20230201

KISAH PERJALANAN- Pontianak Kalimantan Barat, Indonesia.

 

Replika Bambu Runcing
Mercutanda Kota Pontianak



Perjalanan Darat, FELDA SAHABAT- LAHAD DATU- KOTA KINABALU- SINDUMIN-LAWAS- MIRI-KUCING- TEBEDU- ETIKONG- PONTIANAK... 1877 KILOMETER

Seawal pagi kami, saya, isteri dan anak, memulakan perjalanan ke Pontianak, Kalimantan Barat. 
Dari Felda Anjung Teduh, Lahad Datu memakan masa 9 jam ke Tuaran. Kami bermalam di Tuaran dan memulakan perjalanan seterusnya pada keesokannya.

Dari Tuaran, perjalanan sekitar 2 jam sampat ke Sindumin, di sini kita cop pasport keluar dari Sabah untuk memasuki Sarawak. Di bangunan yang sama, di bilik sebelah, kita cop pasport di kounter Imigresin Merapok Sarawak, di sini urusan masuk ke Sarawak.

Dari Merapok kita teruskan perjalanan dan singgah di Lawas untuk makan tengahari. Setelah itu kita teruskan perjalanan dan memasuki Negara Brunei Darussalam. Sediakan pasport lagi untuk urusan keluar masuk Brunei. 

Di Brunei ini kita akan keluar lagi dan masuk ke Sarawak semula iaitu daerah Limbang. Dari sini kita akan masuk lagi ke Brunei sekali dan melewati Bandar Seri Begawan, ibu kota Brunei.

Perjalanan kita teruskan ke bandar Kuala Belait Brunei dan selepas itu akan memasuki Sarawak semula iaitu di daerah Miri. Sampai di Bandar Miri jam 10 malam. Bermakna 14 jam dari Tuaran ke Miri. Kami bermalam di Miri.


Seawal pagi kami tinggalkan Miri menuju ke bandar Kucing. Ini melewati daerah Bintulu dan Sibu. Pelbagai pemandangan menarik sepanjang perjalanan ini terutamanya paparan lokasi rumah panjang yang di modenkan pembinaannya.

Malam itu kami tidak berkesempatan untuk sampai ke Kucing. Bermalam di daerah kecil Betong, kebetulan hujan agak lebat.

Dari Betong kami teruskan perjalanan. Niat awal untuk singgah di Kucing kami batalkan sebaik masuk Bandar Serian.

Dari Serian kita teruskan perjalanan ke Tebedu. Tebedu adalah pekan sempadan Malaysia Indonesia. 

Lepasi pemeriksaan Imigresin Malaysia (Tebedu) kemudian memasuki Indonesia melalui Imigresin Etikong.

Pemeriksaan kenderaan masuk ke Indonesia agak ketat di sini. Semua beg diimbas rapi. 
Pembelian cukai jalan kenderaan dan Insuran memakan masa lebih kurang  dua setengah jam. Manakala kos insuran dan cukai jalan dan sebagainya lebih kurang RM600. Sebagai makluman, lesen memandu Malaysia sudah memadai dan digunapakai di sini. Bagaimanapun, penyediaan Lesen Memandu Antarabangsa juga adalah sebaik-baiknya.

Perlu diingat, semua urusan di sempadan hendaklah kita uruskan sendiri tanpa menggunakan khidmat orang tengah. Kos akan bertambah berganda-ganda sekiranya kita menggunakan khidmat pengurusan atau di sini disebut calok.
Durian Murah di sini


Perjalanan dari Etikong ke Kota Pontianak sejauh 250 kilometer. Pelbagai lokasi menarik akan kita lalui sepanjang perjalanan. Musim buah dengan harga yang murah sudah pasti tidak membosankan sepanjang perjalanan yang dijangka sekitar 4 jam.

Jangkaan awal perjalanan rupanya jauh meleset. Selepas 10 jam dari Etikong barulah kami sampai di Kota Pontianak. 

Beberapa faktor menyebabkan kelewatan ini, antaranya, kami tersepit di celah rombongan kenderaan menghantar jenazah. Sekitar 1 jam pergerakan hanya 40 kilometer satu jam. 

Selain itu kita terpaksa melalui beberapa tempat yang dinaiki air. Banjir musim tengkujuh berlaku di mana-mana. Mujurlah setiap tempat dilanda banjir, terdapat kelompok orang kampung yang bersukarela membantu pergerakan kita agar tidak terjerumus atau termasuk ke laluan yang berbahaya.
Nanas Madu 60 sen sebiji


Perlu diingat juga, bantuan penduduk kampung ini hendaklah kita membuat bayaran tips seadanya. Keadaan membayar sukarela ini terdapat di mana-mana keadaan termasuklah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Jam 10 malam kami check in di hotel. Keletihan sepanjang perjalanan hari ini banyak memberikan pengalaman yang menyeronokkan. 

