20240826

LEGENDA SEORANG PIT

Photo Blogger (Sekadar Hiasan) : Menjejak Legenda Arung Palakka



Pit sudah tua, Pit sudah berumur. Bukan 69 tahun, bukan 79 tahun... tapi 99 tahun. Kulit Pit berkedut seribu, rambut dan gigi Pit sudah gugur semuanya. Tapi ingatan Pit masih bagus, pendengaran dan percakapan Pit masih jelas, cuma pandangan sedikit rabun.

Semua orang di kampung ini mengenali Pit. Lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa juga mengenali Pit. Pit memang terkenal sehingga di kampung lain pun ada yang mengenalinya. Kalau ada orang kampung yang tidak mengenali Pit, pasti orang itu baru pindah ke kampung ini.

Kenapa Pit begitu dikenali? Pit bukan seorang artis, bukan ahli sukan,  bukan orang politik, bukan orang terpelajar, bukan orang kaya dan bukan seorang pemidato malah bercakap pun Pit tergagap. Tapi Pit amat dikenali ramai bahkan pemimpin setempat pun mengenali Pit, termasuk Wakli Rakyat dan ketua semua parti. Khabarnya juga  nama Pit pernah disebut dalam mesyuarat kabinet negeri... itu kata Ketua Pemuda, entahlah betul atau tidak. 

Lebih hebat, cerita Pit pernah ditulis oleh seorang penulis tersohor. Cerita Pit diterbitkan dalam sebuah buku dan buku tersebut terdapat di seluruh perpustakaan dalam negara. Maknanya Pit terkenal juga ke seluruh negara.

Siapa Pit sebenarnya....? 
Pit seorang anak yatim dan tinggal berdua di pondok buruk bersama neneknya  seorang balu yang agak berumur. 

Zaman kanak-kanak Pit hanya dihabiskan dengan bermain di sungai, di bukit dan di hutan. Pit tidak bersekolah, cuma malam belajar mengaji di surau dengan lampu pam minyak tanah. Pit juga amat lembam menghafal ayat pengajiannya. Pit bukan anak pintar, agak nakal dan suka ponteng mengaji. Tapi anak-anak suka bermain dengan Pit.

Menjelang dewasa Pit mula mencari kerja. Menoreh getah, memanjat kelapa, menjala di sungai dan macam-macam kerja kampung Pit lakukan untuk mendapat upah. Pit rajin dan ringan tulang. 

Pada satu petang Pit pulang dari memanjat kelapa. Di jalan kampung Pit nampak banyak bendera. Sampai di Balai Raya Pit nampak tiga buah kereta dan ramai orang berkumpul. Ada seorang berpakaian kemas bercakap-cakap di hadapan orang kampung. Selain itu beberapa orang lelaki dan perempuan juga duduk di barisan hadapan menghadap ke orang kampung. Pit agak orang-orang ini datang dari pekan. Pit meninjau-ninjau dari luar dan mendengar ucapan yang kurang menarik perhatian orang kampung.

Pit tidak begitu faham apa yang dikatakan orang tersebut. Orang kampung juga tidak berapa faham semuanya. Suaranya dengan pembesar suara kadang-kadang perlahan dan kadang-kadang meninggi.
Pit tertarik walaupun tidak faham butir yang disampaikan.

Sesekali kelihatan seorang dua  orang-orang pekan bertepuk tangan. Tepukan sekadar berbunyi dan hampir tidak kedengaran dan hanya seorang dua juga orang kampung mengikuti tepukan tersebut. Pit perhatikan perlakuan itu dan bersedia untuk mencuba kalau orang bertepuk lagi.

Ketika seorang pekan menggerakkan tangannya untuk bertepuk, Pit segera mendahului dengan tepukan yang kuat sekali..... secara tidak langsung tepukan Pit diikuti oleh beberapa orang kampung.... pemidato di depan nampak sedikit bersemangat dan meneruskan ucapan.

Pit seronok dan bertepuk lebih kuat,  orang pekan juga ikut bertepuk... orang kampung juga seluruhnya ikut bertepuk. Pit tambah seornok. Pit jadi perhatian ramai orang. Pemidato juga bertambah-tambah  semangatnya.

Ketika  pemidato selesai Pit menambah kuat tepukannya dan diikuti tepukan dan sorakan gemuruh orang kampung... Pemidato tersenyum puas sambil melambai-lambai tangan ke arah orang kampung.

Selesai acara seorang orang pekan menghampiri Pit, menghulur sampul surat dan membisikkan sesuatu. Pit mengangguk-angguk macam faham.

Esok pagi kampung menjadi kecoh... Pit dijemput olah salah sebuah kereta yang datang petang kelmarin. Bahkan Pit dihadiakan pakaian baru bercorak bendera kelmarin. Lama baru orang kampung faham, rupanya Pit ditawarkan berkerja dengan orang pekan. Pit berbangga memasuki kereta yang pertama kali seumur hidupnya. 

Bermula hari  itulah Pit dijemput dan dihantar setiap hari. Pit juga samakin bergaya, setiap hari bertukar pakaian dan semakin dikenali. Pit mendapat kerja baru dan upah yang lumayan.

Apa kerja Pit...? Dia ditugaskan untuk bertepuk tangan sekuat-kuatnya ketika ada pemidato berceramah. Sehari beberapa tempat di kampung berlainan. Rupanya kempen pilihanraya. Tapi Pit tidak mahu tahu apa acaranya. Yang dia tahu, setiap lepas acara dia dibayar. Orang pekan juga bertambah suka kepada Pit.

Pit bertelapak tangan besar, tepukkan Pit sememangnya kuat dan mempengaruhi orang lain untuk ikut bertepuk. Pernah juga Pit tersalah tepuk dan ditegur serta diberi tunjuk ajar oleh pemandu kereta yang menjemput hantar Pit. Dan Pit semakin mahir. Tiap malam Pit berlatih menambah kuat bunyi tepuknya.

Dua minggu kemudian ada pula orang kampung lain yang cuba menyangi Pit. Tapi tepukan lemah mereka tidak menarik perhatian orang lain, akhirnya mereka berhenti sendiri dan meletak jawatan sebagai tukang tepuk... Pit semakin tersohor.

PIT TUKANG TEPUK... gelaran unggul kepada Pit dan menjadi kebanggannya. Semua majlis ceramah sepanjang kempen akan meriah dengan kehadiran Pit. Luar biasa aura tepukan Pit. Semua pemidato parti memuji Pit. Upah Pit juga semakin hari semakin bertambah. Menjelang akhir kempen pilihanraya Pit sudah memiliki basikal baru. Pit makin bergaya.

Pernah sekali Pit tidak dapat mengikuti rombongan kempen kerana neneknya demam. Khabarnya majlis ceramah begitu hambar dan suram.... seolah ada mayat terbujur dalam majlis, sunyi dan sepi. Ketua Parti kecewa dan berpesan agar esok dan seterusnya Pit mesti hadir serta menambah upahnya sekali ganda lagi. Begitulah pentingnya Pit dalam majlis kempen parti tersebut.

Di akhir kempen Pit merasa sedih. Dia dikhabarkan bahawa malam itu adalah yang terakhir untuk dia bertepuk. Selepas itu kena tunggu lima tahun lagi.... Pit benar-benar sedih. Dia tidak faham sama sekali kenapa harus berhenti namun Pit terpaksa menerima dan bersabar.

Selepas pilihanraya Pit kembali ke kerja kampung, menjala dan memanjat kelapa. Tapi Pit sentiasa berharap agar bakat bertepuknya akan berguna lagi pada bila-bila masa. Latihan bertepuk mesti diteruskan.

Hingga satu malam ada acara di surau kampung. Pit dapat tahu petang tadi. Anak-anak kampung bercerita tentang acara menjelang malam.

Pit hadir dan memang benar ada acara. Pit mencari tempat sesuai dan kehadiran memang ramai, sesak surau hingga ke luar. Penceramah sedang menyampaikan mukadimah... Pit menunggu waktu yang sesuai. Ketika merasakan saatnya sudah tiba, Pit bertepuk sekuatnya.... Pit merasa ganjil... tiada seorangpun ikut bertepuk... malah hampir semua orang melihat kepada Pit.

Sesaat Pit berfikir, mungkin orang ramai masih belum tersentuh dengan tepukkannya. Penceramah juga terhenti seketika....

Beberapa minit kemudian Pit bertepuk lagi bertambah kuat, mungkin yang pertama tadi tidak seberapa kuatnya.... tapi keadaan tetap sama. Tiada orang lain mengikuti tepuk Pit. Makin ramai orang melihatnya sambil berbisik... Pak Imam perlahan mendekati Pit sambil memegang tangan dan memimpin Pit keluar....

Sakit hati Pit disuruh pulang. Sedikit upahpun tidak dihulur walau sudah dirayu oleh Pit. Rupanya tepukan Pit tidak bernilai sama sekali dalam ceramah di surau. Sedih Pit bukan kepalang.

Namun kesedihan Pit terubat selepas lima tahun. Setiap pilihanraya Pit menjadi orang penting. Pit sentiasa jadi sebutan, Pit sentiasa dicari dan jadi rebutan parti yang bertanding. Dengan gelaran PIT TUKANG TEPUK tiada sosok lagi yang tidak mengenali Pit. Malah bayi yang baru belajar bertatih pun akan akan bertepuk apabila diseru Buat Macam Atok Pit..... maka bertepuklah anak-anak tersebut.

Ketika berusia 95 tahun Pit mengumumkan perletakkan jawatannya dalam satu acara kempen terakhir pada tahun tersebut. 

Kini Pit sudah berusia hampir 100 tahun... Pagi tadi Pit rebah dan diusung ke hospital... di atas katil Pit terlantar lemah. Jururawat dan doktor memereksa keadaan Pit. Akhirnya doktor bersuara... Pit bukannya sakit, Pit cuma letih... spontan Pit bertepuk dengan kuatnya.....

Aspirasi cerita dari Antologi Mimpi Rakyat.







 


20240621

KELUARGA KECIL dan 21 JUN... Catatan kenangan

Si Blogger Pink satu ketika dahulu...


 Agak lama tidak mencatat di dalam blog ini. Terasa bersalah terhadap diri sendiri, membiarkan blog kesepian tanpa sentuhan dalam waktu yang agak panjang.

Hari ini  Jumaat, 21 Jun 2024. Pada tarikh ini tahun 1991 aku, isteri dan anak sulung meinggalkan kampung halaman leluhur dan tempat lahir. Meninggalkan sahabat sepermainan, keluarga dan rutin selama ini untuk memulakan hidup baru di tempat yang ditakdirkan, Felda Anjung Teduh, Lahad Datu sehingga saat ini.

Masih ku ingat lagi, pada pagi 33 tahun yang lalu itu. arwah Haji Ghulabdin Enjih, abang sepupuku menghantar kami ke lapangan terbang Kota Kinabalu. Saat meninggalkan rumah, keluargaku menghantar kepergian kami dengan pandangan sayu dan aku juga amat berat untuk mengambil keputusan ini pada ketika itu.

Bersama Keluarga Blok 3, Felda Sahabat 2


Kebenarannya, takdir tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Rezeki dan kehidupan aku dan keluargaa kecil telah ditetapkan bahawa kehidupan selanjutnya kami adalah di sini di belantara sawit ini. Dengan rasa syukur yang tidak terhingga, aku dan keluarga kecil ini akan terus mengharungi kehidupan ini dengan seadanya di sini.

Selama tempoh 33 di sini, terlalu banyak yang ku alami dan tempuhi. Sebahagian kecil pengalaman itu telah ku catat di dalam blog ini dan boleh dirujuk di tapak-tapak halaman yang disediakan. 

Perlu juga aku nyatakan, bahawa tanggal 21 Jun 1991 itu adalah malam pertama kami bermalam di Felda Anjung Teduh dan secara kebetulannya pada malam itu adalah Malam Hari Raya Aidil Adha 1991. 

Dua cucu perempuan Aira dan Maysah


Secara tidak langsung, keluarga kecil ini benar-benar melaksanakan pengorbanan dengan meninggalkan rutin bersma keluarga di kampung kelahiran dengan memasuki era baru di tempat terasing ketika itu.

Hari ini 21 Jun 2024, hari ke 5 Aidil Adha, kenangan lalu berlumba-lumba memasuki ruang ingatan yang sempit dan daif ini. Sekadar mampu menerbitkan ungkapan doa dalam hati nurani agar semua yang berlaku selama ini memiliki hikmahnya masing-masing.

TUARAN...Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Sayugia juga saya catatkan di sini, tempoh 33 tahun di Anjung Teduh, keluarga kecil ini telah bertambah dengan lima  orang cahaya mata + empat orang  menantu + lima orang cucu dan bertambah satu orang lagi neneknya.



20240313

Selongkar Buku Lama: CERITA DUA SAHABAT

     

Kulit Majalah CERMIN

        30 tahun kemudian, dua sahabat karib bertemu semula setelah berpisah selama tepat 30 tahun. Ini penghujung cerita yang akan digarab dari buku lama kali ini.

Buku yang dimaksudkan adalah sebuah majalah terbitan negara jiran Indonesia pada sekitar tahun 1950 antara majalah tertua di nusantara.

Majalah bernama  CERMIN namun pada ketika itu ditulis JERMIN... terbit dwi bulanan dan menjadi antara bahan bacaan rebutan ramai pada zaman kegemilangannya. Harga senaskah 350 Rupiah.... agaknya sekitar satu atau dua  sen waktu itu di Malaysia.

Nah, cerita tentang dua sahabat itu kita namakan mereka Ali dan Ahmad... bersahabat sedari kecil dan mungkin sejak dalam kandungan ibu masing-masing sebab  ibu mereka juga bersahabat akrab sejak mereka dalam kandungan.

Muka Depan Berwarna


Secara kebetulan hari kelahiran Ali dan Ahmad juga sama. Membesar, bermain dan bersekolah dalam kelas yang sama menjadikan kedua-duanya semakin rapat dan akrab. Hampir saban waktu di mana ada Ali di situlah juga adanya Ahmad mereka seringnya bersama-sama dalam kebanyakan suasana.

Walaupun sering bersama namun mereka sedikit berbeza dari segi budi bahasa dan perlakuan. Ahmad sedikit kasar dan kurang sopan dengan kebanyakkan orang dan ini berbanding Ali yang sopan dan tinggi budi bahasanya.

Apapun perbezaan sikap ini tidak menganggu persahabatan mereka malah semakin hari mereka juga semakin akrab. 

Sehinggalah pada satu malam, ayah Ali mengatakan bahawa mereka akan berpindah jauh dari desa ini dan agak mustahil akan kembali dalam tempoh yang lama sekalipun. Ayah Ali akan menjual segala miliknya di desa dan hasil jualan sebagai bekal di perantauan. 

Ali agak terkejut dengan keputusan ayah. Namun tidak membantah sama sekali dan anak berusia 15 tahun itu akur sepenuhnya dengan hati yang hiba.

Esoknya Ali bertemu Ahmad di pinggir sungai dan menceritakan hasrat ayahnya kepada Ahmad. Kedua-duanya agak bersedih atas perkembangan ini,  Hari itu begitu sayu adan suram. Ahmad kelihatan amat bersedih atas kehilangan sahabat karibnya.

Iklan @ Artikel Majalah


Seminggu kemudian, detik perpisahan berlaku di perhentian bas berdekatan deretan warung dan toko pelbagai jualan orang desa. Ali dan Ahmad berpegang tangan sambil berjanji antara kedua-duanya. Mereka berjanji akan bertemu lagi di tempat ini, tepat 30 tahun yang akan datang dengan pelbagai usaha sekiranya umur masih panjang.

Cerita disingkatkan. 30 tahun kemudian, Ahmad menunggu lebih dahulu di tempat yang mereka janjikan. Jam 8.00 malam seperti yang dijanjikan, dalam renyai hujan gerimis Ahmad melihat dari kejauhan seseorang menuju ke tempat Ahmad menunggu.

Rupanya seorang lelaki dan ahmad tidak pasti sama ada itu Ali ataupun bukan.  Ahmad mendekat sambil bersuara, "Boleh pinjam koreknya Pak..."

Lelaki itu mengeluarkan pemetik api sambil menyalakannya dan menyua ke hadapan...Ahmad mendekatkan rokok di bibirnya... Selang beberapa saat lelaki itu berlalu meninggalkan Ahmad.

Selang beberapa minit, sebuah kereta berhenti di sisi Ahmad. Tiga orang lelaki segera keluar dan menerpa ke arah Ahmad, dia digari dan dibawa ke balai polis berdekatan.

Setiba di balai polis seroang anggota menghulurkan sekepong kertas kepada Ahmad... pantas Ahmad membaca catatan di atas kertas.

"Sahabat ku Ahmad. Maaf kerana menghantar polis menangkapmu. Aku tiba tepat pada waktu yang kita janjikan. Ketika menyalakan api untuk mencucuh rokokmu, aku melihat wajahmu dengan parut yang tertera di pipi. Lalu aku mengenalmu bahawa engkaulah yang telah sekian lama diburu pihak polis. Aku tinggalkan engkau dan segera memaklumkan ke pihak polis yang bertugas. Aku tidak sanggup untuk menangkapmu walaupun telah sekian lama ditugaskan untuk berbuat demikian... Aku juga tidak menyangka bahawa selama ini aku ditugaskan untuk menangkapmu Sahabatku Ahmad... Maafkan aku.."

Sebuah cerita yang ringkas, ringan namun penuh makna dan pelbagai pengajaran tersirat. Sesuai untuk bacaan umum pada zamannya.