20240828

MIMPI SEORANG PENGLIPUR LARA: Ada kala mimpi itu tiada penghujungnya.

 

Sahabat Bloogger: Tun Izhar Ishak,
 Seorang Photografer terbaik  pada zamannya
(foto hiasan)

Dia bukanlah seorang yang hebat.... Tapi terlalu hebat.... Dan keterlaluan hebatnya itu berlaku pada zamannya. Bila ya.... ada yang bertanya.... Sudah lama dahulu.... Jawab seseorang .... 

Zaman Paleolitik... agak seorang natizen.... bukan...  Atau Zaman Neolitik.... pun bukan.... Ahhh sudah pasti Zaman Mesolitik.... barangkali yaa...

Lupakan sahaja perihal zaman itu. Pokok cerita, di daerah itu dia seorang yang terlalu hebat.... Sebut sahaja namanya, keterlaluan hebatnya dia terserlah dan meniti tiap tangkai hati warga desa, daerah dan keseluruh negeri, malah merentasi ke segenap  penjuru dunia juga menyedari akan keterlaluan  hebatnya dia.

Bacalah apa yang tersirat, bukan sekadar yang tersurat.
(Foto Hiasan: Terima Kasih Sahabat: Tun Izhar Ishak)

Namanya Cot. Tinggal di sebuah desa terpencil. Tidak bertani dan menangkap ikan seperti warga desa yang lainnya. Cot cuma duduk di rumah. Di halaman rumah Cot ada sebuah pentas kecil. Luas lantai pentas sekitar dua depa orang tua yang tidak seberapa tua. Di hadapan pentas ada kawasan lapang yang tidak ditumbuhi rumput, luasnnya sekitar setengah padang bola sepak di Stadium Centenario Uruguay.

Di pentas inilah Cot mencari rezeki menyara isteri Siti Nurwanita serta dua orang anaknya. Setiap malam, kecuali malam Jumaat, Cot akan duduk di pentas kecil dan bertindak sebagai penglipur lara atau pencerita menghibur ratusan malah kadang ribuan tetamu Manakala para pengunjung datangnya dari seluruh desa sekitar daerah, juga dari luar daerah, luar negeri dan luar negara, mereka akan duduk bersila di kawasan lapang untuk mendengar cerita Cot.

Cot bercerita penuh gaya dan memukau pendengaran tetamu. Pelbagai hikayat, mitos dan cerita dongeng dipersembahkan setiap malam. Manakala siri cerita karut amat digemari tetamu setiap malam minggu. Sayugia diberitahu bahawa tetamu Cot terdiri daripada pelbagai suku kaum madani seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Pakistan, Arab, Bajau, Sakai, Temiar, Hindustan dan macam-macam lagi. Sesekali ada juga yang datang dari Rusia dan Amerika.

Dan setiap pertengahan cerita Cot akan mengedar Tabung Kehadiran tetamu. Tin biskut mayat hampir penuh setiap malam. Tetamu semuanya merasa akan kepuasan yang tidak terkata sepanjang dan selepas mendengar cerita Cot.

Kemahiran bercerita Cot luar biasa. Apabila cerita sedih dipersembahkan, para pendengar akan menangis teresak-esak. Bahkan ada yang menangis sehingga pulang kerumah dan menangis sepanjang malam hingga ke subuh. Ada juga yang terbuta matanya macam Kassim Selamat.

Apabila Cot bercerita kesah yang lucu pendengar akan ketawa hingga ada yang tertanggal gigi palsunya. Pernah seorang pengunjung tertawa sehingga mulutnya tidak terkatup selama dua bulan. 

Pernah juga Cot bercerita hantu yang menyeramkan.... Pengunjung ketakutan tidak terkata. Menggigil ketakutan hingga ada yang pengsan, rata-rata pengunjung terk.......ncing dan lapangan basah berlumpur jadinya seperti bendang tempat petani menanam padi.

Satu ketika Cot menceritakan akan Hikayat Hang Tuah.... pengunjung pula bertumbuk berpencak sesama sendiri.... ada yang memihak kepada Hang Tuah, sebahagian pula menyokong Jebat Derhaka. Perkelahian pengunjung berlarutan dan hanya berhenti pada keesokkan harinya sebelum waktu Solat Zohor.

Begitulah keterlaluan hebatnya Cot, bercerita sambil berseloka, berpantun dan bersyair sebagai Penglipur Lara yang gah pada zamannya.

Petang  itu Cot tertidur dengan nenyaknya di atas pangkin di bawah pokok mempelam rendang, tidak begitu jauh dari pentas kecilnya. Sepagi Cot letih memperbaiki reban ayamnya. Selepas solat dan makan tengah hari Cot tersadai di pangkin ini sendirian. Isteri kesayangan Cot Siti Nurwanita sedang berehat di ruang tengah rumah.

Arakian maka tersebutlah kesah pada satu Malam Minggu.... malam ini jadualnya sesi cerita karut yang ditunggu-tunggu.

Seperti biasanya cerita karut adalah cerita rekaan Cot. Tiada siapa yang tahu dari mana sumber cerita karut Cot. Yang peliknya para pengunjung sentiasa menunggu dan amat mengemari cerita karut melebihi semua cerita mitos, legenda, dongeng dan hikayat. Bahkan cerita karut telah mengangkat keterlaluan hebatnya Cot sebagai Penglipur Lara yang dikagumi di seluruh dunia.

Malam Minggu yang disebutkan ini kehadiran pengunjung luar biasa ramainya. Seawal petang lagi sudah ramai pengunjung mengambil posisi masing-masing. Ada yang berbekal pisang rebus, ada yang berbekal kacang rebus, ada yang berbekal ubi rebus, ada yang berbekal jagung rebus, kopi rebus, nasi rebus, mi rebus dan macam-macam bekal sementara menunggu hadirnya sang penglipur lara di atas pentas. 

Di sekitar lapangan juga terdapat penjaja kecil mengambil kesempatan  menjaja pelbagai jenis makanan seperti  pisang goreng, kacang goreng,  ubi goreng, jagung goreng, kopi digoreng, nasi goreng, mi goreng dan macam -macam lagi juadah. Semuanya menyelerakan hingga menjilat jari.

Ramainya pengunjung malam itu, paling ramai daripada malam-malam sebelumnya. Bersesak berhimpit, anak-anak kecil ada yang menangis kehilangan ibu... Pengantin baru ada yang terpisah dek ramainya pengunjung mengalahkan Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad.... ramai sungguh, riuh dan gamat menunggu munculnya Cot Penglipur Lara Pujaan Ramai.

Ketika masanya telah tiba, maka muncullah Cot di atas pentas. Kali ini ditemani isterinya Siti Nurwanita sambil mengibas-ngibas kipas tangan mengipas Cot yang duduk bersila. Cot mengenakan pakaian seorang pendekar lengkap dengan sampin, tanjak dan keris. Penampilan Cot kali ini sungguh luar biasa, bertambah-tambahlah keterlaluan hebatnya Cot.

Dikhabarkan angin bahawa isteri Cot, Siti Nurwanita ini  juga berbakat besar. Selain berparas cantik suaranya lunak ketika mendendangkan syair. Satu ketika dahulu ada jejaka yang gila hingga ke tua selepas mendengar Siti Nurwanita bersyair. Sejak itu Siti Nurwanita tidak lagi bersyair malah batuknya pun tidak diperdengarkan kepada orang awam.

Sebelum bercerita Cot membaca doa macam biasa. Bergema suara pengunjung mengaminkan doa Cot. Selepas itu barulah Cot memulakan ceritanya. Semua telinga tertumpu kepada suara Cot... senyap dan sunyi...

-Para tetamu yang saya hormati. Malam ini adalah malam bersejarah dan amat bermakna. Sebelum itu saya memohon maaf. Malam ini saya hanya akan bercerita tentang mimpi saya semalam. Walau hanya sebuah mimpi, namun mimpi ini berbeza dari mimpi segala mimpi.... Ini mimpi kebenaran... semuanya benar dan tiada yang tidak benar.....Semoga selepas ini kita hanya berpaksi kepada perkara benar dan melupakan perkara karut serta cerita yang tidak berfaedah. Maka dengan itu malam ini tidak diisi dengan cerita karut....Saya tegaskan....TIADA CERITA KARUT MALAM INI.

Suasana senyap mula bertukar bising, bantahan terdengar di semua arah... Para pengunjung marah tidak berlapik....Sorakan membantah sudah tidak dapat dibendung...Jeritan marah di sana sini... ada yang seperti orang gila dan memangnya ramai juga yang sudah tersedia gilanya.

-Karuttttt... kami mahu karuttttt.... jerit seorang ibu dengan lantang sambil menjulang tangan menampakkan gelang emas yang baru dibeli minggu lepas.

-Lupakan mimpi itu.... kami mahu karut.... seorang lelaki tua-tua sedikit menjerit geram, terserlah sebatang  gigi emasnya berkilau memantulkan  cahaya lampu sorot.

-Kalutttt.... kalutttt mahh...tuake ayam menyampuk sambil menggaruk perutnya yang sedikit terlondeh.

-Karuddddd.... Karudddd....Karudddd.... serak suara penjual karpet dari arah belakang hampir tidak kedengaran.

-Korukkkk......korukkkkk..... penunjung dari Korea Utara bertempik...temannya dari Korea Selatan mengangangkat dua ibu jari tanda like....

-Kayuttt..... kayutttt.....kayutttttt..... jeritan lantang seorang kanak-kanak berusia tiga tahun....

-Ayuttttt...ayutttttt... laung seorang bayi di pangkuan ibunya.

Rusuhan berlaku.... semuanya merusuh ke arah pentas.... pentas digoncang dari semua penjuru... Cot ketakutan dan gagal mengawal keadaan. Siti Nurwanita tergamam..... pelbagai objek mula berterbangan ke arah pentas kecil.... ada kasut melayang, ada sudu melayang, ada pinggan melayang, ada botol air mineral 1.5ml melayang, ada kuali melayang, ada  kamera model Rolleiflex melayang ada hp Nokia 1202 melayang .....Suasana hinggar dan kacau.... rusuhan tambah menjadi-jadi.... rusuhan terbesar dalam rekod dunia pada zaman itu. Sekumpulan berbaju kuning meloncat-loncat minta Cot letak jawatan serta-merta. 

Dalam ketakutan Cot menarik isterinya Siti Nurwanita ke dalam rumah.... pentas kecil dibakar... api menjulang tinggi. dan menyambar pokok kelapa berdekatan.... api dari pokok kelapa menyambar ke pokok nangka... api dari pokok nangka menyambar pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum.... api dari pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum merebak ke pokok pisang tanduk yang di tanam Siti Nurwanita..... 

Api dari pokok pisang tanduk yang ditanam Siti Nurwanita (pokok ini ditanam semasa Siti Nurwanita baru lepas berpantang kelahiran anak ke dua.) Kebetulan pagi tadi buah pisang tanduk ini hampir masak, Siti Nurwanita berhajat untuk menebang pokok pisang tanduk ini petang nanti. Nak buat kerepek katanya, bolehlah diagihkan ke jiran seorang sedikit.....itu kata Siti Nurwanita.

Kebetulan pula Siti Nurwanita ini memiliki resepi terbaik membuat kerepek pisang, terutama sekali resepi kerepek pisang tanduk yang diwarisi daripada arwah ibunya. Jiran-jiran pun selalu mengakui bahawa kerepek pisang Siti Nurwanita sememangnya sedap dan rangup... terasa sungguh lemak majerennya, kata seorang jiran.

-Senang aja buat kerepek pisang tanduk ni, kata Siti Nurwanita sambil tersenyum.....kalau nak belajar datanglah ke rumah.....  Jangan marah yaaa...

            

    









20240826

LEGENDA SEORANG PIT

Photo Blogger (Sekadar Hiasan) : Menjejak Legenda Arung Palakka



Pit sudah tua, Pit sudah berumur. Bukan 69 tahun, bukan 79 tahun... tapi 99 tahun. Kulit Pit berkedut seribu, rambut dan gigi Pit sudah gugur semuanya. Tapi ingatan Pit masih bagus, pendengaran dan percakapan Pit masih jelas, cuma pandangan sedikit rabun.

Semua orang di kampung ini mengenali Pit. Lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa juga mengenali Pit. Pit memang terkenal sehingga di kampung lain pun ada yang mengenalinya. Kalau ada orang kampung yang tidak mengenali Pit, pasti orang itu baru pindah ke kampung ini.

Kenapa Pit begitu dikenali? Pit bukan seorang artis, bukan ahli sukan,  bukan orang politik, bukan orang terpelajar, bukan orang kaya dan bukan seorang pemidato malah bercakap pun Pit tergagap. Tapi Pit amat dikenali ramai bahkan pemimpin setempat pun mengenali Pit, termasuk Wakli Rakyat dan ketua semua parti. Khabarnya juga  nama Pit pernah disebut dalam mesyuarat kabinet negeri... itu kata Ketua Pemuda, entahlah betul atau tidak. 

Lebih hebat, cerita Pit pernah ditulis oleh seorang penulis tersohor. Cerita Pit diterbitkan dalam sebuah buku dan buku tersebut terdapat di seluruh perpustakaan dalam negara. Maknanya Pit terkenal juga ke seluruh negara.

Siapa Pit sebenarnya....? 
Pit seorang anak yatim dan tinggal berdua di pondok buruk bersama neneknya  seorang balu yang agak berumur. 

Zaman kanak-kanak Pit hanya dihabiskan dengan bermain di sungai, di bukit dan di hutan. Pit tidak bersekolah, cuma malam belajar mengaji di surau dengan lampu pam minyak tanah. Pit juga amat lembam menghafal ayat pengajiannya. Pit bukan anak pintar, agak nakal dan suka ponteng mengaji. Tapi anak-anak suka bermain dengan Pit.

Menjelang dewasa Pit mula mencari kerja. Menoreh getah, memanjat kelapa, menjala di sungai dan macam-macam kerja kampung Pit lakukan untuk mendapat upah. Pit rajin dan ringan tulang. 

Pada satu petang Pit pulang dari memanjat kelapa. Di jalan kampung Pit nampak banyak bendera. Sampai di Balai Raya Pit nampak tiga buah kereta dan ramai orang berkumpul. Ada seorang berpakaian kemas bercakap-cakap di hadapan orang kampung. Selain itu beberapa orang lelaki dan perempuan juga duduk di barisan hadapan menghadap ke orang kampung. Pit agak orang-orang ini datang dari pekan. Pit meninjau-ninjau dari luar dan mendengar ucapan yang kurang menarik perhatian orang kampung.

Pit tidak begitu faham apa yang dikatakan orang tersebut. Orang kampung juga tidak berapa faham semuanya. Suaranya dengan pembesar suara kadang-kadang perlahan dan kadang-kadang meninggi.
Pit tertarik walaupun tidak faham butir yang disampaikan.

Sesekali kelihatan seorang dua  orang-orang pekan bertepuk tangan. Tepukan sekadar berbunyi dan hampir tidak kedengaran dan hanya seorang dua juga orang kampung mengikuti tepukan tersebut. Pit perhatikan perlakuan itu dan bersedia untuk mencuba kalau orang bertepuk lagi.

Ketika seorang pekan menggerakkan tangannya untuk bertepuk, Pit segera mendahului dengan tepukan yang kuat sekali..... secara tidak langsung tepukan Pit diikuti oleh beberapa orang kampung.... pemidato di depan nampak sedikit bersemangat dan meneruskan ucapan.

Pit seronok dan bertepuk lebih kuat,  orang pekan juga ikut bertepuk... orang kampung juga seluruhnya ikut bertepuk. Pit tambah seornok. Pit jadi perhatian ramai orang. Pemidato juga bertambah-tambah  semangatnya.

Ketika  pemidato selesai Pit menambah kuat tepukannya dan diikuti tepukan dan sorakan gemuruh orang kampung... Pemidato tersenyum puas sambil melambai-lambai tangan ke arah orang kampung.

Selesai acara seorang orang pekan menghampiri Pit, menghulur sampul surat dan membisikkan sesuatu. Pit mengangguk-angguk macam faham.

