20231013

CATATAN PERJALANAN: Merentas Kemarau Panjang di SULTRA

 

Bloger bersama keluarga di Sultra...

Watubangga Sulawesi Tenggara

Kemarau di Sulawesi Tenggara bermula Jun 2023 yang pada awalnya dijangka berakhir pada pertengahan Ogos 2023 kini telah berlarutan sehingga pertengahan Oktober.

Situasi ini meresahkan bukan sahaja para petani dan pesawah malah kebanyakkan penduduk juga kian tertekan dengan kekeringan dan kepanasan melampau ini.

Apapun bagi Bloger Kampung, tiga minggu di sini semakin serasi dengan suasana panas pada siangnya dan sejuk menusuk tulang pada waktu malam.

Poster Calon Presiden

Kemarau juga tidak menghalang pergerakan dan melaksanakan kegiatan yang telah dirancang. Pertemuan dan acara santai semuanya mencatat keindahan tersendiri untuk dibawa balik sebagai kenangan.

Desa Analere Bombana

Pak Jumri, seorang penduduk di Boepinang, melahirkan harapan agar kemarau akan segera berakhir. Sebagai seorang peraih ketam@kepiting, beliau juga mengharapkan agar situasi hari ini tidak menjejaskan pergerakan pimpinannya iaitu para nelayan khasnya pemburu ketam suri dan ketam bakau.

Hj. Kahar, Bloger dan Pak Jumri...


Abang iparku Akbar@Sukardi seorang pengusaha kebun sawit, kemarau sememangnya sedikit menjejaskan penghasilan kebun... Manakala jirannya pengusaha kebun tomato pula tidak mengalami masalah akan kekurangan hujan ini kerana limpahan air gunung berhampiran sentiasa mengalir di lahan tanamannya yang subur menghijau.
Musim buah jambu air


Kegiatan santai seperti menghadiri pembukaan pasar malam, majlis perkahwinan dan ziarah berterusan setiap hari menambah seri dan warna di sini...
Pasar Malam Boepinang

Singgah di kampung nelayan Boepinang

Pelabuhan Tunon Taka Nunukan

Ziarah Tanah Perkuburan. Desa Salosa Boepinang


Bersama Samad, depan warungnya di Watubangga

Lokasi menarik di Pumalaa


Majlis Perkahwinan anak ipar


Sekadar catatan ringkas. Insyaallah..catatan lengkap perjalanan kami seramai 15 orang akan menyusul...  Mohon ditunggu ya..


20230904

RINDU SEORANG UZAIR: Ya Allah Selamatkanlah Ibuku...

 



30 Mac 2023... Kelahiranku melalui proses pembedahan... Detik itu bermula dengan situasi sukar. Selang beberapa jam selepas pembedahan kelahiran aku, yang dinamakan sebagai Muhammad Uzair Bin Mohd. Shah Reyzan, ibuku Mul Abilah menjalani pembedahan ke dua.
    Dikesan mengalami ketumbuhan tumor di otak.. Perkhabaran ini telah mengeggar dan memudarkan saat indah kelahiran aku yang juga terpaksa memulakan hidup di dunia ini dengan menginap lebih kurang sepuluh hari di dalam kaca sebelum dibenarkan menghirup udara dunia.
    Ketika aku dikeluarkan dan dibenarkan pulang bersama nenek.... Ibu masih bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi di Hospital Lahad Datu.
    Aku beransur membesar diasuh oleh nenek, atok dan saudara mara ke dua belah pihak ibu dan ayah. Sedang ibu meneruskan rawatan di hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu.
    Kali ke tiga dan ke empat pembedahan ibu berlangsung di hospital ini. Aku, nenek dan atok menyusul sebanyak dua kali merentasi Banjaran Croker untuk mengiring ibu dan ayah yang datang dengan pesawat. 
Dr. Sofan bersama Atok

    Dr. Sofan Zenian, 44, kelahiran daerah  berbukit Kota Belud  mengetuai misi rawatan ibu, menjelaskan bahawa pembedahan ke dua adalah untuk mengambil sampel tumor manakala pembedahan ke tiga adalah untuk membuang tumor atau ketumbuhan di otak ibu yang sebelum itu disahkan sebagai kenser otak yang bersifat ganas dan mengancam keselamatan nyawa ibu.
    Kesungguhan Dr. Sofan dibantu Dr. Haikal, Dr. Wong, Dr. Sakinah dan Dr. Hezri amat mengharukan dan memancarkan harapan yang tinggi kepada kami...
    Sokongan moral juga kami terima dari seluruh keluarga dan sahabat handai di Lahad Datu, Telisai, Tuaran, Indonesia malah keluarga dan jiran yang sedang melaksanakan umrah di Tanah Suci Mekkah juga melaksanakan solat hajat memohon kesembuhan ibu. 
      Semoga Allah membalas segala usaha para doktor dan keluarga taulan yang tidak bosan melawat serta  memohon kebesaran Allah.
    
    Ya Allah... Selamatkanlah ibu.. Kurniakanlah kesihatan kepadanya seperti sedia kala... Sungguh aku rindu belai, suara dan senyuman ibu. Walau air susu ibu tidak pernah ku rasakan.. Namun kehadiran ibu amat aku perlukan.
     Kini sudah lebih sepuluh hari ibu lalui pembedahan ke empat... Dan sepanjang itu aku tidak menatap wajah ibu... Hanya ayah, kedua nenek dan atok yang sering menatap wajah ibu yang sesekali memberikan harapan untuk pulih, bercakap dan pulang ke pangkuan kami.
    Aku juga amat bersimpati dengan tanggung jawab ayah sebagai penjaga tetap kepada ibu.. Dari Unit Rawatan Rapi hingga ke Wad Kenanga A..... Ayah tidak pernah bosan apatah lagi mengeluh untuk mengurus kehidupan ibu yang terlantar.
    Menurut atok.. Ini merupakan antara  tsunami keresahan yang menggugat keharmonian keluarga dan air mata nenek hampir kering menangisi penderitaan ibu, buah hati kesayangan nenek dalam suka dan duka.
     Ya Allah... Sejak lahir hati Uzair telah luka dan berdarah... Kala menangis walau saat sedang tidur... Resah memikirkan kesihatan ibu dan debar menanti kepulangan insan yang tersayang.... 
     Ya Allah... Perkenankan doa Uzair... Tidak banyak yang ku pinta hanya kesembuhan Ibu ya Allah.... 
       
      
Bilik 1 Wad Kenanga A


    

20230724

PENGHAPUSAN HUTANG : Antara Sejarah dan Harapan



Sebermula  dahulu... Pekeliling Peneroka Felda menjadi rujukan pentadbiran dalam banyak perkara.  Walau pihak Felda tidak membentang akan isi kandungan Pekeliling tersebut secara keseluruhan kepada Peneroka, namun perlaksanaan  pengurusan serta urus tadbir Peneroka merujuk dan berpandukan Pekeliling tersebut. 

Seolah kitab tebal...Pekeliling Peneroka menyentuh pelbagai peraturan dan panduan pengurusan Peneroka. Ini mencakupi dari JKKR, GPW, Belia...Kebun, kawasan rumah dan keseluruhan kawasan kampung serta banyak lagi...

Beberapa dekad kemudian, khasnya menjelang zaman melenium, Pekeliling Peneroka seakan tidak lagi menjadi kitab rujukan sepenuhnya... Maka terperosoklah sang kitab dicelah timbunan fail lama di dalam stor pejabat atau terbuang bersama perabut uzur yang dihapus kira dan sudah pasti salah sebuah naskhah Pekeliling itu tersimpan kemas di Mezium Felda di Jalan Gurney.

Menjelang zaman digital Pekeliling Dalaman dijadikan rujukan pihak Pengurusan Felda khasnya mengurus hal ehwal Peneroka. Pekeliling Dalaman lebih terperinci dari segi pengurusan Felda dan Peneroka berbanding Pekeliling Peneroka yang semakin dilupakan.

Walaupun Pekeliling Dalaman lebih merangkumi  pelbagai perkara, buah fikir para cerdik pandai menambah baik pelbagai sudut lagi dengan membentang Kertas Putih khasnya ketika Felda terkapai dan sedikit tergugat dengan ketirisan ekonomi pada ketika itu. 

Kertas Putih bertajuk "Ke Arah Kelestarian Felda" menjurus kepada hala tuju baru dengan harapan akan memacu kebangkitan semula Felda dan warganya dalam bidang sosial, ekonomi dan keseluruhan tranformasi dalam pergelelutan manangani cabaran yang semakin runcing, ketika itu.

Keterampilan Kertas Putih setebal 106 muka surat itu, yang pada mulanya diharap dapat mengubah landskap kehidupan golongan Peneroka, nampak tidak begitu berkesan dan seakan gagal untuk diterjemahkan sebagai wadah pembela Peneroka.

Usaha kerajaan menangani longgokan hutang peneroka telah meluluskan  penganugerahan terbitan sijil kewangan yang dalam bentuk sukuk bagi penghapusan hutang secara berjangka dan pada mulanya mensasarkan sehingga 80 peratus hutang peneroka dapat dilangsaikan.

Kegembiraan dan ucapan terima kasih kepada usaha tersebut  terserlah lalu berderetan di merata  media. Ketua Peneroka tampil mewakili kaum marhaen ini di pelbagai podium menghamparkan ungkapan penghargaan dan memperkukuhkan azam untuk lebih taat setia  khasnya membalas budi baik yang disajikan kepada para Peneroka. Ini sewajarnya dan hampir seluruh Peneroka Felda bersetuju dengan ini.

Walau bagaimana pun, isu hutang Peneroka ini sewajarnya dihuraikan oleh pihak Felda secara telus dan terperinci. Ini disebabkan dengan pelbagai kenyataan yang kala membingungkan khasnya kepada golongan Peneroka. Mana satu yang betul.

Penyata akhir hutang Peneroka pada tahun 2019 telah mencatat Penghapusan  Hutang yang melibatkan kos tanam semula. (sila Rujuk Keratan Penyata)

Keratan Penyata Hutang 30 Disember 2019

Begitu banyak kenyataan tentang hutang Peneroka Felda, menurut penyata,  hutang dihapus pada tahun 2019. Manakala pada Ogos 2022 Perjanjian Persetujuan Penghapusan Hutang ditandatangani oleh lebih 80 peratus jumlah Peneroka Felda. 

Dalam satu laporan akhbar, tiba-tiba penghapusan hutang Peneroka dihentikan dan kenyataan terkini hutang Peneroka akan dihapuskan dengan penekanan bahawa pelupusan hutang sebelum ini dilaporkan tidak berlaku dan sukuk baru ditandatangani oleh Perdana Menteri ke 10 (PMX).

Sebanyak RM9.9 biilion nilai sukuk diluluskan oleh PMX dan diumumkan secara rasmi pada 7 Julai 2023. Para Peneroka amat mengharapkan agar nilai sukuk yang begitu besar akan dapat dipergunakan dengan sebaik mungkin. Kegagalan projek-projek sebelum ini diharap akan menjadi pengajaran dan panduan agar semua pihak akan mendapat keuntungan (Profit) hasil buah tangan ini.

Apapun berlaku di hadapan esok, isu pelupusan hutang Peneroka ini sudah pasti akan tercatat dalam lipatan sejarah Felda dan Peneroka. Semoga juga akhiran isu ini akan memberi infak yang baik kepada semua pihak...