20230210

D' BAYU: Tempat Santai Sederhana

Kita Santai Di Sini....


Lokasinya di Felda Anjung Teduh. 75 Kilometer dari Bandar Lahad Datu, Sabah. Beroperasi pada setiap hari bermula jam 2.00 petang hingga 10. 00 malam.

Menyediakan juadah santai seperti minuman pelbagai rasa, mi sup ayam dan daging, bakso ayam dan daging serta jeruk buah-buahan. Tempoh terdekat ini MENU RAHMAH akan disediakan juga hidangan snek yang sederhana.

Mini Pentas 

Di samping lokasi yang menarik dan selamat dengan berada di tengah penempatan peneroka Felda, di samping berhadapan Sekolah Rendah Anjung  Teduh,  para tetamu juga boleh menyumbang suara dengan mempersembahkan lagu pilihan melalui karaoke suka-suka. Tiada bayaran untuk karaoke, namun ada juga pengunjung yang menyumbang secara sukarela. 

Selain menikmati hidangan, para tetamu juga boleh menenangkan fikiran dengan menikmati pemandangan indah di persekitaran di samping dapat melihat aksi pelbagai jenis ikan di kolam dan akarium yang disediakan.


Silogan D' Bayu

Sejak kebelakangan ini, D' Bayu juga menerima tempahan para tetamu yang ingin merayakan hari ulang tahun perkahwinan, sambutan hari ulang tahun, perbincangan santai di kalangan peneroka dan kaki tangan Felda serta meraikan majlis perpisahan.

Menurut Pengurus D'Bayu, Mulhaerie Hj. Wahide, walaupun D' Bayu bukan sebuah tempat yang gah atau berprestej serta  berfrofile tinggi, namun D' Bayu sentiasa mempersembahkan yang terbaik untuk tetamu iaitu para pelanggan. Kita hanya menyediakan lokasi santai sebagai alternative khas kepada tetamu dan keluarga, katanya.

Amanda di kolam

 Selain makanan berhidang, pelanggan juga banyak memilih untuk belian dengan COD iaitu dihantar terus ke rumah yang berdekatan.
Menjelang empat  tahun beroperasi, D' Bayu amat terhutang budi kepada semua pelanggan khasnya penduduk Felda Anjung Teduh dan kampung-kampung berdekatan.

D' Bayu yang berasaskan Program Warung Desa juga mengucapkan penghargaan kepada pendorong utama iaitu Haji Sofian Haji Johari, orang kuat Ketua Menteri Sabah ketika ini.

Menyumbang dana karaoke

Puan Mulhaerie juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pejabat Daerah Kecil Tungku, Guru-Guru dan kakitangan sekolah sekitar Daerah  Kecil Tungku, Pentadbiran Felda Wilayah dan Rancangan Sahabat 1 dan 2, FGV Sahabat 55, Kilang Sawit Baiduri Ayu  dan badan NGO di sekitar Anjung Teduh, Felda Cenderawasih,  Desa Kencana dan kampung tradisional berhampiran.
Tambahnya lagi, pada masa akan datang, D' Bayu yang ketika ini hanya berkerja dengan tujuh orang pekerja tetap, akan menambah baik perkhidmatan dari masa ke semasa.
"Kita sentiasa menerima teguran membina dari semua pihak dan sentiasa bersedia mmbuat perubahan yang lebih baik" tegasnya.

Mulhaerie Wahide

Menyentuh tentang modal, Mulhaerie menjelaskan bahawa beliau mendapat suntikan dana dari Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan  Usaha Maju Malaysia. Kedua agensi ini begitu mengambil berat tentang perniagaan yang sedang beliau usahakan.



20230206

POTENSI TUNGKU SEBAGAI LOKASI PELANCONGAN

 

Keratan Akhbar 13 Tahun yang lalu....

 

Tigabelas tahun yang lalu, saya menulis tentang Pembangunan di Tungku.

Hari ini saya terpanggil untuk bercerita lagi tentang daerah kecil ini.

 

********

 

Industri pelancongan kian mendapat tempat sebagai salah satu usaha yang berpotensi menjana ekonomi di sebuah daerah dan memberi manfaat jangka panjang khasnya kepada masyarakat setempat.

 

Terletak di Titik Paling  Timur negeri Sabah, 65 kilometer dari Bandar Lahad Datu, Daerah kecil Tungku adalah kawasan pertama sekali menerima cahaya matahari di Malaysia. Pengiktirafan ini telahpun diistiharkan apabila pihak kerajaan negeri meletakkan batu tanda di Teluk Atiam Mukim Tambisan.

 

Berbekalkan etnik pelbagai kaum dan budaya di Tungku merupakan khazanah yang perlu dieksploitasi secara teratur sehingga menghasilkan keterampilan bernilai untuk meransang kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Tungku.

