20230307

7 GOLONGAN MANGSA SCAM

Sekadar Gambar Hiasan



SCAMER MENJADI-JADI Penipuan secara dalam talian atau scammer semakin menjadi-jadi. Pelbagai cara puak tidak berhati perut ini membuat si mangsa mengeluarkan wang yang banyak untuk memenuhi permintaan scammer. 
Sejak akhir-akhir ini, media sosial kebanyakkannya menjadi punca mangsa scammer mengalami kerugian. 

Antara scam yang popular dan berjaya memperdaya mangsa:- 

TAWARAN HARGA MURAH

1. Tawaran Harga Murah Luar Biasa. Sasaran scammer ini adalah si pembeli barangan online. Keinginan untuk mendapatkan barangan impian selalunya mendorong mangsa untuk berurusniaga dengan pihak ini. Pastikan anda tidak teruja dengan tawaran sebegini.

TAWARAN PEKERJAAN BERGAJI LUMAYAN

2. Tawaran Pekerjaan Gaji Besar. Amat menyedihkan. Si pencari kerja adakalanya sampai berhutang untuk mendapatkan jawatan yang ditawar. Akhirnya pekerjaan yang ditawarkan hanya taktik untuk menipu pemohon. Baru ni kita dikejutkan dengan sekumpulan mangsa ditipu syarikat di luar negara melibatkan warga kita yang terperangkap.

ANCAMAN PERUNDANGAN

3. Ancaman Perundangan Ramai sahabat yang terkena jerat ini. Pelbagai panggilan dari jabatan tertentu kononnya sedang berurusan untuk mengambil tindakan kepada mangsa. Mangsa yang tergamam, ketakutan dan terancam akan mempercayai panggilan dari scammer. Ini antara mangsa yang begitu banyak mengalami kerugian... sentiasalah beringat mahkamah tidak akan membuat panggilan dengan nombor mudah alih....

TAWARAN KEUNTUNGAN PELABURAN

4. Tawaran Keuntungan Pelaburan. Mangsa ditawarkan dengan keuntungan yang luar biasa. Ada kalangan mangsa yang menyimpan hasrat untuk mengejutkan orang tersayang, akhirnya terkejut sendiri. Tak masuk akal kan... labur RM500... untung dua jam  RM25,000.

TAWARAN HADIAH, BARANGAN, PAKEJ PELANCONGAN DAN SEBAGAINYA.

5. Tawaran Hadiah Lumayan. Biasanya mensasarkan golongan yang kurang ilmu dan pergaulan. Teruja mendapat tawaran hadiah dan untung besar akhirnya terjerat dan berputih mata. Biasanya panggilan akan menyebut bahawa syarikat besar telah memilih anda sebagai penerima hadiah.... hati-hati bossku...

TAWARAN PEWARIS HARTA

6. Lantikan Pewaris Hartawan. Scammer akan membuat panggilan dan sebagainya konon memilih mangsa untuk menerima sejumlah besar dana yang ditinggalkan oleh seseorang. Ini melibatkan sehingga puluhan juta dollar. Awalnya meminta mangsa memberikan butir perbankan dan bersetuju untuk menerima wang yang akan dikirimkan ke dalam akaun mangsa. Ini menawarkan jutaan ringgit dan sasaran kepada golongan yang memerlukan wang yang banyak, akhirnya tertipu, ramai kawan kena ni...

LOVE SCAM 

7. Love Scam. Scammer mensasarkan golongan sudah berumur adakalanya pesara. Kita pernah dengar banyak penipuan yang melibatkan pakaj scam ini. Pujuk rayu dan budi bahasa scammer biasanya mencairkan hati si mangsa sehingga sanggup bergolok bergadai malah merentasi lautan api sekalipun…. Dan golongan mangsa ini tidak akan mendengar nasihat orang lain. Sentiasalah berhati-hati. Ini kadang ada yang sampai jual rumah dan tanah untuk dikirimkan kepada buah hatinya yang entah di mana. 

Tindakan Mengelak Scammer

Dapatkan pandangan dari pihak yang boleh dipercayai. Banyakkan membaca dan berbincang sebelum mengambil tindakan. Jangan terburu-buru membuat keputusan. Jangan layan panggilan yang mencurigakan. Pastikan anda mengenali pemberi tawaran. Jangan ragu-ragu menolak tawaran yang luar biasa. 

Tindakan Apabila Menjadi Mangsa

Bertindak segera membuat laporan polis.  Atau hubungi segara Pusat Respons Scam Kebangsaan di  talian 997 untuk sebarang laporan tentang penipuan siber. Nyatakan semua maklumat  tentang penipuan yang sedang dialami. Semoga kita terselamat dari menjadi mangsa.





20230306

RESTORAN GEMPAR: Gara-gara MENU RAHMAH.

Photo Hiasan Sahaja


Dikhabarkan bahawa sebuah restoran menjadi gempar kecoh dan porak peranda akibat satu keluarga membantah harga makanan yang terlalu mahal.

Menurut sumber, keluarga tersebut yang datang seramai 9 orang dari sebuah kampung, tidak berpuas hati apabila melihat bil makanan mencecah RM7000.00. 

