. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Suardi sekeluarga atas layanan terhadap kami, insyaallah ada kesempatan kita berjumpa lagi.
Taman di Pantai Pare-Pare...


Dengan jolokannya sebagai Kota Beriman, di Pare-Pare terdapat puluhan masjid yang menarik gah dan besar di sana-sini. Salah sebuah masjid yang sering dikunjungi para pelancong iaitu Masjid Terapung yang bernilai IDR 209 miliar  dan berhampiran Masjid Terapung terdapat sebuah masjid yang tidak kurang gahnya yang dibina hasil keringat seorang nelayan Pak Haji Taju, iaitu Masjid Nurul Yassin.

22 Oktober kami berangkat balik juga dengan KM Siguntang dari Pare-Pare ke Nunukan. Tambang balik sebanyak RM144 seorang. 25 Oktober sampai di Nunukan dan bermalam lagi di hotel sementara menunggu hari esok untuk menyeberang ke Tawau.

26 Oktober kami terlewat satu hari dari sebulan di Indonesia dan dengan kesalahan ini kami dikenakan denda sebanyak IDR 1 juta seorang. 

Sampai di sini dan masih ada cerita dan foto lain boleh disemak di sini https://yusofdinar.blogspot.com/2023/10/catatan-perjalanan-merentas-kemarau.html