20230201

KISAH PERJALANAN- Pontianak Kalimantan Barat, Indonesia.

 

Replika Bambu Runcing
Mercutanda Kota Pontianak



Perjalanan Darat, FELDA SAHABAT- LAHAD DATU- KOTA KINABALU- SINDUMIN-LAWAS- MIRI-KUCING- TEBEDU- ETIKONG- PONTIANAK... 1877 KILOMETER

Seawal pagi kami, saya, isteri dan anak, memulakan perjalanan ke Pontianak, Kalimantan Barat. 
Dari Felda Anjung Teduh, Lahad Datu memakan masa 9 jam ke Tuaran. Kami bermalam di Tuaran dan memulakan perjalanan seterusnya pada keesokannya.

Dari Tuaran, perjalanan sekitar 2 jam sampat ke Sindumin, di sini kita cop pasport keluar dari Sabah untuk memasuki Sarawak. Di bangunan yang sama, di bilik sebelah, kita cop pasport di kounter Imigresin Merapok Sarawak, di sini urusan masuk ke Sarawak.

Dari Merapok kita teruskan perjalanan dan singgah di Lawas untuk makan tengahari. Setelah itu kita teruskan perjalanan dan memasuki Negara Brunei Darussalam. Sediakan pasport lagi untuk urusan keluar masuk Brunei. 

Di Brunei ini kita akan keluar lagi dan masuk ke Sarawak semula iaitu daerah Limbang. Dari sini kita akan masuk lagi ke Brunei sekali dan melewati Bandar Seri Begawan, ibu kota Brunei.

Perjalanan kita teruskan ke bandar Kuala Belait Brunei dan selepas itu akan memasuki Sarawak semula iaitu di daerah Miri. Sampai di Bandar Miri jam 10 malam. Bermakna 14 jam dari Tuaran ke Miri. Kami bermalam di Miri.


Seawal pagi kami tinggalkan Miri menuju ke bandar Kucing. Ini melewati daerah Bintulu dan Sibu. Pelbagai pemandangan menarik sepanjang perjalanan ini terutamanya paparan lokasi rumah panjang yang di modenkan pembinaannya.

Malam itu kami tidak berkesempatan untuk sampai ke Kucing. Bermalam di daerah kecil Betong, kebetulan hujan agak lebat.

Dari Betong kami teruskan perjalanan. Niat awal untuk singgah di Kucing kami batalkan sebaik masuk Bandar Serian.

Dari Serian kita teruskan perjalanan ke Tebedu. Tebedu adalah pekan sempadan Malaysia Indonesia. 

Lepasi pemeriksaan Imigresin Malaysia (Tebedu) kemudian memasuki Indonesia melalui Imigresin Etikong.

Pemeriksaan kenderaan masuk ke Indonesia agak ketat di sini. Semua beg diimbas rapi. 
Pembelian cukai jalan kenderaan dan Insuran memakan masa lebih kurang  dua setengah jam. Manakala kos insuran dan cukai jalan dan sebagainya lebih kurang RM600. Sebagai makluman, lesen memandu Malaysia sudah memadai dan digunapakai di sini. Bagaimanapun, penyediaan Lesen Memandu Antarabangsa juga adalah sebaik-baiknya.

Perlu diingat, semua urusan di sempadan hendaklah kita uruskan sendiri tanpa menggunakan khidmat orang tengah. Kos akan bertambah berganda-ganda sekiranya kita menggunakan khidmat pengurusan atau di sini disebut calok.
Durian Murah di sini


Perjalanan dari Etikong ke Kota Pontianak sejauh 250 kilometer. Pelbagai lokasi menarik akan kita lalui sepanjang perjalanan. Musim buah dengan harga yang murah sudah pasti tidak membosankan sepanjang perjalanan yang dijangka sekitar 4 jam.

Jangkaan awal perjalanan rupanya jauh meleset. Selepas 10 jam dari Etikong barulah kami sampai di Kota Pontianak. 

Beberapa faktor menyebabkan kelewatan ini, antaranya, kami tersepit di celah rombongan kenderaan menghantar jenazah. Sekitar 1 jam pergerakan hanya 40 kilometer satu jam. 

Selain itu kita terpaksa melalui beberapa tempat yang dinaiki air. Banjir musim tengkujuh berlaku di mana-mana. Mujurlah setiap tempat dilanda banjir, terdapat kelompok orang kampung yang bersukarela membantu pergerakan kita agar tidak terjerumus atau termasuk ke laluan yang berbahaya.
Nanas Madu 60 sen sebiji


Perlu diingat juga, bantuan penduduk kampung ini hendaklah kita membuat bayaran tips seadanya. Keadaan membayar sukarela ini terdapat di mana-mana keadaan termasuklah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Jam 10 malam kami check in di hotel. Keletihan sepanjang perjalanan hari ini banyak memberikan pengalaman yang menyeronokkan. 

Pontianak, Kota Bambu Runcing, antara bandar yang paling banyak motorsikal, tempat pelancongan yang menarik, paendudk yang ramah dan pelbagai kenangan tercipta di sini.

Semoga menjadi kenangan dan panduan untuk rujukan jumpa lagi dalam catatan perjalanan yang seterusnya.

Pesanan: Jangan Berani bulan Disember....banjir bossku...

Tiada ulasan: