Sahabat Bloogger: Tun Izhar Ishak, Seorang Photografer terbaik pada zamannya (foto hiasan) |
Dia bukanlah seorang yang hebat.... Tapi terlalu hebat.... Dan keterlaluan hebatnya itu berlaku pada zamannya. Bila ya.... ada yang bertanya.... Sudah lama dahulu.... Jawab seseorang ....
Zaman Paleolitik... agak seorang natizen.... bukan... Atau Zaman Neolitik.... pun bukan.... Ahhh sudah pasti Zaman Mesolitik.... barangkali yaa...
Lupakan sahaja perihal zaman itu. Pokok cerita, di daerah itu dia seorang yang terlalu hebat.... Sebut sahaja namanya, keterlaluan hebatnya dia terserlah dan meniti tiap tangkai hati warga desa, daerah dan keseluruh negeri, malah merentasi ke segenap penjuru dunia juga menyedari akan keterlaluan hebatnya dia.
Bacalah apa yang tersirat, bukan sekadar yang tersurat. (Foto Hiasan: Terima Kasih Sahabat: Tun Izhar Ishak) |
Namanya Cot. Tinggal di sebuah desa terpencil. Tidak bertani dan menangkap ikan seperti warga desa yang lainnya. Cot cuma duduk di rumah. Di halaman rumah Cot ada sebuah pentas kecil. Luas lantai pentas sekitar dua depa orang tua yang tidak seberapa tua. Di hadapan pentas ada kawasan lapang yang tidak ditumbuhi rumput, luasnnya sekitar setengah padang bola sepak di Stadium Centenario Uruguay.
Di pentas inilah Cot mencari rezeki menyara isteri Siti Nurwanita serta dua orang anaknya. Setiap malam, kecuali malam Jumaat, Cot akan duduk di pentas kecil dan bertindak sebagai penglipur lara atau pencerita menghibur ratusan malah kadang ribuan tetamu Manakala para pengunjung datangnya dari seluruh desa sekitar daerah, juga dari luar daerah, luar negeri dan luar negara, mereka akan duduk bersila di kawasan lapang untuk mendengar cerita Cot.
Cot bercerita penuh gaya dan memukau pendengaran tetamu. Pelbagai hikayat, mitos dan cerita dongeng dipersembahkan setiap malam. Manakala siri cerita karut amat digemari tetamu setiap malam minggu. Sayugia diberitahu bahawa tetamu Cot terdiri daripada pelbagai suku kaum madani seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Pakistan, Arab, Bajau, Sakai, Temiar, Hindustan dan macam-macam lagi. Sesekali ada juga yang datang dari Rusia dan Amerika.
Dan setiap pertengahan cerita Cot akan mengedar Tabung Kehadiran tetamu. Tin biskut mayat hampir penuh setiap malam. Tetamu semuanya merasa akan kepuasan yang tidak terkata sepanjang dan selepas mendengar cerita Cot.
Kemahiran bercerita Cot luar biasa. Apabila cerita sedih dipersembahkan, para pendengar akan menangis teresak-esak. Bahkan ada yang menangis sehingga pulang kerumah dan menangis sepanjang malam hingga ke subuh. Ada juga yang terbuta matanya macam Kassim Selamat.
Apabila Cot bercerita kesah yang lucu pendengar akan ketawa hingga ada yang tertanggal gigi palsunya. Pernah seorang pengunjung tertawa sehingga mulutnya tidak terkatup selama dua bulan.
Pernah juga Cot bercerita hantu yang menyeramkan.... Pengunjung ketakutan tidak terkata. Menggigil ketakutan hingga ada yang pengsan, rata-rata pengunjung terk.......ncing dan lapangan basah berlumpur jadinya seperti bendang tempat petani menanam padi.
Satu ketika Cot menceritakan akan Hikayat Hang Tuah.... pengunjung pula bertumbuk berpencak sesama sendiri.... ada yang memihak kepada Hang Tuah, sebahagian pula menyokong Jebat Derhaka. Perkelahian pengunjung berlarutan dan hanya berhenti pada keesokkan harinya sebelum waktu Solat Zohor.
Begitulah keterlaluan hebatnya Cot, bercerita sambil berseloka, berpantun dan bersyair sebagai Penglipur Lara yang gah pada zamannya.
Petang itu Cot tertidur dengan nenyaknya di atas pangkin di bawah pokok mempelam rendang, tidak begitu jauh dari pentas kecilnya. Sepagi Cot letih memperbaiki reban ayamnya. Selepas solat dan makan tengah hari Cot tersadai di pangkin ini sendirian. Isteri kesayangan Cot Siti Nurwanita sedang berehat di ruang tengah rumah.
Arakian maka tersebutlah kesah pada satu Malam Minggu.... malam ini jadualnya sesi cerita karut yang ditunggu-tunggu.
Seperti biasanya cerita karut adalah cerita rekaan Cot. Tiada siapa yang tahu dari mana sumber cerita karut Cot. Yang peliknya para pengunjung sentiasa menunggu dan amat mengemari cerita karut melebihi semua cerita mitos, legenda, dongeng dan hikayat. Bahkan cerita karut telah mengangkat keterlaluan hebatnya Cot sebagai Penglipur Lara yang dikagumi di seluruh dunia.
Malam Minggu yang disebutkan ini kehadiran pengunjung luar biasa ramainya. Seawal petang lagi sudah ramai pengunjung mengambil posisi masing-masing. Ada yang berbekal pisang rebus, ada yang berbekal kacang rebus, ada yang berbekal ubi rebus, ada yang berbekal jagung rebus, kopi rebus, nasi rebus, mi rebus dan macam-macam bekal sementara menunggu hadirnya sang penglipur lara di atas pentas.
Di sekitar lapangan juga terdapat penjaja kecil mengambil kesempatan menjaja pelbagai jenis makanan seperti pisang goreng, kacang goreng, ubi goreng, jagung goreng, kopi digoreng, nasi goreng, mi goreng dan macam -macam lagi juadah. Semuanya menyelerakan hingga menjilat jari.
Ramainya pengunjung malam itu, paling ramai daripada malam-malam sebelumnya. Bersesak berhimpit, anak-anak kecil ada yang menangis kehilangan ibu... Pengantin baru ada yang terpisah dek ramainya pengunjung mengalahkan Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad.... ramai sungguh, riuh dan gamat menunggu munculnya Cot Penglipur Lara Pujaan Ramai.
Ketika masanya telah tiba, maka muncullah Cot di atas pentas. Kali ini ditemani isterinya Siti Nurwanita sambil mengibas-ngibas kipas tangan mengipas Cot yang duduk bersila. Cot mengenakan pakaian seorang pendekar lengkap dengan sampin, tanjak dan keris. Penampilan Cot kali ini sungguh luar biasa, bertambah-tambahlah keterlaluan hebatnya Cot.
Dikhabarkan angin bahawa isteri Cot, Siti Nurwanita ini juga berbakat besar. Selain berparas cantik suaranya lunak ketika mendendangkan syair. Satu ketika dahulu ada jejaka yang gila hingga ke tua selepas mendengar Siti Nurwanita bersyair. Sejak itu Siti Nurwanita tidak lagi bersyair malah batuknya pun tidak diperdengarkan kepada orang awam.
Sebelum bercerita Cot membaca doa macam biasa. Bergema suara pengunjung mengaminkan doa Cot. Selepas itu barulah Cot memulakan ceritanya. Semua telinga tertumpu kepada suara Cot... senyap dan sunyi...
-Para tetamu yang saya hormati. Malam ini adalah malam bersejarah dan amat bermakna. Sebelum itu saya memohon maaf. Malam ini saya hanya akan bercerita tentang mimpi saya semalam. Walau hanya sebuah mimpi, namun mimpi ini berbeza dari mimpi segala mimpi.... Ini mimpi kebenaran... semuanya benar dan tiada yang tidak benar.....Semoga selepas ini kita hanya berpaksi kepada perkara benar dan melupakan perkara karut serta cerita yang tidak berfaedah. Maka dengan itu malam ini tidak diisi dengan cerita karut....Saya tegaskan....TIADA CERITA KARUT MALAM INI.
Suasana senyap mula bertukar bising, bantahan terdengar di semua arah... Para pengunjung marah tidak berlapik....Sorakan membantah sudah tidak dapat dibendung...Jeritan marah di sana sini... ada yang seperti orang gila dan memangnya ramai juga yang sudah tersedia gilanya.
-Karuttttt... kami mahu karuttttt.... jerit seorang ibu dengan lantang sambil menjulang tangan menampakkan gelang emas yang baru dibeli minggu lepas.
-Lupakan mimpi itu.... kami mahu karut.... seorang lelaki tua-tua sedikit menjerit geram, terserlah sebatang gigi emasnya berkilau memantulkan cahaya lampu sorot.
-Kalutttt.... kalutttt mahh...tuake ayam menyampuk sambil menggaruk perutnya yang sedikit terlondeh.
-Karuddddd.... Karudddd....Karudddd.... serak suara penjual karpet dari arah belakang hampir tidak kedengaran.
-Korukkkk......korukkkkk..... penunjung dari Korea Utara bertempik...temannya dari Korea Selatan mengangangkat dua ibu jari tanda like....
-Kayuttt..... kayutttt.....kayutttttt..... jeritan lantang seorang kanak-kanak berusia tiga tahun....
-Ayuttttt...ayutttttt... laung seorang bayi di pangkuan ibunya.
Rusuhan berlaku.... semuanya merusuh ke arah pentas.... pentas digoncang dari semua penjuru... Cot ketakutan dan gagal mengawal keadaan. Siti Nurwanita tergamam..... pelbagai objek mula berterbangan ke arah pentas kecil.... ada kasut melayang, ada sudu melayang, ada pinggan melayang, ada botol air mineral 1.5ml melayang, ada kuali melayang, ada kamera model Rolleiflex melayang ada hp Nokia 1202 melayang .....Suasana hinggar dan kacau.... rusuhan tambah menjadi-jadi.... rusuhan terbesar dalam rekod dunia pada zaman itu. Sekumpulan berbaju kuning meloncat-loncat minta Cot letak jawatan serta-merta.
Dalam ketakutan Cot menarik isterinya Siti Nurwanita ke dalam rumah.... pentas kecil dibakar... api menjulang tinggi. dan menyambar pokok kelapa berdekatan.... api dari pokok kelapa menyambar ke pokok nangka... api dari pokok nangka menyambar pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum.... api dari pokok durian musang king yang sedang berbuah ranum merebak ke pokok pisang tanduk yang di tanam Siti Nurwanita.....
Api dari pokok pisang tanduk yang ditanam Siti Nurwanita (pokok ini ditanam semasa Siti Nurwanita baru lepas berpantang kelahiran anak ke dua.) Kebetulan pagi tadi buah pisang tanduk ini hampir masak, Siti Nurwanita berhajat untuk menebang pokok pisang tanduk ini petang nanti. Nak buat kerepek katanya, bolehlah diagihkan ke jiran seorang sedikit.....itu kata Siti Nurwanita.
Kebetulan pula Siti Nurwanita ini memiliki resepi terbaik membuat kerepek pisang, terutama sekali resepi kerepek pisang tanduk yang diwarisi daripada arwah ibunya. Jiran-jiran pun selalu mengakui bahawa kerepek pisang Siti Nurwanita sememangnya sedap dan rangup... terasa sungguh lemak majerennya, kata seorang jiran.
-Senang aja buat kerepek pisang tanduk ni, kata Siti Nurwanita sambil tersenyum.....kalau nak belajar datanglah ke rumah..... Jangan marah yaaa...