20220824

7 MANGSA SCAMMER




SCAMER MENJADI-JADI

Penipuan secara dalam talian atau scammer semakin menjadi-jadi. Pelbagai cara puak tidak berhati perut ini membuat si mangsa mengeluarkan wang yang banyak untuk memenuhi permintaan scammer.

            Sejak akhir-akhir ini, media sosial kebanyakkannya menjadi punca mangsa scammer mengalami kerugian. Antara scam yang popular dan berjaya memperdaya mangsa:-

 

1.      Tawaran Harga Murah Luar Biasa.

Sasaran scammer ini adalah si pembeli barangan online. Keinginan untuk mendapatkan barangan impian selalunya mendorong mangsa untuk berurusniaga dengan pihak ini.

 

2.      Tawaran Pekerjaan Gaji Besar.

Amat menyedihkan. Si pencari kerja adakalanya sampai berhutang untuk mendapatkan jawatan yang ditawar. Akhirnya pekerjaan yang ditawarkan hanya taktik untuk menipu pemohon.

 

3.      Ancaman Perundangan

Ramai sahabat yang terkena jerat ini. Pelbagai panggilan dari jabatan tertentu kononnya sedang berurusan untuk mengambil tindakan kepada mangsa. Mangsa yang tergamam, ketakutan dan terancam akan mempercayai panggilan dari scammer.

 

4.      Tawaran Keuntungan Pelaburan.

Mangsa ditawarkan dengan keuntungan yang luar biasa. Ada kalangan mangsa yang menyimpan hasrat untuk mengejutkan orang tersayang, akhirnya terkejut sendiri.

 

5.      Tawaran Hadiah Lumayan.

Biasanya mensasarkan golongan yang kurang ilmu dan pergaulan. Teruja mendapat tawaran hadiah dan untung besar akhirnya terjerat dan berputih mata.

 

6.      Lantikan Pewaris Hartawan.

Scammer akan membuat panggilan dan sebagainya konon memilih mangsa untuk menerima sejumlah besar dana yang ditinggalkan oleh seseorang. Ini melibatkan sehingga puluhan juta dollar. Awalnya meminta mangsa memberikan butir perbankan dan bersetuju untuk menerima wang yang akan dikirimkan ke dalam akaun mangsa.

 

7.      Love Scam.

Scammer mensasarkan golongan sudah berumur adakalanya pesara. Kita pernah dengar banyak penipuan yang melibatkan pakaj scam ini. Pujuk rayu dan budi bahasa scammer biasanya mencairkan hati si mangsa sehingga sanggup bergolok bergadai malah merentasi lautan api sekalipun…. Dan golongan mangsa ini tidak akan mendengar nasihat orang lain.

 

 

Sentiasalah berhati-hati. Dapatkan pandangan dari pihak yang boleh dipercayai. Banyakkan membaca dan berbincang sebelum mengambil tindakan.

20220818

DIVIDEN INTIREM KPF: RM152.41 JUTA Apa Kata Anggota?

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

 



 

Sudah lama saya tidak menulis tentang Felda, ‘rumah’ kami yang telah berusia 66 tahun, yang pernah digelar Bumi Permata, yang pernah disebut Bumi Bertuah, yang juga dikenali sebagai Lombong Emas.

             Apa pun sebutan dan gelar diberi, Felda sememangnya memiliki keistemewaan tersendiri, cuma kami penghuninya sahaja yang lebih  memahami gerak nadi sesama warga.

            Hari ini saya berkongsikan tentang pencapaian Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang telah dianggotai oleh sebahagian besar warga Felda.

            Kejayaan KPF membuat bayaran penuh dividen 2021  pada 15 Julai 2022 adalah satu pencapaian yang dianggap terbaik dengan nilai RM152.41 juta. 

            Pencapaian ini adalah satu bentuk usaha Lembaga Pengarah KPF yang berjaya melepasi kekangan COVID 19. Seperti yang kita sedia maklum, bukan sedikit perniagaan yang tersembam disebabkan kesan pendemik tersebut.

            Koperasi yang berusia 42 tahun dan  diilhamkan oleh Tun Raja Muhammad Alias ini, telah mempersembahkan satu lagi langkah bijak berhemat dengan menyalurkan terus agihan dividen intirem tersebut ke akaun modal syer anggota dan tidak membuat bayaran tunai ke akaun bank seperti lazimnya sebelum ini.

            Beberapa kesan terbaik telah diterima oleh sebahagian besar anggota apabila dividen tersebut secara langsungnya menjadi saham kepada yang tidak mengeluarkannya secara mudah di atas talian dalam tempoh sebulan yang telah berakhir.

            Amat membanggakan juga apabila system informasi KPF di laman sesawang diperbaharui dari masa ke semasa khusus mempermudahkan pelbagai urusan. Rungutan kecil pelbagai pihak terhadap KPF diharap akan dapat menambahluapkan lagi semangat khasnya Lembaga Pengarah untuk meningkatkan lagi prestasi koperasi penerima anugerah Koperasi Terbaik  No. 1 tahun 2021.

            Kebanyakan anggota yang sempat ditemui merasakan bahawa pembayaran dividen intirem 2021 sebanyak 7 peratus adalah munasabah dan bersyukur,  apatah lagi dalam suasana ekonomi negara yang berpencak di pinggir jurang inflasi mutakhir ini.

            Adalah diharapkan agar generasi penerus Felda, khasnya generasi ke dua akan memberi dokongan kepada KPF dengan menganggotai dan membeli saham KPF2. Kesepakatan anda hari ini… Insyaalah akan membuahkan hasil pada masa akan datang…

20220816

Puisi Kecil ... Felda Sebuah Riwayat

FELDA - SEBUAH RIWAYAT

Kicau burung dan dingin subuh,

Menyambut salam kehadiran kami,

Ke ruang dakap mu,

Dari puncak Bilut hingga ke muara Sahabat,
 
Berbondong kami menghayun langkah,
 
Meninggalkan jejak semalam..
 
Meranduk resah menyusur gelisah
 
Riwayat itu pun bermula di sini…..
 
Gelanggang ini pencak baru gagasan perdana
Rimba raya kita lakar bersama
Titisan warna mencorak janji setia
Tanah sekepal inilah bumi yang dipijak…!
 
Kalau dulu kita bercerita tentang lurah tanpa nama,
Kalau dulu kita berseloka tentang riwayat dukalara…
Kalau dulu kita diterjah angin sengketa…
Kini FELDA tanah bertuah ini milik kita…
Kini FELDA bumi permata ini amanah kita…
Kita pertahankan seluruhnya…,
Hingga bertongkat paruh…
 
Ayuh…
Kita pastikan riwayat ini abadi selamanya..
Kita nobatkan tranformasi ini sebagai warisan bangsa
Kita gegar buana ini dengan cita dan paduan tenaga…
Kita kekang segala penjuru durjana…..
 
Wahai pewaris…!!
Riwayat ini dilakar dengan tinta berdarah,
Disenandungkan dengan titis keringat leluhur zaman
Lalu dibacakan mentera perjuangan…
Bakti disemai…bukti dituai…
 
Yusofdin Abd. Rahim
Felda Anjung Teduh,
(Puisi ini saya Diklamasikan pada Tahun 2018 di Stadium Gong Badak, Kuala Terenganu)