Esok pagi kampung menjadi kecoh... Pit dijemput olah salah sebuah kereta yang datang petang kelmarin. Bahkan Pit dihadiakan pakaian baru bercorak bendera kelmarin. Lama baru orang kampung faham, rupanya Pit ditawarkan berkerja dengan orang pekan. Pit berbangga memasuki kereta yang pertama kali seumur hidupnya. 

Bermula hari  itulah Pit dijemput dan dihantar setiap hari. Pit juga samakin bergaya, setiap hari bertukar pakaian dan semakin dikenali. Pit mendapat kerja baru dan upah yang lumayan.

Apa kerja Pit...? Dia ditugaskan untuk bertepuk tangan sekuat-kuatnya ketika ada pemidato berceramah. Sehari beberapa tempat di kampung berlainan. Rupanya kempen pilihanraya. Tapi Pit tidak mahu tahu apa acaranya. Yang dia tahu, setiap lepas acara dia dibayar. Orang pekan juga bertambah suka kepada Pit.

Pit bertelapak tangan besar, tepukkan Pit sememangnya kuat dan mempengaruhi orang lain untuk ikut bertepuk. Pernah juga Pit tersalah tepuk dan ditegur serta diberi tunjuk ajar oleh pemandu kereta yang menjemput hantar Pit. Dan Pit semakin mahir. Tiap malam Pit berlatih menambah kuat bunyi tepuknya.

Dua minggu kemudian ada pula orang kampung lain yang cuba menyangi Pit. Tapi tepukan lemah mereka tidak menarik perhatian orang lain, akhirnya mereka berhenti sendiri dan meletak jawatan sebagai tukang tepuk... Pit semakin tersohor.

PIT TUKANG TEPUK... gelaran unggul kepada Pit dan menjadi kebanggannya. Semua majlis ceramah sepanjang kempen akan meriah dengan kehadiran Pit. Luar biasa aura tepukan Pit. Semua pemidato parti memuji Pit. Upah Pit juga semakin hari semakin bertambah. Menjelang akhir kempen pilihanraya Pit sudah memiliki basikal baru. Pit makin bergaya.

Pernah sekali Pit tidak dapat mengikuti rombongan kempen kerana neneknya demam. Khabarnya majlis ceramah begitu hambar dan suram.... seolah ada mayat terbujur dalam majlis, sunyi dan sepi. Ketua Parti kecewa dan berpesan agar esok dan seterusnya Pit mesti hadir serta menambah upahnya sekali ganda lagi. Begitulah pentingnya Pit dalam majlis kempen parti tersebut.

Di akhir kempen Pit merasa sedih. Dia dikhabarkan bahawa malam itu adalah yang terakhir untuk dia bertepuk. Selepas itu kena tunggu lima tahun lagi.... Pit benar-benar sedih. Dia tidak faham sama sekali kenapa harus berhenti namun Pit terpaksa menerima dan bersabar.

Selepas pilihanraya Pit kembali ke kerja kampung, menjala dan memanjat kelapa. Tapi Pit sentiasa berharap agar bakat bertepuknya akan berguna lagi pada bila-bila masa. Latihan bertepuk mesti diteruskan.

Hingga satu malam ada acara di surau kampung. Pit dapat tahu petang tadi. Anak-anak kampung bercerita tentang acara menjelang malam.

Pit hadir dan memang benar ada acara. Pit mencari tempat sesuai dan kehadiran memang ramai, sesak surau hingga ke luar. Penceramah sedang menyampaikan mukadimah... Pit menunggu waktu yang sesuai. Ketika merasakan saatnya sudah tiba, Pit bertepuk sekuatnya.... Pit merasa ganjil... tiada seorangpun ikut bertepuk... malah hampir semua orang melihat kepada Pit.

Sesaat Pit berfikir, mungkin orang ramai masih belum tersentuh dengan tepukkannya. Penceramah juga terhenti seketika....

Beberapa minit kemudian Pit bertepuk lagi bertambah kuat, mungkin yang pertama tadi tidak seberapa kuatnya.... tapi keadaan tetap sama. Tiada orang lain mengikuti tepuk Pit. Makin ramai orang melihatnya sambil berbisik... Pak Imam perlahan mendekati Pit sambil memegang tangan dan memimpin Pit keluar....

Sakit hati Pit disuruh pulang. Sedikit upahpun tidak dihulur walau sudah dirayu oleh Pit. Rupanya tepukan Pit tidak bernilai sama sekali dalam ceramah di surau. Sedih Pit bukan kepalang.

Namun kesedihan Pit terubat selepas lima tahun. Setiap pilihanraya Pit menjadi orang penting. Pit sentiasa jadi sebutan, Pit sentiasa dicari dan jadi rebutan parti yang bertanding. Dengan gelaran PIT TUKANG TEPUK tiada sosok lagi yang tidak mengenali Pit. Malah bayi yang baru belajar bertatih pun akan akan bertepuk apabila diseru Buat Macam Atok Pit..... maka bertepuklah anak-anak tersebut.

Ketika berusia 95 tahun Pit mengumumkan perletakkan jawatannya dalam satu acara kempen terakhir pada tahun tersebut. 

Kini Pit sudah berusia hampir 100 tahun... Pagi tadi Pit rebah dan diusung ke hospital... di atas katil Pit terlantar lemah. Jururawat dan doktor memereksa keadaan Pit. Akhirnya doktor bersuara... Pit bukannya sakit, Pit cuma letih... spontan Pit bertepuk dengan kuatnya.....

Aspirasi cerita dari Antologi Mimpi Rakyat.







 


20240621

KELUARGA KECIL dan 21 JUN... Catatan kenangan

Si Blogger Pink satu ketika dahulu...


 Agak lama tidak mencatat di dalam blog ini. Terasa bersalah terhadap diri sendiri, membiarkan blog kesepian tanpa sentuhan dalam waktu yang agak panjang.

Hari ini  Jumaat, 21 Jun 2024. Pada tarikh ini tahun 1991 aku, isteri dan anak sulung meinggalkan kampung halaman leluhur dan tempat lahir. Meninggalkan sahabat sepermainan, keluarga dan rutin selama ini untuk memulakan hidup baru di tempat yang ditakdirkan, Felda Anjung Teduh, Lahad Datu sehingga saat ini.

Masih ku ingat lagi, pada pagi 33 tahun yang lalu itu. arwah Haji Ghulabdin Enjih, abang sepupuku menghantar kami ke lapangan terbang Kota Kinabalu. Saat meninggalkan rumah, keluargaku menghantar kepergian kami dengan pandangan sayu dan aku juga amat berat untuk mengambil keputusan ini pada ketika itu.

Bersama Keluarga Blok 3, Felda Sahabat 2


Kebenarannya, takdir tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Rezeki dan kehidupan aku dan keluargaa kecil telah ditetapkan bahawa kehidupan selanjutnya kami adalah di sini di belantara sawit ini. Dengan rasa syukur yang tidak terhingga, aku dan keluarga kecil ini akan terus mengharungi kehidupan ini dengan seadanya di sini.

Selama tempoh 33 di sini, terlalu banyak yang ku alami dan tempuhi. Sebahagian kecil pengalaman itu telah ku catat di dalam blog ini dan boleh dirujuk di tapak-tapak halaman yang disediakan. 

Perlu juga aku nyatakan, bahawa tanggal 21 Jun 1991 itu adalah malam pertama kami bermalam di Felda Anjung Teduh dan secara kebetulannya pada malam itu adalah Malam Hari Raya Aidil Adha 1991. 

Dua cucu perempuan Aira dan Maysah


Secara tidak langsung, keluarga kecil ini benar-benar melaksanakan pengorbanan dengan meninggalkan rutin bersma keluarga di kampung kelahiran dengan memasuki era baru di tempat terasing ketika itu.

Hari ini 21 Jun 2024, hari ke 5 Aidil Adha, kenangan lalu berlumba-lumba memasuki ruang ingatan yang sempit dan daif ini. Sekadar mampu menerbitkan ungkapan doa dalam hati nurani agar semua yang berlaku selama ini memiliki hikmahnya masing-masing.

TUARAN...Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Sayugia juga saya catatkan di sini, tempoh 33 tahun di Anjung Teduh, keluarga kecil ini telah bertambah dengan lima  orang cahaya mata + empat orang  menantu + lima orang cucu dan bertambah satu orang lagi neneknya.