20230202

BERHATI-HATI: Jangan Menjadi Mangsa Seterusnya

 

Sekadar Gambar Hiasan.... 


Khabar, berita dan rencana tentang mangsa penipuan atau scammer boleh dikatakan saban hari terpampang di mana-mana media.

Seperti yang kita sedia maklum, rakyat Malaysia mengalami kerugian berbilion ringgit sejak gelaja scammer ini berleluasa. Pelbagai cara dan teknik penipuan diperlakukan oleh pihak scammer dan memerangkap mangsa. Amat menyedihkan bahawa teknik berulang scammer sering membelit mangsa seterusnya.

Tidak menghairankan,  sekiranya mangsa scammer ini orang kebanyakan atau golongan buta huruf. Tetapi amat mengejutkan sejak mutakhir ini, mangsa scammer adalah golongan orang terpelajar, kaki tangan awam dan kalangan professional yang adakalanya menjadi tempat rujukan orang awam.

Mangsa terbaru merupakan seorang guru yang tertipu dan kehilangan ratusan ribu wang pencen arwah suaminya. Laporan polis telah dibuat untuk siasatan. Namun untuk mendapatkan wang semula amatlah tipis harapannya sebagaimana kes yang melibatkan mangsa lain sebelum ini.

Catatan kecil ini bukanlah bermaksud untuk memperlekehkan golongan mangsa, akan tetapi ayuh kita berusaha bersama agar masyarakat terhindar dari menjadi mangsa pelaku yang tidak  berhati perut ini.

Masyarakat hendaklah mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan bagaimana rentetan berlakunya scammer tersebut. Sikap ambil tahu ini, sekurang-kurangnya dapat menghindar dari berlakunya perkara yang tidak diingini.

Antara punca berlakunya scammer adalah kurangnya minat membaca dan mengambil tahu di kalangan mangsa. Bukankah kronologi berlakunya scammer itu dari peringkat awalnya, kebanyakan mangsa dihubung melalui pelbagai cara panggilan oleh orang yang tidak dikenali.

Pihak berkuasa khasnya pihak polis telah berulang kali… berulang kali… berulang kali…. mengingatkan agar masyarakat tidak melayan panggilan meragukan dan tidak dikenali, jangan dedahkan maklumat peribadi sesukanya dan bermacam ingatan..  Biasanya panggilan beginilah yang kebiasaannya akan membawa padah dan penyesalan di hujung penipuan tidak  bererti sama sekali..

Jangan terpengaruh dengan senyuman scammer...
(Yang ini pun Sekadar Hiasan juga)


Sedari awal dinyatakan bahawa scammer ini tidak berhati perut bahkan tidak sekelumit pun memiliki rasa kasihan terhadap mangsa. Kalau zaman dahulu kita dimomokkan dengan watak jahat sebagai bajak laut atau lanun… nah zaman ini scammer seumpama lanun moden yang licik, ganas dan menyusahkan.

Mantan seorang Ketua Kampung di Tuaran, Jumaldin Rahim, memperakui bahawa dengan banyaknya membaca, akan mengurangkan mangsa scammer di kalangan masyarakat. Mengaku bahawa pernah dihubungi scammer beberapa kali dan mengabaikan panggilan setelah meninggalkan pesan kepada golongan penjenayah tersebut dengan beberapa ungkapan nasihat...

"Kita tidak mengenali scammer, tapi scammer sentiasa mengenali kita dan berusaha untuk mendapatkan keuntungan dari kecuaian kita. Oleh itu berhati-hatilah terutama ketika menerima panggilan telefon yang tidak dikenali dan meragui" tambahnya.

Semoga selepas ini kita rajin membaca agar pengatahuan kita dapat membantu melepaskan diri dari gejala penipuan sebegini. Selain itu jangan segan berkongsi akan perkara yang meragukan khasnya berunsur ugutan, tawaran  dan seumpamanya. Tindakan awal sudah pasti akan menghindarkan diri dari terjerat dan menjadi mangsa penipuan.

Ayuh kita sebar saranan ini sekiranya memberi faedah kepada kita dan orang persekitaran kita.

 

Tiada ulasan: