20220818

DIVIDEN INTIREM KPF: RM152.41 JUTA Apa Kata Anggota?

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

 



 

Sudah lama saya tidak menulis tentang Felda, ‘rumah’ kami yang telah berusia 66 tahun, yang pernah digelar Bumi Permata, yang pernah disebut Bumi Bertuah, yang juga dikenali sebagai Lombong Emas.

             Apa pun sebutan dan gelar diberi, Felda sememangnya memiliki keistemewaan tersendiri, cuma kami penghuninya sahaja yang lebih  memahami gerak nadi sesama warga.

            Hari ini saya berkongsikan tentang pencapaian Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang telah dianggotai oleh sebahagian besar warga Felda.

            Kejayaan KPF membuat bayaran penuh dividen 2021  pada 15 Julai 2022 adalah satu pencapaian yang dianggap terbaik dengan nilai RM152.41 juta. 

            Pencapaian ini adalah satu bentuk usaha Lembaga Pengarah KPF yang berjaya melepasi kekangan COVID 19. Seperti yang kita sedia maklum, bukan sedikit perniagaan yang tersembam disebabkan kesan pendemik tersebut.

            Koperasi yang berusia 42 tahun dan  diilhamkan oleh Tun Raja Muhammad Alias ini, telah mempersembahkan satu lagi langkah bijak berhemat dengan menyalurkan terus agihan dividen intirem tersebut ke akaun modal syer anggota dan tidak membuat bayaran tunai ke akaun bank seperti lazimnya sebelum ini.

            Beberapa kesan terbaik telah diterima oleh sebahagian besar anggota apabila dividen tersebut secara langsungnya menjadi saham kepada yang tidak mengeluarkannya secara mudah di atas talian dalam tempoh sebulan yang telah berakhir.

            Amat membanggakan juga apabila system informasi KPF di laman sesawang diperbaharui dari masa ke semasa khusus mempermudahkan pelbagai urusan. Rungutan kecil pelbagai pihak terhadap KPF diharap akan dapat menambahluapkan lagi semangat khasnya Lembaga Pengarah untuk meningkatkan lagi prestasi koperasi penerima anugerah Koperasi Terbaik  No. 1 tahun 2021.

            Kebanyakan anggota yang sempat ditemui merasakan bahawa pembayaran dividen intirem 2021 sebanyak 7 peratus adalah munasabah dan bersyukur,  apatah lagi dalam suasana ekonomi negara yang berpencak di pinggir jurang inflasi mutakhir ini.

            Adalah diharapkan agar generasi penerus Felda, khasnya generasi ke dua akan memberi dokongan kepada KPF dengan menganggotai dan membeli saham KPF2. Kesepakatan anda hari ini… Insyaalah akan membuahkan hasil pada masa akan datang…

20220816

Puisi Kecil ... Felda Sebuah Riwayat

FELDA - SEBUAH RIWAYAT

Kicau burung dan dingin subuh,

Menyambut salam kehadiran kami,

Ke ruang dakap mu,

Dari puncak Bilut hingga ke muara Sahabat,
 
Berbondong kami menghayun langkah,
 
Meninggalkan jejak semalam..
 
Meranduk resah menyusur gelisah
 
Riwayat itu pun bermula di sini…..
 
Gelanggang ini pencak baru gagasan perdana
Rimba raya kita lakar bersama
Titisan warna mencorak janji setia
Tanah sekepal inilah bumi yang dipijak…!
 
Kalau dulu kita bercerita tentang lurah tanpa nama,
Kalau dulu kita berseloka tentang riwayat dukalara…
Kalau dulu kita diterjah angin sengketa…
Kini FELDA tanah bertuah ini milik kita…
Kini FELDA bumi permata ini amanah kita…
Kita pertahankan seluruhnya…,
Hingga bertongkat paruh…
 
Ayuh…
Kita pastikan riwayat ini abadi selamanya..
Kita nobatkan tranformasi ini sebagai warisan bangsa
Kita gegar buana ini dengan cita dan paduan tenaga…
Kita kekang segala penjuru durjana…..
 
Wahai pewaris…!!
Riwayat ini dilakar dengan tinta berdarah,
Disenandungkan dengan titis keringat leluhur zaman
Lalu dibacakan mentera perjuangan…
Bakti disemai…bukti dituai…
 
Yusofdin Abd. Rahim
Felda Anjung Teduh,
(Puisi ini saya Diklamasikan pada Tahun 2018 di Stadium Gong Badak, Kuala Terenganu)

PERTEMUAN DI PERETAK....

 Semasa remaja, saya sempat mengikuti kursus penulisan kreatif.... Antara guru saya,  Ali Majod,        K. Bali, Osman Puteh, A Samad Said, Atondra...

Cikgu Harun Perhang, Ismaily Bongsu dan beberapa orang lagi yang kurang teringat..... Arwah Ali Majod cerpenis tersohor dari Negeri Sembilan, mengatakan:
Selain cerpen ada lagi sebuah karya yang agak pendek, namanya Cerpen Terpendek atau Cerpen Terpen.
           Nah... hari ini saya ungkapkan sebuah kisah dalam bentuk Cerpen Terpen.... 

                                                                                 

PERTEMUAN DI PERETAK....

 

Tiba-tiba dewan besar menjadi senyap.... tadinya riuh gelak tawa peserta lebih seratus tiga puluh orang serentak terdiam.... Masing-masing hanya berbisik dalam hati...
Aku hanya menunduk mengecilkan diri yang sudah sedia kurus... di sebelah aku Pok Ya terkebil-kebil... Di hujung barisan kelihatan Nasir seakan mencatat sesuatu di buku kecilnya... sesekali Arif pula berbisik dengan Ismail Madun...
Di atas pentas... Sekujur tubuh berdiri segak di sebalik restrum.... tatapannya meliar memerhati seluruh isi dewan.... 
Di meja urusetia Ustaz Rahman menyemak sesuatu di buku tebal.
"Saya nak sambung apa yang saya katakan tadi....!!!" suara tegas di corong mengetarkan tangkai hati....
Suasana sepi lagi seketika... kelihatan Iswari menghulurkan gula-gula Hacks kepada Yusni dan Anies...
"Sudah seminggu anda berada di sini... sudah seminggu kita bertemu.. berselisih pagi petang dan malam... Tapi tidak pernah sekali pun... seorang daripada anda mengucapkan salam... selamat pagi atau bertanya khabar kepada saya...!!!... Inikah Belia...???"
Aduhhh sadisnya.. terasa diri ini terlalu daif... Kebenaran kata-kata itu seakan menampar muka... lalu aku mengutuk diri sendiri dengan semahunya...
Saat itu ku lihat Jaiman Anak Bajau membetulkan duduknya. Di sebelahnya Yusuf Saari memutar-mutat lens kamera.
"Saya bukan mahu anda menghormati saya.... Tapi alangkah baiknya kalau anda berusaha untuk lebih.................."
Gesaan Cikgu Yusuf itu menambah gusar di hatiku yang terpukul lunyai... dalam resah sempat ku toleh Baharudin, Mah Hasan dan Ben John sebaris dengan Tun Izhar, Shamsudin Oli dan Johari...
(INSYAALLAH AKAN BERSAMBUNG....)