20220818

DIVIDEN INTIREM KPF: RM152.41 JUTA Apa Kata Anggota?

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

 



 

Sudah lama saya tidak menulis tentang Felda, ‘rumah’ kami yang telah berusia 66 tahun, yang pernah digelar Bumi Permata, yang pernah disebut Bumi Bertuah, yang juga dikenali sebagai Lombong Emas.

             Apa pun sebutan dan gelar diberi, Felda sememangnya memiliki keistemewaan tersendiri, cuma kami penghuninya sahaja yang lebih  memahami gerak nadi sesama warga.

            Hari ini saya berkongsikan tentang pencapaian Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang telah dianggotai oleh sebahagian besar warga Felda.

            Kejayaan KPF membuat bayaran penuh dividen 2021  pada 15 Julai 2022 adalah satu pencapaian yang dianggap terbaik dengan nilai RM152.41 juta. 

            Pencapaian ini adalah satu bentuk usaha Lembaga Pengarah KPF yang berjaya melepasi kekangan COVID 19. Seperti yang kita sedia maklum, bukan sedikit perniagaan yang tersembam disebabkan kesan pendemik tersebut.

            Koperasi yang berusia 42 tahun dan  diilhamkan oleh Tun Raja Muhammad Alias ini, telah mempersembahkan satu lagi langkah bijak berhemat dengan menyalurkan terus agihan dividen intirem tersebut ke akaun modal syer anggota dan tidak membuat bayaran tunai ke akaun bank seperti lazimnya sebelum ini.

            Beberapa kesan terbaik telah diterima oleh sebahagian besar anggota apabila dividen tersebut secara langsungnya menjadi saham kepada yang tidak mengeluarkannya secara mudah di atas talian dalam tempoh sebulan yang telah berakhir.

            Amat membanggakan juga apabila system informasi KPF di laman sesawang diperbaharui dari masa ke semasa khusus mempermudahkan pelbagai urusan. Rungutan kecil pelbagai pihak terhadap KPF diharap akan dapat menambahluapkan lagi semangat khasnya Lembaga Pengarah untuk meningkatkan lagi prestasi koperasi penerima anugerah Koperasi Terbaik  No. 1 tahun 2021.

            Kebanyakan anggota yang sempat ditemui merasakan bahawa pembayaran dividen intirem 2021 sebanyak 7 peratus adalah munasabah dan bersyukur,  apatah lagi dalam suasana ekonomi negara yang berpencak di pinggir jurang inflasi mutakhir ini.

            Adalah diharapkan agar generasi penerus Felda, khasnya generasi ke dua akan memberi dokongan kepada KPF dengan menganggotai dan membeli saham KPF2. Kesepakatan anda hari ini… Insyaalah akan membuahkan hasil pada masa akan datang…

Tiada ulasan: