20230106

JEJAK RANTAU: Aliudin... Dari Tuaran ke Sydeny

 

ALIUDIN TAJUL ARIFIN -Sydney

JEJAK RANTAU kita teruskan. Kali ini membawa kisah Aliudin Tajul Arifin, dari Kampung Indai Tuaran, Sabah, Malaysia bersama isterinya yang berasal dari Kinarut Papar, Sabah.

Tanpa menoleh, dalam menghampiri usia emas (59 Tahun) ketika itu, Aliudin menjejakkan kaki sebagai pekerja ladang di Perth, Australia pada awal 2017.

Sebermula di rantau ini, Aliudin menyewa rumah  dengan bayaran seminggu sekali dengan nilai AUSD 110 seorang. (Lebih kurang RM327.00 Seminggu).

Bekerja sebagai pemetik buah strawberi , dengan tenaga yang kian diragut usia, Aliudin masih berpendapatan AUSD 700 (RM2077.00) seminggu. Pendapatan ini bersih selepas membuat bayaran balik kepada agen pekerjaan di Kota Kinabalu  sebanyak AUSD 200 seminggu.

Rutin harian seawal pagi memulakan tugas penuaian dengan tekun. Tidak semudah yang disangka, menurut Aliudin, dalam suasana sejuk berkabus adakalanya kita berjalan, membongkok malah ada yang sampai berjalan seperti itik atau hingga bersila untuk menyelesaikan tugas  petikan  yang baik.

Di Ladang Anggur


Penuaian buah mentah adalah dilarang sama sekali dan akan ditegur tegas sehingga diusir pulang sekiranya menuai dengan menggugurkan buah yang belum masak.

Pemilik ladang atau wakilnya akan sentiasa memantau pergerakan kita sebagai pekerja. Setiap pekerja ditugaskan menuai mengikut lorong batas masing-masing yang mana batas setiap baris panjangnya sehingga seratus meter. Bagi pekerja berusia muda mereka akan bergerak lincah dan biasanya akan menghabiskan lorong tuaian lebih cepat. Semakin cepat tuaian dibuat maka bertambah banyaklah pendapatan dihasilkan.

Peringkat awal pekerja akan dibayar dengan kiraan jam dengan kadar AUSD 20 (Sekitar RM59.00) per jam.  Pemilik ladang hanya membenarkan pekerja menuai  antara enam hingga tujuh jam sehari sahaja bermula jam lapan pagi.

Setelah mahir, pekerja boleh memilih untuk menuai dengan kiraan tray dan ini menghasilkan pulangan yang lumayan. Satu tray akan dibayar dengan AUSD 4 dan satu hari pekerja mahir boleh menghasilkan tuaian sehingga 100 tray. Ini bermakna satu hari pendapatan boleh mencapai AUSD 400 ( RM 1187.00- wow lumayan kan..)

Selain Strawberi, pemetik buah juga boleh memilih untuk menuai apel, anggur, afrikot,oren,  pear, cerry dan lain-lain.

Mengikut Aliudin, beliau sangat suka menuai blueberry kerana mudah dan menghasilkan pendapatan yang baik. Manakala memetik buah anggur pula sering mencederakan jari apabila tersilap gunting.

Istimewa di sini seusai bayaran agen pekerjaan selama setahun,  pekerja bebas untuk memilih ladang tempat berkerja mengikut kadar tertinggi yang ditawarkan. Manakala belanja makan harian juga dapat dibeli dengan kadar yang murah serta boleh menikmati makanan Malaysia dengan mengunjungi restoran makanan Melayu yang banyak di sekitar Perth, Sydney dan Melbourne.

Australia merupakan antara tempat terindah di dunia. Pekerja dari pelbagai negara akan mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan di persekitaran yang indah  sekiriranya ada kesempatan.

Bersama Rakan Sekerja

Bak kata orang tidak semuanya manis dalam perantauan, Aliudin suami isteri mengalami tekanan hidup di rantau apabila tempoh visa telah tamat dan gagal untuk disambung.

Bermulalah kehidupan sebagai pendatang asing di Negara Kanggaru yang ketat undang-undangnya melibatkan perkara sebegini.

Pernah beberapa malam tidur tidak berlampu sama sekali kerana takut dicekup pihak berkuasa dan adakalanya berjaga semalam suntuk demi keselamatan dan mengelak dari tertangkap. Ketakutan , kerisauan dan pelbagai perkara buruk berlegar dalam khayalan seandainya tertangkap dan menjalani hukuman.

Paling tragis bagi Aliudin dan isteri, satu ketika dalam perjalanan yang jauh dengan keretapi, terpaksa turun di stesen  yang tidak dirancang kerana pemeriksaan polis rupanya bermula dari gerabak ke gerabak.

Ketika pemeriksaan belum sampai ke gerabak tumpangannya, keretapi berhenti dan mereka bergegas turun di tempat yang terlalu asing dan sepanjang malam itu mereka bersembunyi dalam rimbunan pohon di sebuah taman  dari hiduan polis yang berkeliaran  di mana-mana. Saat ini, sepenuh jiwa raga kami serahkan kepada Allah, ujar Aliudin.

Ketakutan sebegini menghantui kehidupan harian seterusnya, Tindakan segera perlu diusahakan secepatnya untuk mencari jalan penyelesaian.

Santai selepas berkerja

Dengan pelbagai usaha dan bantuan pihak tertentu dia berjaya lolos pulang ke tanah air pada tahun 2022 setelah lima tahun bergelut dengan kehidupan panas sejuk di negara tersohor indahnya yang rupanya tidak seindah khabar.

Kepada bakal perantau yang berhasrat untuk berkerja di Australia, saran Aliudin, agar mendapatkan maklumat terlebih dahulu dengan pelbagai cara dan sebaik-baiknya pergi dengan tidak melalui agen pekerja.

20230101

(JEJAK RANTAU) BUDIMAN NAWI: Perantau Tulus Berjiwa Cekal

BUDIMAN NAWI

Bukan satu perkara yang mudah  untuk meninggalkan kampung halaman tempat lahir dan bermain pada zaman kanak-kanak. Apatah lagi turut berpisah dengan ibu bapa yang sudah berumur, adik-adik yang masih kecil dan sahabat handai teman bersenda dan seumpamanya.

Namun bagi Budiman Nawi,47, semua itu diatasi oleh hasrat dan harapan yang mekar berkobar untuk merubah masa hadapan yang masih panjang.

Pada usia 15 tahun, Budiman mengorak langkah meninggalkan kampung halamannya di Kacamatan Lamuru Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan Indonesia. Air mata perpisahan serta doa  sanak saudara mengiringi perjalanannya menuju ke negara jiran Malaysia.

Setiba di perantauan, Felda Sahabat Lahad Datu, Sabah sebagai lokasi di takdirkan untuk  Budiman memulakan hidup dengan suasana serba baru dengan mempertaruhkan tenaga dan kejujuran melakukan pelbagai kerja demi menampung keperluan seharian di samping menabung serba sedikit seperti yang dirancang.

 

Bersama Isteri, Sunarti


Pelbagai jerit payah diharungi siang dan malam, hujan dan panas, perinsip anak rantau, malas bererti lapar.. tersemat setiap detik di hatinya. Tanpa menoleh, tulang empat kerat diperagakan tanpa mengenal erti putus asa.

Maki hamun, sumpah seranah, tuduhan liar sewenangnya, muslihat pembohongan merata pun kecewa dan air mata kerinduan, merupakan asam garam segelintir  anak rantau, malah ada yang sampai ke tahap penderaan.

Mujur bagi Budiman, sepanjang di rantau orang ini, tidaklah seperit dan sesukar rakan rantau yang lain. Budiman selalunya bernasib baik dan dilindungi Allah berdasarkan sikap keperibadian sesama manusia. Pesanan ibubapa agar sentiasa berbuat baik di mana sahaja tersemat kemas dalam ingatan.

Hasil kerajinan dan ketekunan, Budiman menapak dari buruh ladang sehingga berjaya memperbaiki kerjaya sebagai pemandu jentera berat. Kerja ini sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan walaupun perlu menghadapi pelbagai risiko dan yang utama sekali hendaklah berhati cekal dan sentiasa menambah pengalaman.


Warung Makan Cha Cha

Pada tahun 2000 Budiman mengakhiri zaman bujangnya dengan memilih Sunarti Bedu, juga generasi perantau, sebagai pasangan. Jodoh di rantauan ini telah menguniakan tiga orang puteri sehingga kini sebagai penyeri rumah tangga.

Berbekalkan tabungan serba sedikit, Budiman akhirnya memutuskan untuk kembali ke tanah air dan membina kehidupan seterusnya di Kacamatan Watubangga, Sulawesi Tenggara.

Hasil pengalaman di rantau, Budiman mengusahakan kedai runcit dan Warung Makan Cha Cha di tepi Pantai Watubangga. Usaha dilipatgandakan lagi dengan membuka sebuah lagi warung makan di Anaiwoi Tanggetada . Sebuah kedai menjual alat ganti motor, menjadi agen dan membuka sudut  BRI di Watubangga. Selain itu mengusahakan ternakan burung walit dengan dua unit bangunan.

Bagi melancarkan urusniaga,  Budiman dibantu oleh enam orang pekerja di samping menydiakan kenderaan seperti tiga unit motorsikal dan dua buah kereta MPV pelbagai guna.

Bak kata orang, jauh perjalanan banyak pengalaman. Budiman menjadikan setiap langkahnya sebagai pemangkin untuk memastikan generasinya akan mengharungi kehidupan ini lebih sukses dan sempurna pada masa hadapan. Begitu setiap butir keringatnya yang tertitis ke bumi akan bersatu menjadi lautan harapan.

Budiman Nawi telah membuktikan bahawa anak rantau yang tulus telah kembali dan berjaya membina kerjaya tersendiri di bumi leluhur.  Semoga menjadi aspirasi dan teladan kepada perantau di luar sana dan yang baru merancang untuk menjadi perantau.

   Salam Hormat…  Jumpa lagi di JEJAK RANTAU seterusnya.

20221231

Lahad Datu Gempar Lagi: BUAYA MERAYAU DI TENGAH BANDAR

 


 



Awal Disember 2022, warga kita digemparkan dengan tingkah Sang Bedal membaham seorang kanak-kanak di Lahad Datu, di hadapan ayahnya sendiri. Kisah tragis tersebut merentap hati setiap  yang menonton vedio yang tersebar luas di media sosial.

 

Pagi ini, 31 Disember 2022, sekali lagi bandar sawit di Pantai Timur Sabah ini, digemparkan dengan kehadiran seekor reptillia pemangsa ini di Bandar Wilayah Lahad Datu.

 

Berukuran lebih kurang 3 meter, kelihatan vedio memaparkan orang ramai mengerumuni dan berusaha mengangkat buaya tersebut yang telah diikat kemas dan seolah telah mati.

 

Tiada sumber yang dapat mengesahkan sama ada buaya itu telah mati ataupun tidak.

 

Vedio sepanjang 30 dan 20 saat itu telah diunggah di laman Facebook oleh Sahrin Rin Salam Baladan setakat 2 jam mendapat 135 perkongsian dan 2.7k tontonan.

 

Dari paparan vedio tersebut, kelihatan seperti pemangsa  ini dari spssis buaya katak dan antara sepsis yang paling ganas.

 

Apa pun semoga semuanya akan baik-baik saja dan sentiasa berhati-hati walau di mana saja kita berada. Kalau dahulu kita diingatkan bahawa air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya, hari ini kita kena ingatkan juga bahawa buaya sudah berada di mana-mana.