20230303

Dalam Kenangan: Sanggar Senja Felda Anjung Teduh.

 

Sanggar Senja Felda Anjung Teduh 

Masa begitu pantas berlari, tanpa menoleh, menerobos membelah puing dan debu. Mujurlah masih ada jejak untuk ditelusuri sebagai kenang-kenangan cuma.

Sanggar Senja, antara usaha warga kecil yang pernah mewarnai Felda Anjung Teduh satu ketika dahulu. Menghimpunkan beberapa peniaga dan penjaja dari dalam serta luar untuk menganjurkan Pasar Malam sebagai salah satu wadah untuk mencari nafkah secupak dua.


Antara mereka yang memberi sokongan


Dapatan dalam semakan status pertubuhan hari ini, Sanggar Senja masih aktif sebagai sebuah pertubuhan di bawah ketegori perdagangan walaupun pada hakikatnya Sanggar Senja itu sudah lama terkubur begitu sahaja.



Beberapa orang pelopor Sanggar Senja agak terkilan kerana beberapa pihak terlepas pandang akan keperluan adanya pasar malam di pelusuk tanah air  ini. Sekurang-kurangnya tempat jin bertendang dan gajah bertempik ini tidaklah sesunyi seperti kawasan perkuburan di waktu malam bulan mengembang.

Walaupun mendapat pengiktirafan secara lisan pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Tungku ketika itu dan perhatian dari pertubuhan di luar sana, namun benih yang disemai tidak mendapat dukungan sewajarnya dari pihak yang sepatutnya menyebabkan Sanggar Senja kini hanya tinggal kenangan.



Ucapan tahniah atas keberhasilan penubuhan Pasar Malam
dilihat oleh rakan di seberang semenanjung tanah air.

Seperti hakikatnya, usaha kecil oleh orang kecil sudah pasti akan sentiasa terpinggir dan terpencil. Hanya segelintir yang melihat serta memberi sokongan untuk Sanggar Senja merangkak, bertatih dan melangkah jatuh bangun berbekalkan sekelumit tekad yang tidak seberapa.



Ketidak MADANI-nya mereka di persekitaran ketika itu hanya tahu melanggut dan memandang sinis tanpa sebarang usaha seperti  memberi buah fikir untuk menambahbaik  Sanggar Senja apatah lagi memberi bantuan sewajarnya. Kuasa yang ada sebaliknya digunakan untuk membantutkan pertumbuhan benih usaha yang baru disemai. 

Apapun itulah keadaan sebenarnya yang berlaku. Situasi kepimpinan yang menggunakan jawatan serta kuasa sementara adakalanya  hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala  amanah yang sepatutnya dilaksanakan hanyalah sekadar dilakar dan menjadi hiasan di dinding pejabat sahaja.

Mohon maaf, tulisan ini bukan bermaksud untuk mengungkit akan kepincangan tangan ataupun ketidaksempurnaan kepimpinan sesaorang terlebih lagi kepada yang telah pergi bersara dan seumpamanya.  Namun sekadar sebagai panduan untuk generasi akan datang agar lebih berhati-hati dan tidak mengharap akan sentuhan luar biasa dari pihak tertentu.



Ingatan tulus juga kepada pewaris bahawa usaha dari bawah itu memangnya amat sukar untuk menuju ke puncak jaya khususnya yang hanya berbekalkan semangat semata-mata. Lalu ingatan begini mengingatkan saya kepada sebuah pesanan seseorang:-
Jangan Buat Semua Benda Yang Anda Pandai dan Jangan Cakap Semua Perkara Yang Anda Tahu.

Kita juga memohon maaf kepada yang tersinggung dengan lakaran ini secara tidak sengaja. Kita yakin bahawa tulisan ini hanya terperuk setakat ini sahaja dan tidak membawa kesan besar kepada siapa-siapa apatah lagi sehingga membawa kemiskinan di dunia.
Jangan Marah ya... nanti kena jual.... jumpa lagi.












Tiada ulasan: