20241108

Penceritaan Santai: SUNGAI TUARAN: Antara Kenangan dan Pembangunan

Blogger bersama Ketua Anak Negeri, Haji Sofian Haji Johari

Sepanjang 80 kilometer, Sungai Tuaran satu ketika dahulu merupakan antara nadi penting penggerak perhubungan, pencetus perkembangan ekonomi serta penggarap sosial dan  silaturrahim masyarakat setempat khususnya penduduk kampung  di pesisir sungai yang menyimpan pelbagai nostalgia ini, itu kata Ketua Anak Negeri Tuaran, Haji Sofian Haji Johari ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Haji Sofian, 64 tahun, bukan sedikit masyarakat sekitar yang menjadikan Sungai Tuaran sebagai sumber pencarian rezeki menampung keperluan keluarga. Kegiatan memukat, menjala dan memancing di Sungai Tuaran selalunya menjanjikan kepuasan dan jarang mengecewakan. Lubuk ikan dan udang galah, di sepanjang sungai ini biasanya akan memberi pulangan yang setimpal akan titis keringat si pemburu rezeki terdiri daripada kalangan penduduk kampung.

Sejarah pentadbiran Daerah Tuaran juga mencatatkan bahawa satu ketika dahulu, para Kolonial British juga menjadikan Sungai Tuaran sebagai laluan untuk menjalankan kegiatan pengurusan beberapa perkara penting, bahkah Majlis Daerah Tuaran juga pernah  bersiaga dengan kelengkapan bot sebagai salah satu aset khusus menjalankan pentadbiran dari dahulu  sehingga masa terdekat,  namun kini dikhabarkan bahawa Majlis Daerah Tuaran tidak lagi menyimpan aset berkenaan. 

Menurut Haji Sofian lagi,  ayah beliau Alayarham Haji Johari, pernah menjadikan Sungai Tuaran sebagai sumber pendapatan tambahan dengan menjalankan kegiatan bot penambang. Bermodalkan sebuah perahu kayu dengan enjin Jhonson 6 kuasa kuda, arwah ketika itu boleh mendapat keuntungan antara Tujuh hingga 10 ringgit sehari.... ( Nilai hari ini sekitar  70 hingga 100) 

Antara penduduk kampung yang menggunakan Sungai Tuaran sebagai laluan utama ke Pekan Tuaran seperti Kampung Termenung, Kampung Sudot, Kampung Pulau Simpangan, Kampung Kegayungan, Kampung Dempelang, Kampung Bolong, Kampung Selupoh, Kampung Morogis, Kampung Dangki, Kampung Selaud, Kampung Baru, Kampung Labuaya, Kampung Tanjung dan Kampung Roun, hurai Haji Sofian.

Satu ketika, di sini terdapat seutas tali diikat merentasi sungai dan dijadikan sebagai penarik perahu tambang yang diusahakan oleh seorang warga kampung yang dikenali sebagai Si Lapak.

Begitu banyak cerita tentang Sungai Tuaran sebenarnya, berhulukan di bukit bukau sekitar Pantai Barat Negeri Sabah, kualanyanya mengalir ke Laut Cina Selatan. Menjadi sumber air bersih keperluan ratusan ribu penduduk Daerah Tuaran, pernah timbulkan kontroversi perlombongan pasir haram, selain mencatat sejarah apabila pihak kerajaan memutuskan untuk memotong Sungai Tuaran bertujuan mengurangkan risiko fenomena banjir yang sesekali melanda pekan persinggahan ini.

Bersama Anuwar Haji Sakimin, pencinta setia Sungai Tuaran

Salah seorang penduduk Kampung Baru Selaud, Encik Anuwar Haji Sakimin,62 tahun, merupakan sahabat akrab blogger dan begitu sininom dengan perkembangan Sungai Tuaran. Sehingga kini pesara tentera ini masih menjalankan kegiatan di Sungai Tuaran bagi mengisi masa sanggang dengan memancing dan menjala berbekalkan bot persendirian. 

Beliau begitu arif di mana lubuk ikan patin, di mana lubuk ikan enghua dan lubuk mana udang galah bermain. Tentang kebili (Lokan air tawar) dan tuntul (Siput sedut) hanya sekali sauk cukup untuk hidangan makan malam.

Di pinggir Pasar Tamu Tuaran, sebuah jambatan gantung seolah mercutanda kepada Pekan Tuaran dan banyak menarik perhatian para pengunjung khususnya pelancong dari luar negara. Jambatan yang pernah menabur bakti puluhan tahun tersebut dijangka akan menemui titik noktahnya sedikit masa lagi apabila pembangunan di persekitaran kini sedang rancak dilaksanakan.

Jambatan gantung pertama 1970an

Beberapa orang penduduk yang sempat ditemui melahirkan harapan agar pihak Majlis Daerah Tuaran mengekalkan jambatan tersebut sebagai kenang-kenangan di samping merawatnya agar menjamin keselamatan pengguna atau pengunjung.

Jambatan Gantung bakal tinggal kenangan

Seperti yang disedari, suasana Sungai Tuaran kini sedang mengalami perubahan besar apabila pihak kerajaan menjalankan projek pembangunan dengan menambak sungai kenangan ini bertujuan untuk dimanfaatkan dengan cara yang lebih efisien dan produktif. Warga amat mengharapkan usaha ini akan memberi pulangan khusus kepada generasi akan datang.


Kerja Menambak dijalankan



Sayup kelihatan Jambatan Gantung

Papantanda Kerja PERTAHANAN

Bangunan lama Rumah Kedai Tuaran

Di bawah pokok mangga itu.. Blogger duduk semasa zaman kanak-kanak,
menyaksikan pertandingan lumba perahu tahun 1970an




Foto: Koleksi  Haji Sofian


Foto Koleksi Haji Sofian

Walau tidak sehebat Sungai Mekong yang membelah enam negara, pun tidak seindah Bengawan Solo yang sohor dengan lagunya, jauh sekali menyaingi Sungai Gangga yang dianggap sungai suci di India,
namun Sungai Tuaran amatlah istemewa  dan penuh kenangan di kalangan anak jati Tuaran, keindahan dan keunikkannya terletak di mana-mana dari sudut pandang yang berbeza.

Semoga apa yang dilaksanakan hari ini akan membuahkan hasil terbaik dan mengangkat martabat warga Tuaran satu ketika nanti.