20221219

SERANGAN GAJAH LIAR DI FELDA SAHABAT

 

Gambar Hiasan Sahaja


 

Gajah merupakan haiwan herbivor yang mana juga merupakan mamalia yang terbesar di darat. Gajah dikenali sebagai haiwan yang bergerak hidup secara berkawanan atau berkumpulan. Mamalia ini boleh ditemui di pelbagai habitat, tidak kira di kawasan hutan belantara, di kawasan sungai mahupun di kawasan kebun-kebun di sekitar kita. Kelihatan bahawa gajah merupakan haiwan yang menyenangkan dan menarik untuk dilihat serta dijadikan bahan pemotretan bagi masyarakat, dek kerana saiznya yang besar, belalainya yang unik dan sepasang gading yang dikatakan mencecah ratusan bahkan ribuan Ringgit Malaysia. Namun begitu, adakah masyarakat cakna tentang kehadiran gajah liar yang mendatangkan kerugian kepada segelintir penduduk.

 

Seperti yang kita sedia maklum kelapa sawit merupakan sejenis pokok palma yang menjadi sumber penghasilan bagi masyarakat seperti di FELDA Sahabat Lahad Datu, kerana tanaman tersebut merupakan tanaman yang komersil dalam pengeluaran minyak daripada isirong dan buahnya.

 

Jika dapat diundurkan bahtera, sejarah FELDA Sahabat yang berlokasi di kawasan Timur Lahad Datu rasmi dibuka pada tahun 1979 berdasarkan kelulusan kerajaan Negeri melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah dan telah ditempati oleh penduduk daripada berbagai daerah di Sabah. Keluasan bagi FELDA Sahabat ialah 105,053 hektar bagi Ladang Kelapa Sawit dan 1707 hektar bagi penempatan penduduk, jumlah keseluruhan adalah 106,760 hektar.

 

Sejak beberapa tahun kelmarin penduduk di FELDA Sahabat seringkali digemparkan oleh kehadiran beberapa kawanan gajah liar yang menempati kawasan kebun-kebun sawit di FELDA Sahabat. Justeru, isu tersebut telah menjadi buah mulut masyarakat lantas kebimbangan yang menyelimuti hati mereka. Seperti yang kita sedia maklum, kehadiran gajah liar di FELDA Sahabat telah banyak memberi kerugian tidak kira dari aspek harta benda masyarakat dan juga kemerosotan prestasi kebun-kebun sawit yang telah dirosakkan oleh gajah liar tersebut.

 

Namun begitu, pihak pengurusan FELDA Sahabat tidak hanya bertongkat dagu dan berlepas tangan. Seiring dengan isu gajah liar ini pihak pengurusan FELDA Sahabat sentiasa sigap dengan keadaan semasa. Beberapa alternatif yang telah dilakukan bagi menyelesaikan isu ini, contohnya mengerahkan beberapa orang untuk membakar tayar di dalam kebun kelapa sawit pada malam hari dan memasang meriam buatan untuk tujuan menakutkan gajah liar agar tidak berada dekat dengan kebun kelapa sawit.

 

Isu gajah liar tidak harus dipandang enteng kerana ini boleh mendatangkan pelbagai ancaman tidak kira bagi masyarakat mahupun kebun-kebun kelapa sawit. Rentetan itu, telah banyak kes yang meragut nyawa akibat daripada amukan gajah liar antaranya seorang pekerja di Ladang Semantan dekat Mentakab yang berumur 55 tahun dikejarkan ke hospital akibat dipercayai telah diserang oleh tujuh ekor gajah liar pada 05 Julai 2022, yang mengakibatkan beliau patah buku lali dan disahkan meninggal dunia tiga hari setelah kejadian tersebut. Selain itu, pada 06 Disember 2022 sekawanan gajah liar telah mengamuk di sekitar kawasan Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Kuala Lipis yang juga telah mengakibatkan seorang wanita Orang Asli, Wak Angkat Yok Tong, 39 tahun maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah kerana dipijak kawanan gajah liar tersebut.

 

Akhir sekali, warga FELDA Sahabat hendaklah mengambil langkah yang efisien dalam menangani isu gajah liar yang semakin hari semakin merungsingkan masyarakat kita tidak harus membiarkan isu ini terbiar tanpa noktah hinggalah terjadi kejadian fatal yang tidak diingini.

Semoga semua pihak yang berkenaan dapat merumuskan resolusi terbaik dan merungkai permaslahatan ini dalam tempoh segera atas keperluan dan merendumkan kegusaran penduduk khasnya di sekitar Daerah Kecil Tungku.

 

 

Tiada ulasan: