20221222

PESANAN AYAH: Aspirasi Kecekalan Francis

 


FRANCIS XAVIER KINJIN




Atlet Angkat Berat Para (Sukan Malaysia) SUKMA 2022 Sabah, Francis Xavier Kinjin, 38, antara penyumbang pingat sekaligus menobatkan Sabah sebagai Juara Keseluruhan dan memadam keunggulan juara 13 tahun Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

 

Jejaka hebat kelahiran Kampung Dabak Pernampang Sabah ini merupakan seorang OKU fizikal sejak lahir  namun tidak pernah menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuknya meneruskan kehidupan harian seperti orang lain.

 

Anak bongsu dari lima orang adik beradik dan satu-satunya yang mengalami kelainan upaya begini, telah mencuri tumpuan dan meruntun hati warga net apabila menghantar status di sebuah kumpulan, di media sosial baru-baru ini.

 

Rata-rata warga maya melahirkan kekaguman atas kecekalan Francis khasnya apabila menelusuri akaun Facebooknya.

 

Hantaran tersebut sehingga kini mendapat lebih 11,300 tanda suka dengan pelbagai ulasan komen yang positif daripada kebanyakan warga.

 

“Tak perlu edit bang, abang dah berdiri lebih tinggi dari kami...it needs be a strong and high in spirit person to be ur place..” kata Azhar Pawanteh dari Alor Star yang mendapat sokongan dari puluhan pelayar lain.

 

Ketika dihubungi, Francis yang gemar memasak dan memancing menjelaskan bahawa pada Julai 2022 telah menjuarai acara Angkat Berat di Peringkat Negeri Sabah seterusnya menggungguli tempat ke dua dalam Para SUKMA November 2022 di Kuala Lumpur.

 

Hobi masa lapang...

Pernah berkerja sebagai tukang masak di sebuah restoran, Francis kini hanya berkerja sendiri di kampung di samping ibunya seorang warga emas. Manakala ayah tersayang telah lama meninggal dunia.

 

Kekuatan dan kecekalan serta sifat berdikari Francis sebenarnya mendapat dorongan keluarga khasnya kedua ibubapa yang sentiasa berpesan agar dia tidak mengharapkan pertolongan orang lain Ketika melakukan kerja rutin seharian.

 

Pesnan keramat ayahnya, sentiasa segar dalam ingatan dan mendorong Francis bertekad akan lebih menyerlah pada masa akan datang.

 

Penampilan dan keceriaan  pahlawan Kadazan ini benar-benar menidakkan kekurangannya bahkah memiliki semangat juang yang tinggi seiring masyarakat yang lain.

 

Semoga  ada pihak yang tampil mengambil berat  khasnya untuk terus mengilap mutiara Penampang ini agar kelebihan dimiliki Francis tidak terbenam di dasar Sungai Kolopis.

Merenung Masa Depan....




20221221

Luar Biasa: Warung 4G REZEKI DI BELANTARA

 




Berada jauh terperosok Utara Kalimantan Indonesia, lebih kurang 20 kilometer dari Sempadan Malaysia Indonesia, seorang Warga Kalimantan, memperkasakan semangat untuk meneruskan penghidupan dengan mengusahakan sebuah warung tanpa mengenal erti putus asa disebabkan kejauhan dari masyarakat.

Mengharapkan kehadiran pekerja kebun sawit dan warga sekitar yang kalanya sejauh 15 kilometer, pengusaha Warung 4G sentiasa melayani pelanggan seadanya.

Rakan Jurupandu Google, Sudirman Sabir, yang sempat mengunjungi warung tersebut, telah mengunggah beberapa keping foto untuk panduan pengguna di Google Maps.

Dari foto tersebut kita dapat melihat kesungguhan pengusaha dengan menyediakan meja makan pelanggan dengan pilihan duduk di kerusi atau duduk bersila, seperti mana kebanyakan penyediaan tempat sajian hidangan di Indonesia.

Menyediakan pelbagai menu, pengunjung sentiasa membuat komenter yang terbaik bagi menyokong pengusaha dan berpuas hati apatah lagi kedudukan warung yang unik ini merupakan satu-satunya pilihan yang tersedia.




Pepatah Nusantara, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, telah benar-benar menjadi pendorong kepada pengusaha.

Walaupun berada jauh di tengah belantara sawit, bangunan ala kadar dengan perabut dan peralatan seadanya, pengusaha sentiasa mengutamakan kebersihan persekitaran dan ruang dalam Warung 4G.

Untuk anda, manalah tahu tersesat di Kalimantan Utara, bolehlah semak dan mengunjungi warung unik ini di kedudukan 757R+QG4, Nunukan Utara, Kec. Nunukan, Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara 77482 Indonesia.

Kepada yang sempat berkunjung, berada jauh dari kesibukan kota raya, dengan berkedudukan agak tinggi dari persekitaran, hembusan angin segar dan bunyi burung yang berkicau, sudah pasti Warung 4G merupakan pakej menyeronokkan.

Semoga catatan ini akan menjadi pendorong kepada yang ingin memulakan perniagaan khasnya yang bermodal kecil. Gagal setelah berusaha adalah lebih baik daripada langsung tidak berusaha.

 

20221219

SERANGAN GAJAH LIAR DI FELDA SAHABAT

 

Gambar Hiasan Sahaja


 

Gajah merupakan haiwan herbivor yang mana juga merupakan mamalia yang terbesar di darat. Gajah dikenali sebagai haiwan yang bergerak hidup secara berkawanan atau berkumpulan. Mamalia ini boleh ditemui di pelbagai habitat, tidak kira di kawasan hutan belantara, di kawasan sungai mahupun di kawasan kebun-kebun di sekitar kita. Kelihatan bahawa gajah merupakan haiwan yang menyenangkan dan menarik untuk dilihat serta dijadikan bahan pemotretan bagi masyarakat, dek kerana saiznya yang besar, belalainya yang unik dan sepasang gading yang dikatakan mencecah ratusan bahkan ribuan Ringgit Malaysia. Namun begitu, adakah masyarakat cakna tentang kehadiran gajah liar yang mendatangkan kerugian kepada segelintir penduduk.

 

Seperti yang kita sedia maklum kelapa sawit merupakan sejenis pokok palma yang menjadi sumber penghasilan bagi masyarakat seperti di FELDA Sahabat Lahad Datu, kerana tanaman tersebut merupakan tanaman yang komersil dalam pengeluaran minyak daripada isirong dan buahnya.

 

Jika dapat diundurkan bahtera, sejarah FELDA Sahabat yang berlokasi di kawasan Timur Lahad Datu rasmi dibuka pada tahun 1979 berdasarkan kelulusan kerajaan Negeri melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah dan telah ditempati oleh penduduk daripada berbagai daerah di Sabah. Keluasan bagi FELDA Sahabat ialah 105,053 hektar bagi Ladang Kelapa Sawit dan 1707 hektar bagi penempatan penduduk, jumlah keseluruhan adalah 106,760 hektar.

 

Sejak beberapa tahun kelmarin penduduk di FELDA Sahabat seringkali digemparkan oleh kehadiran beberapa kawanan gajah liar yang menempati kawasan kebun-kebun sawit di FELDA Sahabat. Justeru, isu tersebut telah menjadi buah mulut masyarakat lantas kebimbangan yang menyelimuti hati mereka. Seperti yang kita sedia maklum, kehadiran gajah liar di FELDA Sahabat telah banyak memberi kerugian tidak kira dari aspek harta benda masyarakat dan juga kemerosotan prestasi kebun-kebun sawit yang telah dirosakkan oleh gajah liar tersebut.

 

Namun begitu, pihak pengurusan FELDA Sahabat tidak hanya bertongkat dagu dan berlepas tangan. Seiring dengan isu gajah liar ini pihak pengurusan FELDA Sahabat sentiasa sigap dengan keadaan semasa. Beberapa alternatif yang telah dilakukan bagi menyelesaikan isu ini, contohnya mengerahkan beberapa orang untuk membakar tayar di dalam kebun kelapa sawit pada malam hari dan memasang meriam buatan untuk tujuan menakutkan gajah liar agar tidak berada dekat dengan kebun kelapa sawit.

 

Isu gajah liar tidak harus dipandang enteng kerana ini boleh mendatangkan pelbagai ancaman tidak kira bagi masyarakat mahupun kebun-kebun kelapa sawit. Rentetan itu, telah banyak kes yang meragut nyawa akibat daripada amukan gajah liar antaranya seorang pekerja di Ladang Semantan dekat Mentakab yang berumur 55 tahun dikejarkan ke hospital akibat dipercayai telah diserang oleh tujuh ekor gajah liar pada 05 Julai 2022, yang mengakibatkan beliau patah buku lali dan disahkan meninggal dunia tiga hari setelah kejadian tersebut. Selain itu, pada 06 Disember 2022 sekawanan gajah liar telah mengamuk di sekitar kawasan Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Kuala Lipis yang juga telah mengakibatkan seorang wanita Orang Asli, Wak Angkat Yok Tong, 39 tahun maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah kerana dipijak kawanan gajah liar tersebut.

 

Akhir sekali, warga FELDA Sahabat hendaklah mengambil langkah yang efisien dalam menangani isu gajah liar yang semakin hari semakin merungsingkan masyarakat kita tidak harus membiarkan isu ini terbiar tanpa noktah hinggalah terjadi kejadian fatal yang tidak diingini.

Semoga semua pihak yang berkenaan dapat merumuskan resolusi terbaik dan merungkai permaslahatan ini dalam tempoh segera atas keperluan dan merendumkan kegusaran penduduk khasnya di sekitar Daerah Kecil Tungku.