Pontianak, Kota Bambu Runcing, antara bandar yang paling banyak motorsikal, tempat pelancongan yang menarik, paendudk yang ramah dan pelbagai kenangan tercipta di sini.

Semoga menjadi kenangan dan panduan untuk rujukan jumpa lagi dalam catatan perjalanan yang seterusnya.

Pesanan: Jangan Berani bulan Disember....banjir bossku...

20230131

SIBU: Bersih dan Nyaman

 

Taman Riadah Sibu, Di Tepi Sungan Igan

Bandar Sibu, tenang dan mempersonakan. Penduduknya ramah, sentiasa menghormati tetamu dan antara yang paling menarik, Sibu adalah bandar yang bersih. Kebersihan ini terserlah di kawasan Pasar Sentrel  Sibu. Seperti rutinnya, pasar selalu memperlihatkan longgokan sampah serta berbau busuk, tapi tidak di Pasar Sentral Sibu.

Di pasar ini kita akan berpeluang memilih pelbagai jenis buah-buahan tempatan, barangan keperluan dapur dan sudah pasti pelbahai jenis kek lapis Serawak yang populer. Jangan lupa, dapatkan buah dabai dan buah engkalak yang kemungkinan besar tidak terdapat di daerah anda.

 

Replika Kenyalang Putih, di Tepian Igan

Sibu  terletak di pertemuan dua sungai iaitu Sungai Rajang dan Sungai Igan.

Di tepian Sungai Igan ini, terdapat taman rekreasi yang menjadi tumpuan pada awal pagi dan petang hingga ke awal malam.

Kebetulan pagi minggu di sini, ramai warga melakukan senam pagi dengan melakukan pelbagai kegiatan riadah.

 

Sibu, Dalam Kenangan

Memandu di Sibu amat menyenangkan dan selesa. Para pemandu memberikan kerjasama dan bersopan santun apatah lagi melihat kenderaan yang bernombor pendaftaran dari luar Serawak. Tidak kurang juga kerjasama dan tunjuk haluan yang berhemah oleh pihak keselamatan kahsnya anggota polis trafik dan JPJ . Semoga budibaik dan tertib hemah para anggota keselamatan tersebut akan berterusan selamanya.

Sibu yang sederhana


20230120

HAJI CHANDRA: Pemimpin Kecil Berjiwa Besar.

 

Haji Chandra Haji Basih

Ketua Peneroka Felda Sahabat 2, Haji Chandra Haji Basih, 65 tahun, merupakan seorang pemimpin setempat yang disenangi oleh kalangan warga Felda khasnya di Felda Gugusan Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Berpengalaman sebagai seorang mandor di ladang swasta sebelum memasuki rancangan Felda Sahabat 2 sebagai peneroka, memudahkan Haji Chandra menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Rajin, lincah, ramah dan bersungguh-sungguh adalah sifat semula jadi sosok ayah kepada lima orang anak dan datuk kepada 2 orang cucu ini.

Tidak cukup dengan sifat terpuji di atas, Haji Chandra juga salah seorang yang begitu gemar belajar pelbagai teknik kepimpinan di samping memiliki sifat pemurah yang tidak dapat disangkal lagi.

Kenyataan ini diperakui oleh seorang ahli Blok 04, Felda Sahabat 2 dan disokong oleh seorang mantan petugas Felda, Hajah Russ Marina Abdul Hamid.

Hajah Russ Marina

“Haji Chandra terbaik sangat, dia orag yang ramah, senang berurusan,  ringan tulang.  Setiap ada program dia pasti ada, orangnya suka bersedekah itulah dia murah rezeki,  Alhamdulillah moga dia terus cemerlang memikul tanggungjawabnya sebagai Ketua Peneroka” ujar Hajah Russ Marina.

Selain Ketua Peneroka, beliau juga menjawat jawatan sebagai Ketua Blok 4 Sahabat 2 sejak tahun 2005, Bendahari JKKR, Bendahari Masjid Nurul Hidayah, pernah menganggota Lembaga Pengarah Koperasi Sahabat 2, sebagai Ketua Platun Rela, Timbalan Pengerusi PIBG SK Anjung Teduh dan terkini sebagai AJK Pelaksana Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Sebagai pemimpin masyarakat, Haji Chandra mensasarkan program meliputi bidang ekonomi, pendidikan, sosial, budaya  dan kebajikan. 

"Yang paling penting... Saya dan rakan sejawat sentiasa membuat semakan dan berharap agar pihak Felda  dapat mengusahakan pemberian geran tanah peneroka Felda Sahabat. Semoga suara kami didengar dan aspirasi ini sebagai sasaran kami dalam tempoh terdekat." kata Haji Chandra.

Dalam program PPP, Felda Sahabat 2 mengusahakan ternakan lembu pedaging yang kini mencecah 1740 ekor dalam projek ke dua. Pada projek pertama kesemua peneroka seramai 178 orang menerima sebanyak RM850.00 se orang hasil keuntungan yang dibahagi secara sama rata.

Di tapak projek PPP

Selain itu program ekonomi juga meliputi pelbagai perniagaan sama ada berkumpulan atau secara peribadi.  Pihak Felda menyediakan tapak Medan Niaga yang dimanfaatkan oleh para peneroka dengan menjalankan perniagaan runcit, restoran dan lain-lain lagi.

Projek pertanian dan ternakan  seperti tanaman kelapa matag, ternakan ikan air tawar, ternakan burung walit,  tanaman nanas madu, cili lada bara dan tanaman kontan yang berpotensi dalam pemasaran.

Manakala perkhidmatan  home stay, pemborong kerja ladang dan beberapa perniagaan berbentuk perkhidmatan diusahakan dan mendapat sokongan serta sambutan dari pelbagai pihak.

Haji Chandra juga berkerjasama dengan pihak sekolah rendah dan menengah mengusahakan kelas tambahan, kelas fardu ain dan motivasi pelajar pada setiap tahun. Untuk memantapkan bidang pendidikan, Felda Sahabat 2 menubuhkan Tabung Pendidikan Rancangan dan Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang sebagai dorongan kepada ibubapa dan pelajar.

“Pada setiap Rabu, JKKR mengadakan lawatan ke setiap blok secara bergilir iaitu dari Blok 1 hingga Blok 10.  JKKR juga sentiasa mengadakan ziarah amal kepada peneroka atau keluarga yang sedang uzur.” tambah Haji Chandra.

Bak kata orang, bulat air dek pembentung, bulat kata dek sepakat, Haji Chandra sentiasa mengatur gerak untuk semua majlis dengan mengadakan perbincangan bersama semua pihak yang terlibat.

Katanya, pihak rancangan sentiasa mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti acara Kenduri Sekampung, Rahmah Ramadan dan Rumah Terbuka Aidilfitri/Aidiladha pada setiap tahun.

Acara rutin yang lain adalah sambutan Hari Peneroka, Hari Kebangsaan dan Sukan Tahunan.

Untuk kemudahan pelbagai kegiatan, pihak Felda telah menyediakan prasarana di rancangan seperti Dewan Semai Bakti, Balai Raya, Masjid, Pejabat Koperasi, Pejabat Belia dan Pejabat Rela.

Juga tidak ketinggalan litar motorcross, gelanggang futsal, padang awam, gelanggang bola tampar, takraw dan badminton.

Seperti di rancangan Felda yang lain, Sahabat 2 di bawah pimpinan Haji Chandra juga menyahut cabaran Felda dengan menyertai Pertandingan Anugerah Kecerian Rancangan Felda (AKRF) pada setiap tahun. Pencapaian terbaik adalah pernah berjaya ke peringkat akhir satu ketika dahulu.

Atas keprihatinan kepada pihak yang kurang bernasib baik, Felda Sahabat 2 telah menjalankan kutipan sebanyak RM500.00  setiap peneroka Islam untuk disalurkan kepada tabung wakaf Majlis Agama Islam setiap tahun.

Menyentuh tentang keperibadian Haji Chandra, tiga di antara anaknya merupakan graduan lepasan IPT tempatan. Beliau juga mkengusahakan sebuah Restoran & Katering, Homestay dan sebagai pemborong pertanian.

Di halaman rumah

Kegigihan dan keterampilan Haji Chandra mendapat pengiktirafan dari jabatan berkenaan dengan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bapa Misali, Peneroka Terbaik, Peneroka Contoh, Ketua Blok Cemerlang dan Anugerah Tokoh Mauliddurrasul.

Sebagai rujukan, Ketua Peneroka ialah pemimpin kepada JKKR dan di bawah JKKR terdapat badan/jabatan lain di rancangan seperti Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Majlis Belia Felda Rancangan, Koperasi Rancangan, Badan Masjid, RELA, Bomba Sukarela dan Persatuan Peniaga.

Kesemua badan/jabatan ini akan berkerjasama dalam melaksanakan kegiatan dalam rancangan. Haji Chandra mengucapkan penghargaan atas kerjasama dan sokongan kepada beliau selaku pemimpin peneroka khususnya kepada pihak Pengurusan Rancangan dan Felda Wilayah Sahabat, kata Haji Chandra mengakhiri perbualan.

https://estetikphotography.blogspot.com/

https://www.facebook.com/estetik.estetik.77

https://www.youtube.com/channel/UCgVxMPf_GLmJx2YFYRGkn_g