20230216

JEJAK WIRA: Arung Palakka -Pahlawan Bugis….


 

Replika Arung Palakka

Telah diketahui umum bahawa sosok pahlawan ini bergelar La Tenritatta To Unru To-ri Sompa-é Petta Malampé-é Gemme'na Daéng Sérang To' Appatunru Paduka Sultan Sa'adduddin (Bahasa Ibunda Orang Bugis) –  Arung Palakka, Namanya mekar harum sejak memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya pada kurun ke 15.

 

Raja Bone berjiwa pejuang ini lahir  di desa terpencil iaitu Desa Lamotto, Mario-ri Wawo, Soppeng, pada tahun 1634.

 

Sebelum melangkah jauh, tulisan ini bukan bermaksud untuk mengulas kehidupan wira ini secara keseluruhannya, akan tetapi sekadar pengamatan saya secara peribadi yang mengagumi pahlawan tersohor tersebut. Kekaguman inilah yang mendorong saya untuk melawati Rumah Adat Bola Soba di Bone Sulawesi Selatan satu ketika dahulu.

 


Kesempatan tersebut dapat saya laksanakan sebelum rumah bersejarah tersebut musnah dalam tragedi kebakaran pada Mac 2021.

 

Sempat memasuki seluruh ruang rumah agam ini sambil diberikan taklimat oleh penjaga rumah juga sebagai penyambut tetamu yang tidak membenarkan rakaman foto dirinya dan namanya disebut. Namun orangnya cukup ramah dan bersopan santun dan dia juga adalah pewaris keturunan pejuang ini.

 

Sedikit kelainan terasa apabila saya memasuki ruang tempat tidur yang sentiasa disediakan perdupaan atau bekas bakaran  kemenyan. Aroma dan suasana dalam bilik berkenaan seakan pahlawan tersebut berada bersama kita di sini.

 



Sepanjang di kamar tidur dan agak mengambil masa di sini, penjaga sentiasa menemani, menceritakan kisah barangan di bilik itu dan diselangi penjelasan kehidupan Pangeran Arung Palakka yang nampak sebati dengan rutin hariannya. Yang paling berkesan terhadap saya, penjaga tersebut tidak pernah berdiri di sepanjang berada di kamar tidur ini… hanya mengengsot dari satu tempat dan ke tempat yang lain. Begitu tingginya penghormatan warga terhadap si Pangeran Raja.

Bilik ini hanya sederhana besarnya, terdapat katil yang dihiasi dengan sulaman yang menarik. Penjaga memberi izin untuk saya sekiranya ingin berbaring di atas katil, namun saya memilih hanya bersimpuh di birai bawah katil.

Ruang simpanan senjata juga dijaga rapi. Pelbagai jenis senjata tradisi masih utuh dalam simpanan. Pun terdapat bilik yang terkunci dan tidak dibenarkan tetamu untuk memasukli bilik tersebut.

Rumah besar 99 tiang tersebut dibina dari bahan kayu terpilih, kini tinggal kenangan apabila tragedi kebakaran memusnahkan seluruhnya. Namun saya yakin bahawa pembinaan semula telah dilaksanakan ketika ini dan kita berharap agar tragedi tersebut tidak sama sekali membakar hangus semangat juang pendukung dan pewaris  Arung Palakka.

BOLA SOBA.. TINGGAL KENANGAN

 

Selepas lawatan singkat tersebut, rasa ingin tahu dan beberapa persoalan sebelum ini telah tersingkap serba sedikit.  Semoga satu hari akan berkesempatan  ke Bone lagi mungkin akan menjejak keunggulan  wira  yang seterusnya. Juga semoga ketika itu Bola Soba tersedia semula untuk dilawati.

20230212

CATATAN PERJALANAN: PUSING-PUSING DI JAKARTA....

Arena Monumen Nasional

Enam malam dilambung ombak dari Pelabuhan Tunon Taka Nunukan bersama Pelayaran Nasional Indonesia (PELNI) ke Pelabuhan Tanjung Periuk Jakarta.


Ibukota ini antara yang paling sesak di dunia. Kesesakan penduduk, kenderaan dan perumahan.
Untungnya ketibaan kami disambut oleh teman-teman yang ramah dan mesera sekali.
Lawatan ke tempat menarik diatur oleh rakan-rakan yang sedia menunggu di sini. Bogor dan rumah Persiden menjadi tempat lawatan yang istimewa. 

Selain keindahan di persekitaran kota, Jakarta juga begitu banyak menyediakan medan selera. Kita berpeluang  menikmati pelbagai jenis masakan di kota metropolitan ini. Harga makanan juga amat berpatutan dan kebanyakan hidangan semestinya menyelerakan. 

Lokasi Makan, pilihan Pak Bambang

Panduan dan peringatan  untuk pasangan suami isteri, yang ingin menginap di hotel... pastikan anda membawa kad atau surat akuan nikah. Kalau tidak anda akan disarankan untuk menginap di bilik yang berasingan.peraturan ini banyak diamalkan di kota Jakarta.

Di pinggir kota, saya sempat ke rumah Pak Bambang di Kelurahan Rawa Biawak.... penempatan yang sesak dengan penduduk dan rumahnya rapat-rapat. Apa yang uniknya, kebanyakan rumah memiliki perniagaan masing-masing.... pelbagai jenis perniagaan boleh kita temui di Rawa Biawak ini. Pak Bambang sendiri menjalankan perniagan yang melibatkan pelbagai perkhidmatan. 

Di Rawa Biawak ini, sekiranya kita memiliki tapak seluas 5x5 kaki, rasanya sudah membolehkan kita menjalankan perniagaan dan pasti menjamin perbelanjaan seharian.

Sahabat di MMBC Tour & Travel. Jakarta Tengah




Waktu petang di jantung kota ini, khasnya di persekitaran Pasar Senin, kemeriahan penniaga bertambah rancak dan memuncak. Bayangkan di antara dua hala jalan raya, satu hala ada enam lorong... lorong di tengah akan dibuka untuk peniaga menjalankan  kegiatan urusniaga masing-masing.

Menarik perhatian juga ialah peniaga yang berdagang jagung atau kacang rebus. Bayangkan di atas basikal terdapat kompor dan periuknya yang berisi jagung rebus... sentiasa dalam keadaan yang panas menyelerakan dengan aroma mengoda citarasa.

Juga menarik perhatian di sekitar Pasar Senin, sesekali kita terserempak dengan orang-orangan atau odong-odong bersaiz besar berkeliaran. Tinggi odong-odong ini separas hampir dua tingkat bangunan. Gelagatnya amat menghiburkian dan mencuit hati pengunjung kanak-kanak.

Di sekitar ini juga kita boleh menempah motor bimo dan berkunjung ke tempat menarik sekitar kota. Pemandu motor roda tiga ini sememangnya telah banyak pengalaman melayan kehendak pelanggan khususnya pelancong dari luar. 


Terima Kasik kepada Pak Bambang Kilik Gunawan yang menjadi pemandu sepanjang kami berada di Jakarta. Siapa sangka, rakan di Facebook akhirnya menjadi akrab seperti telah lama berkenalan. Keluarganya yang ramah sentiasa melayani kami dengan sebaiknya.
Bogor- Perkarangan Rumah Persiden


Berhampiran Stadium Istora Senayan, kita berpeluang menikmati pemandangan indah khususnya tempat lawatan yang paling sibuk, miaitu Monumen Nasional atau MONAS yang di puncaknya terdapat ketulan emas seberat 35 kilogram. Ketulan emas tersebut berbentuk lidah api yang terjemahkan sebagai lambang pembakar semangat perjuangan dan kenegaraan warga Indonesia.

Waktu malam, Jakarta seperti tidak pernah tidur. Hiruk pikuk di sana sini dengan pelbagai kerenah warga khusnya pedagang kaki lima yang tidak jemu-jemu memperagakan bahan niaga masing-masing. Sesekali kita dikejutkan dengan jeritan peluit kereta apa yang datang dan pergi ke merata tempat. Suasana ini sesekali kita nampak di dalam filem tapi apa yang ada di alam nyatanya pasti lebih meninggalkan kesan.

Teringat perihnya dilambung ombak, pulang tukar plan, naik pesawat  Jakarta ke Kota Kinabalu, terima kasih MMBC, semoga hubungan kerjasama ini berterusan dan bertambah baik demi kelangsungan kehidupan yang sementara ini.



20230210

D' BAYU: Tempat Santai Sederhana

Kita Santai Di Sini....


Lokasinya di Felda Anjung Teduh. 75 Kilometer dari Bandar Lahad Datu, Sabah. Beroperasi pada setiap hari bermula jam 2.00 petang hingga 10. 00 malam.

Menyediakan juadah santai seperti minuman pelbagai rasa, mi sup ayam dan daging, bakso ayam dan daging serta jeruk buah-buahan. Tempoh terdekat ini MENU RAHMAH akan disediakan juga hidangan snek yang sederhana.

Mini Pentas 

Di samping lokasi yang menarik dan selamat dengan berada di tengah penempatan peneroka Felda, di samping berhadapan Sekolah Rendah Anjung  Teduh,  para tetamu juga boleh menyumbang suara dengan mempersembahkan lagu pilihan melalui karaoke suka-suka. Tiada bayaran untuk karaoke, namun ada juga pengunjung yang menyumbang secara sukarela. 

Selain menikmati hidangan, para tetamu juga boleh menenangkan fikiran dengan menikmati pemandangan indah di persekitaran di samping dapat melihat aksi pelbagai jenis ikan di kolam dan akarium yang disediakan.


Silogan D' Bayu

Sejak kebelakangan ini, D' Bayu juga menerima tempahan para tetamu yang ingin merayakan hari ulang tahun perkahwinan, sambutan hari ulang tahun, perbincangan santai di kalangan peneroka dan kaki tangan Felda serta meraikan majlis perpisahan.

Menurut Pengurus D'Bayu, Mulhaerie Hj. Wahide, walaupun D' Bayu bukan sebuah tempat yang gah atau berprestej serta  berfrofile tinggi, namun D' Bayu sentiasa mempersembahkan yang terbaik untuk tetamu iaitu para pelanggan. Kita hanya menyediakan lokasi santai sebagai alternative khas kepada tetamu dan keluarga, katanya.

Amanda di kolam

 Selain makanan berhidang, pelanggan juga banyak memilih untuk belian dengan COD iaitu dihantar terus ke rumah yang berdekatan.
Menjelang empat  tahun beroperasi, D' Bayu amat terhutang budi kepada semua pelanggan khasnya penduduk Felda Anjung Teduh dan kampung-kampung berdekatan.

D' Bayu yang berasaskan Program Warung Desa juga mengucapkan penghargaan kepada pendorong utama iaitu Haji Sofian Haji Johari, orang kuat Ketua Menteri Sabah ketika ini.

Menyumbang dana karaoke

Puan Mulhaerie juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pejabat Daerah Kecil Tungku, Guru-Guru dan kakitangan sekolah sekitar Daerah  Kecil Tungku, Pentadbiran Felda Wilayah dan Rancangan Sahabat 1 dan 2, FGV Sahabat 55, Kilang Sawit Baiduri Ayu  dan badan NGO di sekitar Anjung Teduh, Felda Cenderawasih,  Desa Kencana dan kampung tradisional berhampiran.
Tambahnya lagi, pada masa akan datang, D' Bayu yang ketika ini hanya berkerja dengan tujuh orang pekerja tetap, akan menambah baik perkhidmatan dari masa ke semasa.
"Kita sentiasa menerima teguran membina dari semua pihak dan sentiasa bersedia mmbuat perubahan yang lebih baik" tegasnya.

Mulhaerie Wahide

Menyentuh tentang modal, Mulhaerie menjelaskan bahawa beliau mendapat suntikan dana dari Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan  Usaha Maju Malaysia. Kedua agensi ini begitu mengambil berat tentang perniagaan yang sedang beliau usahakan.