20221229

JEJAK PERANTAU: Bersama ESTETIK.

 

Foto di Kota Kendari


Sebagai anak rantau, sudah pasti anda menyimpan pelbagai kenangan. Mungkin ada kenangan yang manis, pahit dan seumpamanya yang bermanfaat untuk dikongsikan kepada orang lain. 

Berkemungkinan juga perkongsian anda akan memberi panduan serta rujukan kepada bakal perantau yang baru memulakan langkah. Seraya ini akan menjadikan sebahagian amalan baik anda secara tidak langsung.

Selain dari itu, perkongsian anda juga semestinya akan menjadi catatan rujukan kenangan peribadi khasnya kepada anda dan keluarga khususnya anak cucu pada kemudian hari. Sudah pasti anak cucu anda akan berbangga atas pengalaman luar biasa yang anda alami sendiri sepanjang tempoh di perantauan.

Nah, untuk itu kami menyediakan ruang untuk anda, mungkin tidak sebaik yang anda harapkan, akan tetapi sekurang-kurangnya ada tempat untuk anda menyematkan memori kehidupan masa lampau anda atau yang kini sedang menjalani kehidupan sebagai perantau di tempat orang.

Anda bebas untuk bercerita kepada kami. Isikan borang dan kami akan menghubungi anda dalam tempoh terdekat. Kami berjanji akan mengolah cerita perantauan anda dengan tidak memaparkan perkara-perkara yang sensitif atau menggores perasaan orang lain.

Kami yakin, bahawa perkongsian anda kelak akan mengimbau pelbagai kenangan indah, suka duka dan mengamit kerinduan. 

Untuk itu kami sediakan link mudah bagi anda mengisi Nama, Alamat dan No. H/p... dan tekan butang SERAH.  https://forms.gle/iaVc5VCy3EyM7XtS8

                https://forms.gle/iaVc5VCy3EyM7XtS8

                https://forms.gle/iaVc5VCy3EyM7XtS8

Semoga Bermanfaat dan kongsikan kepada rakan serantau anda.

20221226

SEKEPING HATI NAN TERSAYAT

 

Mohd. Abdul Rashid


Baru-baru ini sebuah posting di Facebook telah memaparkan vedio sepanjang 2.20 minit akan pencarian  sepasang ibubapa yang telah lama tidak mendengar khabar dari anak lelakinya seorang pesara tentera.

 

Jelas memaparkan nama anak sebagai Yassir Arfa Bin Mohd. Abdul Rashid, telah berkahwin dan menetap di Sabah.

 

Posting pemilik akaun FB Eyqa Eyyqaa ini mendapat perhatian warga maya bukan sahaja dengan komen dan tontonan hampir 200k malah dikongsi hampir 2000 kali. Malah ada kalangan warga maya yang berusaha membantu dengan pelbagai cara. Kuasa viral telah benar-benar berkesan.

 

Hasil hantaran  tersebut, pelbagai doa dan harapan warga net agar pertemuan ayah dan anak ini akan dapat dijadikan kenyataan pada 30 Januari 2023 apabila ayah dan ibu Mohd Arfa akan berkunjung ke Sabah.

 

Kesedihan dan kerinduan terpancar di wajah Mohd. Abdul Rashid bercampur harapan yang tinggi. Hati ayah ibu manakah yang tidak tersayat apabila sekian lama tidak mendapat khabar berita daripada anak tersayang dengan jarak yang tidak terlalu jauh.

 

Ayuh kita sama doakan agar kerinduan dari Gunung Jerai akan terubat di puncak Kinabalu, semoga pertemuan ini akan mencatat sesuatu yang manis di kalangan keluarga Mohd. Abdul Rashid.

20221222

PESANAN AYAH: Aspirasi Kecekalan Francis

 


FRANCIS XAVIER KINJIN




Atlet Angkat Berat Para (Sukan Malaysia) SUKMA 2022 Sabah, Francis Xavier Kinjin, 38, antara penyumbang pingat sekaligus menobatkan Sabah sebagai Juara Keseluruhan dan memadam keunggulan juara 13 tahun Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

 

Jejaka hebat kelahiran Kampung Dabak Pernampang Sabah ini merupakan seorang OKU fizikal sejak lahir  namun tidak pernah menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuknya meneruskan kehidupan harian seperti orang lain.

 

Anak bongsu dari lima orang adik beradik dan satu-satunya yang mengalami kelainan upaya begini, telah mencuri tumpuan dan meruntun hati warga net apabila menghantar status di sebuah kumpulan, di media sosial baru-baru ini.

 

Rata-rata warga maya melahirkan kekaguman atas kecekalan Francis khasnya apabila menelusuri akaun Facebooknya.

 

Hantaran tersebut sehingga kini mendapat lebih 11,300 tanda suka dengan pelbagai ulasan komen yang positif daripada kebanyakan warga.

 

“Tak perlu edit bang, abang dah berdiri lebih tinggi dari kami...it needs be a strong and high in spirit person to be ur place..” kata Azhar Pawanteh dari Alor Star yang mendapat sokongan dari puluhan pelayar lain.

 

Ketika dihubungi, Francis yang gemar memasak dan memancing menjelaskan bahawa pada Julai 2022 telah menjuarai acara Angkat Berat di Peringkat Negeri Sabah seterusnya menggungguli tempat ke dua dalam Para SUKMA November 2022 di Kuala Lumpur.

 

Hobi masa lapang...

Pernah berkerja sebagai tukang masak di sebuah restoran, Francis kini hanya berkerja sendiri di kampung di samping ibunya seorang warga emas. Manakala ayah tersayang telah lama meninggal dunia.

 

Kekuatan dan kecekalan serta sifat berdikari Francis sebenarnya mendapat dorongan keluarga khasnya kedua ibubapa yang sentiasa berpesan agar dia tidak mengharapkan pertolongan orang lain Ketika melakukan kerja rutin seharian.

 

Pesnan keramat ayahnya, sentiasa segar dalam ingatan dan mendorong Francis bertekad akan lebih menyerlah pada masa akan datang.

 

Penampilan dan keceriaan  pahlawan Kadazan ini benar-benar menidakkan kekurangannya bahkah memiliki semangat juang yang tinggi seiring masyarakat yang lain.

 

Semoga  ada pihak yang tampil mengambil berat  khasnya untuk terus mengilap mutiara Penampang ini agar kelebihan dimiliki Francis tidak terbenam di dasar Sungai Kolopis.

Merenung Masa Depan....