Bil tersebut melibatkan 9 set makanan berhidang dengan pelbagai jenis lauk makanan laut seperti udang kara (lobestar) udang kertas gred 1, ketam, sotong, kerang, ditambah daging rusa,  burung puyuh, telur dadar istemewa dan macam-macam sayuran serta jus buah-buahan.

Kebanyakan pelanggan yang l;ain ada yang ketakutan dan cepat-cepat meninggalkan restoran. Pertengkaran keluarga pelanggan semakin panas berdebat dengan pemilik restoran dan pekerjanya.

Pelanggan berkeras dengan bayaran seperti yang difahami sejak dari kampung lagi:_

PELANGGAN : Awak jangan nak bodohkan kami.... Mentang-mentang kami orang kampung... Awak ingat kami tak tengok berita TV..... MENU Rahmah cuma RM5.00 seorang..... Nah..ini RM50 aku lebihkan lagi lima ringgit.

PENIAGA: Pakcik oii... itu MENU RAHMAH..... ini Restoran RAHMAH.... nama aku RAHMAH.... tak nampakkah senarai harga makanan dalam menu tu... 

PELANGGAN: (Terkebil-kebil.....(Dalam Hati: Entah siapa yang salah...ku tak tahu )

Sekadar gurau pagi.... jangan marah ya....


 


20230303

Dalam Kenangan: Sanggar Senja Felda Anjung Teduh.

 

Sanggar Senja Felda Anjung Teduh 

Masa begitu pantas berlari, tanpa menoleh, menerobos membelah puing dan debu. Mujurlah masih ada jejak untuk ditelusuri sebagai kenang-kenangan cuma.

Sanggar Senja, antara usaha warga kecil yang pernah mewarnai Felda Anjung Teduh satu ketika dahulu. Menghimpunkan beberapa peniaga dan penjaja dari dalam serta luar untuk menganjurkan Pasar Malam sebagai salah satu wadah untuk mencari nafkah secupak dua.


Antara mereka yang memberi sokongan


Dapatan dalam semakan status pertubuhan hari ini, Sanggar Senja masih aktif sebagai sebuah pertubuhan di bawah ketegori perdagangan walaupun pada hakikatnya Sanggar Senja itu sudah lama terkubur begitu sahaja.



Beberapa orang pelopor Sanggar Senja agak terkilan kerana beberapa pihak terlepas pandang akan keperluan adanya pasar malam di pelusuk tanah air  ini. Sekurang-kurangnya tempat jin bertendang dan gajah bertempik ini tidaklah sesunyi seperti kawasan perkuburan di waktu malam bulan mengembang.

Walaupun mendapat pengiktirafan secara lisan pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Tungku ketika itu dan perhatian dari pertubuhan di luar sana, namun benih yang disemai tidak mendapat dukungan sewajarnya dari pihak yang sepatutnya menyebabkan Sanggar Senja kini hanya tinggal kenangan.



Ucapan tahniah atas keberhasilan penubuhan Pasar Malam
dilihat oleh rakan di seberang semenanjung tanah air.

Seperti hakikatnya, usaha kecil oleh orang kecil sudah pasti akan sentiasa terpinggir dan terpencil. Hanya segelintir yang melihat serta memberi sokongan untuk Sanggar Senja merangkak, bertatih dan melangkah jatuh bangun berbekalkan sekelumit tekad yang tidak seberapa.



Ketidak MADANI-nya mereka di persekitaran ketika itu hanya tahu melanggut dan memandang sinis tanpa sebarang usaha seperti  memberi buah fikir untuk menambahbaik  Sanggar Senja apatah lagi memberi bantuan sewajarnya. Kuasa yang ada sebaliknya digunakan untuk membantutkan pertumbuhan benih usaha yang baru disemai. 

Apapun itulah keadaan sebenarnya yang berlaku. Situasi kepimpinan yang menggunakan jawatan serta kuasa sementara adakalanya  hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala  amanah yang sepatutnya dilaksanakan hanyalah sekadar dilakar dan menjadi hiasan di dinding pejabat sahaja.

Mohon maaf, tulisan ini bukan bermaksud untuk mengungkit akan kepincangan tangan ataupun ketidaksempurnaan kepimpinan sesaorang terlebih lagi kepada yang telah pergi bersara dan seumpamanya.  Namun sekadar sebagai panduan untuk generasi akan datang agar lebih berhati-hati dan tidak mengharap akan sentuhan luar biasa dari pihak tertentu.



Ingatan tulus juga kepada pewaris bahawa usaha dari bawah itu memangnya amat sukar untuk menuju ke puncak jaya khususnya yang hanya berbekalkan semangat semata-mata. Lalu ingatan begini mengingatkan saya kepada sebuah pesanan seseorang:-
Jangan Buat Semua Benda Yang Anda Pandai dan Jangan Cakap Semua Perkara Yang Anda Tahu.

Kita juga memohon maaf kepada yang tersinggung dengan lakaran ini secara tidak sengaja. Kita yakin bahawa tulisan ini hanya terperuk setakat ini sahaja dan tidak membawa kesan besar kepada siapa-siapa apatah lagi sehingga membawa kemiskinan di dunia.
Jangan Marah ya... nanti kena jual.... jumpa lagi.