Di Pantai Sahabat

Antara pantai menarik di daerah paling kaya minyak sawit ini:-

 

Pantai Sahabat, Pantai Bangingod, Pantai Makuau, Pantai Tanjung Labian, Pantai Membatu selain Pantai Tanjung Atiam yang disebut di atas.

 

Tungku juga memiliki lokasi hutan dan sungai yang berpotensi tinggi untuk dijadikan tempat riadah khususnya perkemahan dan aksi jelajah hutan/sungai.

 

Aktiviti mendaki juga telah mencuri tumpuan masyarakat setempat dengan menjadikan Bukit Bagahak dan beberapa tempat lain sebagai lokasi menjalankan kegiatan sihat tersebut.

 

Bagi yang minat memancing, Tanjung Labian, Bakapit dan Tambisan merupakan tempat yang sering dikunjungi selain Kuala Maruap dan Paman Hutan.

 

Sepuluh tahun yang lalu, tepatnya 11 Februari 2013, dunia dikejutkan dengan Tragedi Tanduo, pencerobohan tersebut tercatat dalam sejarah Tungku dan kini Tanduo dibangunkan dengan kem tentera dan berpotensi besar untuk dijadikan lokasi pelancongan satu hari nanti.

 

Tragedi  hitam Tanduo kita kemaskan dalam memori sambil kita nikmati hidangan masyarakat Tungku antaranya putu, sagol, kilau dan ikan bakar di pinggir Pantai Kampung Dengan.

 

Hembusan angin dan hidangan bertambah menyelerakan apatah lagi seandainya ada kumpulan penari Belia Begak dengan Tarian Biluk dan Titikas yang mempersona,  serta gabungan kulintangan Kampung Telisai dengan iramanya  yang membangkitkan rasa rawan.

 

Sebagaimana yang kita tahu istilah pelancong itu tidak semestinya datang dari luar negara. Istilah pelancong juga ditujukan kepada tetamu dari luar daerah dan berbelanja di daerah dikunjungi.

 

Untuk meningkatkan peluang Tungku sebagai lokasi pelancongan, pelbagai pihak hendaklah bersatu dan berusaha memperagakan segala kepelbagaian yang ada di Daerah Kecil Tungku.

 

Semoga usaha dan  perbincangan secara tuntas akan  mencapai resolusi terbaik   seterusnya dapat menghasilkan Tungku di peta pelancongan satu hari nanti.   

20230205

Sebentar di Seri Begawan: BRUNEI INDAH MEMPERSONA

Di Laman Masjid Seri Begawan

 

Sebentar di Bandar Seri Begawan

Brunei Darussalam keluasannya cuma 5,770 kilometer persegi. Namun negara berdaulat ini disegani oleh kebanyakan negara di rantau ini. Penampilan bersahaja Brunei  melambangkan kenegaraannya yang berhemah walau Brunei antara negara paling kaya dengan sumber minyak dan gas.

Penduduknya ramah, berdisiplin tinggi dan saling bantu membantu. Malah peribuminya memberikan pertolongan semampunya andai kita tersesat jalan.

Memandu di sini kita kena sediakan Ringgit Brunei, Dollar Singapore atau Kad Kredit. Sebabnya, Ringgit Malaysia tidak diterima dalam semua urusniaga. Bayangkan kalau anda kehabisan bahan bakar kenderaan....

Yang amat menarik di sini, setiap masjid dirawat dengan begitu rapi sekali. Kebersihan dan rawatan dilakukan dengan teliti dan kebanyakkannya menggunakan peralatan serba moden, Kebersihan dan keharuman ruang bilik air sahaja sudah memperlihatkan bahawa penjagaan masjid tersebut semamangnya berada di tahap yang terbaik.

Bagi mengimarahkan masjid, kebanyakan masjid mengadakan tadarus al quran setiap hari. Budaya membaca al quran di Brunei amat terserlah sehinggakan beberapa kali kita terserempak dengan keluarga yang membaca al quran di dalam kenderaan.

Apapun Brunei adalah sebuah negara yang terbaik dan lokasi pelancongan juga banyak di sini dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk kegunaan para pelancong. Jangan sangka Brunei tidak terdapat hutan... Di sini pelbagai habitan tumbuhan dan haiwan liar yang sentiasa dilindungi dari kepupusannya.



Manakala Kampung Air adalah antara tempat menarik untuk dikunjungi. Selain perkampungan yang teratur persekitaran yang bersih memukau pengunjung di samping penduduknya yang ramah dan bersopan santun.


Kunjungan ke Brunei semamangnya memuaskan dan sudah pasti mencatat kenangan indah. Apatah lagi sekiranya anda berpeluang melawat Istana Brunei, istana yang paling besar di dunia.