20230106

JEJAK RANTAU: Aliudin... Dari Tuaran ke Sydeny

 

ALIUDIN TAJUL ARIFIN -Sydney

JEJAK RANTAU kita teruskan. Kali ini membawa kisah Aliudin Tajul Arifin, dari Kampung Indai Tuaran, Sabah, Malaysia bersama isterinya yang berasal dari Kinarut Papar, Sabah.

Tanpa menoleh, dalam menghampiri usia emas (59 Tahun) ketika itu, Aliudin menjejakkan kaki sebagai pekerja ladang di Perth, Australia pada awal 2017.

Sebermula di rantau ini, Aliudin menyewa rumah  dengan bayaran seminggu sekali dengan nilai AUSD 110 seorang. (Lebih kurang RM327.00 Seminggu).

Bekerja sebagai pemetik buah strawberi , dengan tenaga yang kian diragut usia, Aliudin masih berpendapatan AUSD 700 (RM2077.00) seminggu. Pendapatan ini bersih selepas membuat bayaran balik kepada agen pekerjaan di Kota Kinabalu  sebanyak AUSD 200 seminggu.

Rutin harian seawal pagi memulakan tugas penuaian dengan tekun. Tidak semudah yang disangka, menurut Aliudin, dalam suasana sejuk berkabus adakalanya kita berjalan, membongkok malah ada yang sampai berjalan seperti itik atau hingga bersila untuk menyelesaikan tugas  petikan  yang baik.

Di Ladang Anggur


Penuaian buah mentah adalah dilarang sama sekali dan akan ditegur tegas sehingga diusir pulang sekiranya menuai dengan menggugurkan buah yang belum masak.

Pemilik ladang atau wakilnya akan sentiasa memantau pergerakan kita sebagai pekerja. Setiap pekerja ditugaskan menuai mengikut lorong batas masing-masing yang mana batas setiap baris panjangnya sehingga seratus meter. Bagi pekerja berusia muda mereka akan bergerak lincah dan biasanya akan menghabiskan lorong tuaian lebih cepat. Semakin cepat tuaian dibuat maka bertambah banyaklah pendapatan dihasilkan.

Peringkat awal pekerja akan dibayar dengan kiraan jam dengan kadar AUSD 20 (Sekitar RM59.00) per jam.  Pemilik ladang hanya membenarkan pekerja menuai  antara enam hingga tujuh jam sehari sahaja bermula jam lapan pagi.

Setelah mahir, pekerja boleh memilih untuk menuai dengan kiraan tray dan ini menghasilkan pulangan yang lumayan. Satu tray akan dibayar dengan AUSD 4 dan satu hari pekerja mahir boleh menghasilkan tuaian sehingga 100 tray. Ini bermakna satu hari pendapatan boleh mencapai AUSD 400 ( RM 1187.00- wow lumayan kan..)

Selain Strawberi, pemetik buah juga boleh memilih untuk menuai apel, anggur, afrikot,oren,  pear, cerry dan lain-lain.

Mengikut Aliudin, beliau sangat suka menuai blueberry kerana mudah dan menghasilkan pendapatan yang baik. Manakala memetik buah anggur pula sering mencederakan jari apabila tersilap gunting.

Istimewa di sini seusai bayaran agen pekerjaan selama setahun,  pekerja bebas untuk memilih ladang tempat berkerja mengikut kadar tertinggi yang ditawarkan. Manakala belanja makan harian juga dapat dibeli dengan kadar yang murah serta boleh menikmati makanan Malaysia dengan mengunjungi restoran makanan Melayu yang banyak di sekitar Perth, Sydney dan Melbourne.

Australia merupakan antara tempat terindah di dunia. Pekerja dari pelbagai negara akan mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan di persekitaran yang indah  sekiriranya ada kesempatan.

Bersama Rakan Sekerja

Bak kata orang tidak semuanya manis dalam perantauan, Aliudin suami isteri mengalami tekanan hidup di rantau apabila tempoh visa telah tamat dan gagal untuk disambung.

Bermulalah kehidupan sebagai pendatang asing di Negara Kanggaru yang ketat undang-undangnya melibatkan perkara sebegini.

Pernah beberapa malam tidur tidak berlampu sama sekali kerana takut dicekup pihak berkuasa dan adakalanya berjaga semalam suntuk demi keselamatan dan mengelak dari tertangkap. Ketakutan , kerisauan dan pelbagai perkara buruk berlegar dalam khayalan seandainya tertangkap dan menjalani hukuman.

Paling tragis bagi Aliudin dan isteri, satu ketika dalam perjalanan yang jauh dengan keretapi, terpaksa turun di stesen  yang tidak dirancang kerana pemeriksaan polis rupanya bermula dari gerabak ke gerabak.

Ketika pemeriksaan belum sampai ke gerabak tumpangannya, keretapi berhenti dan mereka bergegas turun di tempat yang terlalu asing dan sepanjang malam itu mereka bersembunyi dalam rimbunan pohon di sebuah taman  dari hiduan polis yang berkeliaran  di mana-mana. Saat ini, sepenuh jiwa raga kami serahkan kepada Allah, ujar Aliudin.

Ketakutan sebegini menghantui kehidupan harian seterusnya, Tindakan segera perlu diusahakan secepatnya untuk mencari jalan penyelesaian.

Santai selepas berkerja

Dengan pelbagai usaha dan bantuan pihak tertentu dia berjaya lolos pulang ke tanah air pada tahun 2022 setelah lima tahun bergelut dengan kehidupan panas sejuk di negara tersohor indahnya yang rupanya tidak seindah khabar.

Kepada bakal perantau yang berhasrat untuk berkerja di Australia, saran Aliudin, agar mendapatkan maklumat terlebih dahulu dengan pelbagai cara dan sebaik-baiknya pergi dengan tidak melalui agen pekerja.

Tiada ulasan: