20230114

AKU SEEKOR ULAR TEDUNG

 


Aku seekor ular. Aku tidak tahu berapa umurku, yang pasti aku sudah agak tua. Namun aku masih berbisa, biar menyusur akar pun bisaku tidak pernah berkurang.

Kata warga rimba, namaku  Tedung Selar. Antara bangsa ular yang paling digeruni di rimba dan di mana-mana. Terus terang, aku amat berbangga dengan kedudukan aku yang digeruni setiap kali aku menjalar.

Aku juga tidak tahu berapa banyak tedung betina yang menjadi isteriku. Aku juga tidak tahu berapa  anak aku. Mungkin agak banyak juga, tapi tiada satupun yang aku kenal.

Sejak kebelakangan ini aku sering sakit-sakit. Mungkin sudah terlalu tua. Badan aku lemah, selera makan semakin berkurang.

Petang ini aku terlalu lapar. Sudah berapa hari tidak makan dan minum. Agak sukar mendapat makanan sejak aku-sakit-sakit. Pernah sekali seekor anak katak menari-nari di hadapanku, sambil dia menjelurkan lidah ke arah aku. Dia tahu aku lemah dan hampir tidak berdaya. Aku hanya mampu melihat ia pergi.

Sedari pagi aku tertidur dan petang ini terjaga dengan laparnya. Perut berbunyi kata binatang berkaki dua, perut aku berkeroncong.  Aku berusaha mengangkat kepala, ada sesuatu yang bergerak-gerak tidak berapa jauh. Mata rabun ku kedip berapa kali.

Setelah pasti aku mendekati pergerakan itu dengan perlahan. Hanya sekali terjah habuan itu telah berada dalam mulut ku. Perlahan ku kunyah sambil menutup mata. Terasa ada sakit-sakit ketika aku mengigit makanan…. Ahh…memang aku sudah terlalu tua, keluh dalam hati ku.

Aku menelan perlahan, menutup mata dan seakan mengantuk yang amat sangat. Pandangan ku berpinar, makanan terus ku nikmati sampai tertidur lagi.

Pagi esoknya baru aku tersedar, lena sungguh tidurku. Sudah kenyang rasanya, tapi sisa makanan masih ada di dalam mulutku yang terbuka luas. Perlahan aku telan lagi, tapi ada yang ganjil rasanya…..

Aku mengalih pandangan rabun ku, meneliti sisa makanan… ehhh TERSENTAP DARAH DAN BISA KU....rupanya semalaman aku mengunyah dan menelan badanku sendiri dari arah hujung ekor ku….. ahhh sudah….!!!  Tubuh ku menjadi bulat seakan roda basikal…. Ahhh binggung rasanya melihat keadaan ini….. Di sekeliling… banyak pula monyet yang ketawa terbahak-bahak….

  

 

 

SENTUHAN SANTAI, KESAN MENDALAM..

 

Sentuhan santai Ustaz Abdul Somad LC pada 17 November 2022 di laman Tik Tok, telah meninggalkan kesan yang mendalam khasnya dari konsep kesyukuran dan menghayati keringat petani khusus pesawah.

 

Ulama tersohor asal Sumatera Utara Indonesia ini begitu kreatif dengan membuat konten ringkas di lapangan sawah padi menghijau.

 

Hantaran tersebut mendapat perhatian warganet dengan 250 ribu tanda suka, 3200 komen dan 6750 perkongsian. Hinggakan kebanyakan warganet melahirkan rasa terharu kerana terlupa mengungkap sepotong penghargaan kepada golongan pesawah.

 

Tidak kurang juga yang mengucapkan terima kasih atas peringatan yang disampaikan selanjutnya  berdoa agar sosok ini sentiasa dilindungi Allah dan seterusnya sentiasa menyampaikan motivasi yang amat bernilai sebegini.

 


Semoga kita sentiasa memberikan sokongan atas usaha Ustaz Abdul Somad dan seterusnya kepada semua golongan ulama Nusantara.

20230108

SINGOI: Peneroka Felda Cemerlang-Pembawa Obor dari Tuaran

 


Seawal pagi itu, ketika sinar matahari belum menyimbah cahayanya di Kampung Lokos, Kiulu Tuaran. Singgoi Bolohok @ Singoi dan isteri, Linak Binti Palalun, bersiaga memulakan langkah bersama dua orang cahaya mata yang masih kecil untuk melakar kehidupan  baru sebagai Peneroka Felda Sahabat Satu di Lahad Datu, 32 tahun yang lalu.

Berjawatan Pengerusi JKKK ketika itu, Singoi mengambil keputusan nekad untuk meninggalkan kampung kelahiran, jawatan, rakan-rakan dan sanak saudara apatah lagi pekerjaan sebagai petani dan kerja kampung  yang agak samar menjanjikan masa depan  keluarganya.

Kampung Lokos Kiulu (Rumah Singoi bertanda merah

Menerima tawaran sebagai Peneroka Felda, sebenarnya satu keputusan yang sedikit meragukan dan merisaukan sanak saudara yang ditinggalkan. Maklumlah ketika itu Gugusan Felda Sahabat terletak di kawasan Tungku, kawasan hitam dan kurang selamat. Ini dari sudut pandang penduduk di Pantai Barat Sabah, kerana sering mendengar khabar akan gangguan bajak laut yang digelar mundu.

Rupanya semua kerisauan itu hanyalah usikan kecil sebelum berada di penempatan peneroka itu. Kini 32 tahun sebagai pemastautin di Felda Sahabat Satu, Anjung Teduh, Lahad Datu, Singoi dan keluarga telah berjaya membina kehidupan yang lebih baik.

Ayah kepada lima orang anak, Singoi dalam usia 65 tahun telah memberikan contoh Peneroka Cemerlang dengan kesemua anak-anak berjaya melepasi tangga Menara gading.

Lima orang anak keluaran Univisiti

Tiga daripada anak berkerjaya sebagai guru, dua beradik mengajar di SK Cenderawasih Felda Sahabat 7, seorang sebagai pensyarah di Kolej Vokasional Butterworth  Pulau Punang.

Dua orang bertugas di FGV Holdings Berhad. Seorang sebagai Jurutera di  FGV Holdings Berhad, Wilayah Sahabat dan seorang sebagai Penolong Pengurus di  FGV Holdings Berhad, Wilayah Bera, Pahang.

Bersama Pekerja JNT


Bak kata rang tua-tua, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, di belantara pohon kelapa sawit ini, obor kepimpinan terus disemarakkan, Singoi telah menumpahkan jasa sebagai warga yang bertanggung jawab dengan menjawat jawatan Ketua Blok sejak tahun 2005, juga menjadi anggota Exco JKKR sebagai Setiausaha bermula tahun 2005 hingga kini.

Watak  ini dilanjutkan  juga dengan menjadi Anggota Lembaga Koperasi Peneroka Felda Sahabat Satu Berhad sejak lebih dua dekad   yang lalu di samping bergiat cergas dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA Zon Felda Sahabat).

 


Jiwa Petani

Demi menambahbaik  ekonomi keluarga, Singoi menjalankan perniagaan dengan membuka Kedai Alatulis Pustaka Josi di Bandar Cenderawasih dan bertindak sebagai Primier Center Point syarikat JNT (SBH415) juga di Bandar Cenderawasih.

Menambahkan usaha lagi, Singoi yang gemar melancong, mengusahakan kedai runcit di rumahnya di Blok 01 Felda Sahabat Satu. Beliau juga mengusahakan ternakan burung walit berhampiran rumah.

Berketurunan suku Dusun sememangnya pertanian agak sukar dipisahkan, bigitu Singoi meluangkan masanya dengan mengusahakan tanaman lada putih seluas 2 setengah ekar di kampung asalnya Kampung Lokos Kiulu. Manakala sekeliling rumah dimanfaatkan dengan tanaman sayuran jangka pendek.

 

Sarang burung walit Singoi

Agak luar biasa,  selain berjaya  menyalakan obor cinta akan pembelajaran di kalangan anak-anak, Singoi sendiri masih sempat menyelesaikan pengajian jarak jauh di Univisiti Malaya dan berjaya menggenggam Diploma Audit dan Perakaunan pada tahun 2003.

Mengenangkan diri yang berasal dari golongan kurang berkemampuan, Singoi meletakkan Pendidikan sebagai agenda utama dalam mentadbir keluarganya.

Baginya, pendidikan hendaklah melangkah lebih ke hadapan dan hendaklah dicapai dengan bersungguh-sunguh.  Sifat ini benar-benar diwarisi anak-anak dan lebih-lebih lagi  anak ke dua yang sehingga kini menjadikan Bahasa Inggris sebagai bahasa pertuturan di rumah.

 

Cucu..Sedari kecil berbahasa Inggris

Dengan usia emas kini, Singoi masih lagi mengharapkan agar generasinya akan sentiasa berada di persada pendidikan  cemerlang seiring semua bidang yang diceburi.

 

Semoga hasrat Singoi tercapai sepenuhnya dan cahaya obor semangat sentiasa bercahaya di kalangan generasi pimpinannya.

Sesekali ke luar negara

 

Bersama Pemimpin