20240621

KELUARGA KECIL dan 21 JUN... Catatan kenangan

Si Blogger Pink satu ketika dahulu...


 Agak lama tidak mencatat di dalam blog ini. Terasa bersalah terhadap diri sendiri, membiarkan blog kesepian tanpa sentuhan dalam waktu yang agak panjang.

Hari ini  Jumaat, 21 Jun 2024. Pada tarikh ini tahun 1991 aku, isteri dan anak sulung meinggalkan kampung halaman leluhur dan tempat lahir. Meninggalkan sahabat sepermainan, keluarga dan rutin selama ini untuk memulakan hidup baru di tempat yang ditakdirkan, Felda Anjung Teduh, Lahad Datu sehingga saat ini.

Masih ku ingat lagi, pada pagi 33 tahun yang lalu itu. arwah Haji Ghulabdin Enjih, abang sepupuku menghantar kami ke lapangan terbang Kota Kinabalu. Saat meninggalkan rumah, keluargaku menghantar kepergian kami dengan pandangan sayu dan aku juga amat berat untuk mengambil keputusan ini pada ketika itu.

Bersama Keluarga Blok 3, Felda Sahabat 2


Kebenarannya, takdir tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Rezeki dan kehidupan aku dan keluargaa kecil telah ditetapkan bahawa kehidupan selanjutnya kami adalah di sini di belantara sawit ini. Dengan rasa syukur yang tidak terhingga, aku dan keluarga kecil ini akan terus mengharungi kehidupan ini dengan seadanya di sini.

Selama tempoh 33 di sini, terlalu banyak yang ku alami dan tempuhi. Sebahagian kecil pengalaman itu telah ku catat di dalam blog ini dan boleh dirujuk di tapak-tapak halaman yang disediakan. 

Perlu juga aku nyatakan, bahawa tanggal 21 Jun 1991 itu adalah malam pertama kami bermalam di Felda Anjung Teduh dan secara kebetulannya pada malam itu adalah Malam Hari Raya Aidil Adha 1991. 

Dua cucu perempuan Aira dan Maysah


Secara tidak langsung, keluarga kecil ini benar-benar melaksanakan pengorbanan dengan meninggalkan rutin bersma keluarga di kampung kelahiran dengan memasuki era baru di tempat terasing ketika itu.

Hari ini 21 Jun 2024, hari ke 5 Aidil Adha, kenangan lalu berlumba-lumba memasuki ruang ingatan yang sempit dan daif ini. Sekadar mampu menerbitkan ungkapan doa dalam hati nurani agar semua yang berlaku selama ini memiliki hikmahnya masing-masing.

TUARAN...Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Sayugia juga saya catatkan di sini, tempoh 33 tahun di Anjung Teduh, keluarga kecil ini telah bertambah dengan lima  orang cahaya mata + empat orang  menantu + lima orang cucu dan bertambah satu orang lagi neneknya.